Misi cantas cinta...lagi?

278 9 0
                                    

Namaku Maya Ellisa Ramlan. Berumur 23 tahun dan masih giat mengejar cita-cita. Aku seorang anak jati Singapura yang menetap bersama kedua ibubapa yang terlalu kerap meluangkan masa di luar negeri. Walaupun sering ditinggalkan sendirian, aku cukup bahagia. Kenapa tidak? Aku terikat janji tunang bersama seseorang yang amat aku sayangi.

Tiga bulan yang lepas, Danish Marzuki telah melamarku. Namun, oleh kerana pengajianku di Universiti Negara Singapura belum tamat, kami sepakat untuk bertunang dahulu. Dengan izin ibu bapa kedua belah pihak, kami telah mengadakan majlis besar-besaran. Maklumlah, kami berdua anak tunggal. Terlalu sayang jikalau tidak melaburkan segala yang termampu buat anak kesayangan ibunda dan ayahanda.

"Maya jaga diri baik-baik bila berduaan dengan Danish. Orang bertunang ni, banyak dugaan. Banyak sangat tekanan, dan paling susah nak ditepis, banyak godaan," bisik mama dipertengahan majlis tersebut. Aku hanya tersenyum seketika. Huh, dugaan? Selama kami menjalinkan hubungan, tidak pernah bergaduh. Cuma kadangkala, ketidaksefahaman dalam beberapa perkara. Itu pun, hal kecil sahaja. Tiada tersimpan dendam di dalam dada. Itu yang aku harapkan. Melihat mata ibunda yang seakan menantikan reaksi dariku, aku mengangguk. Sekadar mengiakan kata-kata nasihat ibunda yang aku sendiri tak pasti kesahihannya.

Ibunda kelihatan teramat girang, dan ayahanda tidak kurang ghairahnya. Mama dan papa Danish juga turut berkongsi rasa bahagia. Mereka telah lama merestui hubungan kami, malah sudah lama menganggap diriku sebagai sebahagian daripada keluarga kecil mereka itu. Begitu selesanya diriku tatkala bersama mereka. Dalam keriuhan majlis makan pada malam itu, aku terkedu kesyahduan. Terfikir sejenak tentang masa hadapan. Dan pada masa itulah juga, hatiku berpaut pada ikrar dan kepercayaan bahawa tiada siapapun di dunia ini, kecuali Allah yang maha esa, yang mampu memalingkan diriku daripada Danish, kesayanganku sejak 4 tahun yang lepas. Dia berjaya mencuri perhatianku buat pertama kalinya pabila dia menawarkan untuk membuat kerja sukarelawan di rumah anak-anak yatim Muhammadiyah sempena hari kelahirannya yang ke 17.

"Betul kau tak mahu adakan pesta? Orang lain buat pesta besar-besaran, kau sibuk hendak beri makanan pada anak-anak yatim. Eh, mereka dah cukup makanlah bro," kata-kata Yazid di depan kami semua terngiang di kuping ku. Ini dituruti dengan beberapa helaian tawa daripada teman-teman sekelas kami yang lain. Pada ketika itu, Danish hanya menjeling menghiraukan karenah rakan-rakannya, lalu pandangannya beralih ke arahku. Aku hanya tersenyum malu. Segan untuk meluahkan perasaan kagum dengan keperibadiannya yang amat berbeza dengan anak jantan sebaya yang lain. Dia seakan terkejut dengan perilaku ku yang tidak sepadan dengan apa yang telahku tonjolkan selama ini.

Sebelum ini, tidak pernah sama sekalipun aku senyum ke arah Danish. Entah mengapa. Mungkin kerana telah terpatri dalam benak ini bahawa dia pasti seperti yang lain. Perangai kebudakan, tak tahu bila akan matang. Ataupun mungkin kerana dia seorang yang pendiam. Walau apapun ceritanya, aku tidak pernah menghiraukan kewujudan Danish sehinggalah pada hari itu. Dia berjaya memikat hatiku.

Selang dua tahun selepas itu, barulah kami boleh dipanggil pasangan. Dia telah membawaku ke sebuah restoran di Orchard lalu menghadiahkanku sekalung rantai berlian berserta dengan jambangan bunga ros merah. Lambang kasih, katanya. Saat itulah kami mula kerap meluangkan masa bersama, sehinggalah aku menjadi tunangnya yang sah. Hingga kini, aku bahagia. Aku pasti aku bahagia. Tapi benarkah? Bahagia hingga kini?

Oh let's face it. Aku patut terima kenyataan! Segalanya telah berubah dan aku sendiri tak pasti puncanya. Telefon tidak lagi dijawab dengan segera, tiada kedengaran lagi suara gelak ketawa. Ya, benar aku telah berjanji untuk tidak berpaling, tetapi aku lupa bahawa hati Danish tidak semestinya terikat pada ikrar yang sama. Aku telah alpa!

Dan kerana inilah, bagasi-bagasi dihadapanku tersusun rapi. Tinggal menunggu esok tiba, dan aku akan berangkat ke Phuket. Yang paling penting, bas yang akan kunaiki mengambil perjalanan sehari suntuk. Pasti aku berpeluang melapangkan minda dan hati.

Phuket, kau tunggu kedatanganku! Aku berharap kau dapat membantu pulihkan kembali hatiku yang hancur berderai! Bersedialah air laut untuk menerima cincin pemberian seorang pengkhianat. Bersedialah kau walaupun aku belum tentu boleh melakukannya.

Selamat malam wahai pujaan hati. Aku akui, akan mengambil masa yang amat lama untuk memaafkan dan menerimamu kembali sebagai teman. Tapi aku akan cuba, kerana aku terlalu menyayangimu.

Misi cantas cinta...lagi?Where stories live. Discover now