PELIK 2.0

924 32 1
                                    


Nurse Munah datang ke katil Razi.

"Kenapa ni? Murung je. Cuba senyum sikit?"

Razi hanya menggonyoh matanya yang sudah merah.

"Rindu ibu ye?"

Razi geleng.

"Habis tu?" Nurse Munah di penjuru katil, memberikan senyuman paling manis kepada budak lapan tahun itu.

Razi sambung menggonyoh mata.

Masuk hari ini, dah tiga hari Razi tinggal di wad ini. Ibunya hanya akan datang pada waktu melawat sahaja, kerana perlu menguruskan dua lagi anaknya yang masih bersekolah.

Budak ni selalu kelihatan lesu, menimbulkan rasa bimbang Nurse Munah.

Dia tak biasa jauh dengan ibunya ke? Bisik hatinya.

"Kenapa ni sayang? Semalam tak lena tidur?" Rambut budak itu diusap.

Razi angguk perlahan.

"Kenalah tidur. Barulah cepat sembuh. Bila cepat sembuh, boleh balik cepat."

Dengan suara yang sangat perlahan, Razi kata, "Ada badut..."

Nurse Munah tersentak. "Ha?"

Suara budak itu dinaikkan sedikit, "Ada... ada badut... Semalam. Dekat..." Razi menunding jari ke arah pintu masuk wad kanak-kanak tersebut.

Nurse Munah menoleh ke arah pintu tersebut. Raut wajahnya berubah daripada ceria menjadi cuak. Selang beberapa saat, dia pandang Razi dengan senyuman semula. Dia ambil nafas sebelum kata, "B..badut kan kelakar?"

Razi menggeleng, penuh ketakutan.

"Aip..." Nurse Munah acah-acah garang. "Razi kan dah besar. Mana boleh takut."

Razi tunduk.

"OK... bagitahu Nurse. Kenapa Razi takut badut?"

"... Seram..."

"Ish, Razi ni... Mana ada seram. Badut kan buat orang ketawa?"

"... Tapi..."

"Semua orang suka badut. Dia kelakar... Bawak hadiah... Bawak belon..."

Budak lapan tahun itu terus diam, cuba memproses apa yang jururawat itu beritahu.

"Dah, jangan takut ye?"

Razi angguk perlahan. Rasa takut masih kelihatan di wajahnya.

____________

Nurse Munah adalah jururawat senior di hospital kerajaan tu. Memiliki pengalaman 25 tahun dalam kejururawatan, dia kini merupakan ketua jururawat dibahagian wad kana-kanak.

Asalnya, dia memang tak sukakan budak-budak, sebab itulah kenapa dia tidak pernah mempunyai anak. Namun, arwah suaminya dulu sangat sukakan budak-budak. Sejak dia meninggal lima tahun lepas, barulah Nurse Munah akhirnya ubah pendiriannya terhadap budak-budak.

"Nak balik dah?" Nurse Rokiah menegur.

"Iya," Nurse Munah jawab dengan penuh riang, meskipun kepenatan jelas terpampang pada wajahnya.

"Dah seminggu dah akak buat OT sampai malam. Akak tak penat ke?"

"Takde pun. Dekat rumah pun akak tak buat apa. Ni, akak gerak dululah ya? Kalau boleh jangan kerap sangat masuk dalam wad. Takut budak-budak tu tersedar."

"Baik kak."

Nurse Munah terus keluar ikut pintu belakang hospital. Angin jam 11 malam bertiup kuat malam ini. Dia terus bergegas ke arah keretanya kerana tusukan rasa sejuk sangat menyeksakan buat dia yang kini sudah mencecah usia lewat 40-an.

Enjin kereta dihidupkan. Dia ambil masa untuk merenung ke arah tingkat dua. Hanya cahaya lampu yang dia nampak menerusi bahagian wad kanak-kanak itu. Dia berharap yang semua pesakit di wad itu tidur nyenyak malam ni.

Brake tangan diturunkan. Dan pada itu jugalah dia terdengar suara menyeringai di tempat duduk belakang.

Dia tahu yang benda tu dah lama di situ.

"Abang... jangan kacau budak katil nombor 6 dah. Ketakutan budak tu, sampai tak boleh tidur semalam."

"Eeeeheheheheeee..."

"Tau?"

"Eeee~"

Tanpa perlu membuka pintu kereta, kelibat berupa badut itu keluar daripada kereta sambil membawa sebiji kek besar yang di atasnya ada enam batang lilin yang menyala.

Sebaik sahaja kelibat itu masuk ke dalam hospital melalui pintu belakang, Nurse Munah memandu pergi.

Beginilah rutin hariannya sejak minggu lepas.

Sejak dia memanggil badut tu ke sini.

_________

Puan Jalina datang bertemu Nurse Rokiah.

"Terima kasih nurse, selalu tengokkan anak saya sepanjang duduk sini."

"Sama-sama. Memang dah jadi tanggungjawab kami, puan."

Mereka bersalaman sebelum dia dan anaknya, Razi pergi meninggalkan wad itu.

Nurse Rokiah berhenti di hadapan papan kenyataan wad kanak-kanak. Dia tatap wajah Nurse Munah.

Seorang nurse lain datang ke arahnya. "Kesian dia kan? Anak tak ada..."

Nurse Rokiah merenung wajah rakan sejawatannya tu. "Itulah... Rindu pulak aku. Banyak sumbangan dia dekat sini."

"Dengar cerita dia pindah bahagian sini lepas suami dia meninggal."

"Betullah tu. Dia sendiri pernah bagitahu aku. Suami dia meninggal sakit misteri."

"Misteri? Misteri macam mana tu?"

"Entahlah, Nab. Yang aku tahu, dia cerita dekat aku dulu suami dia dulu kerja badut."

"Ush... Seram kau. Kerja badut, mati misteri. Dah, aku nak sambung kerja. Dahlah aku nak OT malam ni. Nanti jangan lupa update carta ni tau?"

"Baik..."

Setelah rakannya itu beredar, Nurse Rokiah cabut gambar Nurse Munah daripada carta organisasi di papan kenyataan.

Masuk hari ni, dah seminggu Nurse Munah meninggal akibat kemalangan jalan raya sewaktu pulang daripada bertugas.

____________

Bas Rapid Kuantan tiba. Puan Jalina dan Razi masuk ke dalam bas dan duduk di bahagian belakang.

Ketika itu, Razi ternampak satu kelibat badut melambai dari atas bumbung hospital.

PELIKWhere stories live. Discover now