Bab 1 : Love, Elsa

7.5K 122 16
                                    




Rambut yang sedikit ikal keperangan diikat tinggi di belakang kepala. Kemudian tangan bergerak pula mengambil berus blusher di atas almari solek. Dicalit ke dalam kotak empat segi yang menempatkan pemerah pipi berwarna merah jambu. Perlahan dioles berus tadi ke tulang pipi beberapa kali. Dari pipi kanan, beralih pula ke pipi kiri. Anak mata tak lepas-lepas memandang wajahnya di vanity mirror. Jelas segenap inci kerana disuluh lampu LED yang mengelilingi cermin tersebut.

Berus sederhana kembang berbatang hitam itu disusun kembali ke dalam bekas bulat di atas meja solek penuh rapi. Sempat jari jemari menguis berus-berus lain yang sedikit senget kedudukannya. Semua perlu tampak teratur, tersusun dan kemas. Masih belum berpuas hati, anak mata mula meneliti satu persatu susunan alat solek di almari solek tersebut.

Berbelas botol perfume pelbagai bentuk dan jenama terkenal ditolak ke depan dan ke belakang. Semua perlu berbaris lurus dan tak boleh 'lari' walau sedikit pun. Botol-botol tinggi di belakang, yang pendek pula di depan. Nafas dihela panjang setelah yakin semua berada di tempat yang sepatutnya. Walaupun dia tak menyentuh setiap barang yang ada, entah kenapa ia tetap mengganggu fikirannya. Tetap juga dia mahu membetulkan kedudukan yang sudah sedia sempurna itu.

Beberapa minit menyusun botol minyak wangi, tangan berpindah pula ke laci almari solek yang berwarna putih itu. Ditarik perlahan. Anak mata mula meneliti isi dalamnya yang menempatkan berbelas pasang sarung tangan. Tidak banyak warna berbeza melainkan warna hitam, putih dan krim sahaja. Hanya material fabrik berlainan memberi sedikit perbezaan.

Bibir digigit perlahan. Bagi orang lain, ini bukanlah satu keputusan yang sukar untuk dibuat. Memilih sarung tangan untuk dipakai, tak ubah seperti memilih sepasang stoking. Tapi baginya berbeza. Apa saja keputusan yang perlu dibuat, otak dan hati sentiasa lincah berperang. Sungguh, dia tak mahu ada perasaan kurang senang mengganggu fikirannya sepanjang hari. Ya, hanya sebab tersalah memilih sepasang sarung tangan.

Setelah membelek satu persatu, akhirnya sarung tangan yang ditempah khas dan diperbuat daripada kain lace itu dicapai. Warna krim lembut begini pasti saja sesuai dengan pencil skirtnya yang berwarna coklat gelap. Blaus putih berenda di bahu pula semakin melembutkan permainan tona warna di tubuhnya. Penuh hati-hati sarung tangan tadi disarung untuk membalut jari jemarinya yang runcing.

Bunyi mesej di telefon bimbit membuatkan dia bangkit dari kerusi dan melangkah perlahan ke katil yang bercadar putih. Dicapai telefon bimbit tersebut dan segera memeriksanya. Boleh diagak siapa yang memberi pesanan. Kalau bukan mesej daripada Maxis yang memberitahu data internetnya akan dibawa ke bulan depan, pasti mesej daripada Jenna.

Ammara,

I really need your help. Boleh datang kedai sekarang?

I ada meeting dengan wedding planner. Please reply me. Thanks!

- Jenna.

Ammara mengerling kepada jam berbentuk empat segi di atas meja sisi bersebelahan katil bersaiz king itu. Pukul 9.05 pagi. Sepatutnya hari ini dia mula bekerja pada pukul sebelas pagi nanti. Dan seperti hari-hari yang lalu, dia akan menghabiskan masa selama dua jam di café berdekatan sebelum memulakan tugas di kedai bunga yang dimiliki Jenna. Tenang menghirup kopi sambil membaca novel Inggeris kesukaannya di situ.

Teringatkan pesanan Jenna yang mahu dia membalas mesej tadi, jari jemari mula menaip satu persatu huruf di skrin telefon bimbitnya. Dalam pada ralat kerana aktiviti rutinnya terganggu, Ammara tak sampai hati pula mahu menolak permintaan majikan yang cukup baik itu.

OK.

- Ammara

Telefon bimbit diselit ke poket kecil di bahagian dalam tote bag berwarna hitam. Sebelum keluar dari kamar tidurnya, sempat Ammara menarik tegang cadar putih bersih yang terhampar di atas katil. Sekali lagi mata meneliti keseluruhan ruang yang agak luas dan teratur itu. Nafas ditarik panjang. Good. Perfect.

Love, ElsaWhere stories live. Discover now