Bab 38 - Suara Azan Dalam Kolam

2.5K 50 2
                                    

  "Dapat mayat nya pun jadilah", sahut lelaki berbadan tegap.
Datuk angguk kepala dan tersenyum dalam cahaya gasolin yang memancar garang.
"Baiklah, kalau dah begitu hajat kamu", nada suara datuk cukup lembut.
Dia menyuruh saya memadamkan lampu gasolin.
"Memadailah dengan cahaya unggun saja", bisiknya pada saya.
Datuk bangun dan terus menghentak tumitnya ke bumi berkali-kali. Datuk menggigit bibirnya sambil melangkah tiga tapak ke depan dan undur tiga tapak. Kemudian berdiri macam patung dengan kedua belah tangannya terletak atas dada.
"Ada kamu dengar sesuatu?", datuk bertanya pada kami.
"Tak ada", jawab kami serentak.
Datuk menggigit jari. Saya lihat apa yang datuk lakukan semuanya tidak kena. Macam ada sesuatu yang menghalangnya. Datuk terus bertafakur beberapa saat. Akhirnya, dia membongkok dan menumbuk bumi sebanyak tiga kali berturut-turut. Bunyi bumi yang ditumbuk oleh datuk jelas kedengaran. Lepas itu tidak ada apa yang kedengaran lagi. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara burung. Saya terus toleh kiri dan toleh kanan. Bila saya melihat kearah kolam, dada saya berdebar-debar. Seluruh kolam itu sudah dipenuhi dengan burung belibis. Burung-burung itu mandi sambil membelai bulunya dengan asyik.
Datuk masih bertafakur. Mulutnya bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Suara orang mengilai kedengaran lagi. Pokok-pokok sekitar kolam mula bergoyang dirempuh angin. Serentak dengan itu terdengar suara gadis membaca ayat-ayat suci. Bila suara gadis itu hilang, seekor burung belibis hitam terbang dipermukaan air dan akhirnya hinggap diatas dahan pokok yang menjulur ke atas kolam. Angin pun berhenti bertiup. Mata burung belibis yang bertenggek atas dahan itu bagaikan merenung ke arah kami.
Dari atas dahan itu burung belibis hitam terbang ke arah busut jantan dan hinggap di situ. Datuk masih lagi membaca sesuatu. Seluruh badannya dibasahi peluh. Saya terus menahan nafas, saya tidak mahu bunyi tarikan nafas saya akan mengganggu datuk yang sedang menjalankan tugasnya. Malam pekat terus menguasai sekitar kawasan kolam.
Burung belibis yang hinggap di busut jantan terus hilang dari pandangan mata saya. Bunyi bising mula kedengaran bercampur dengan suara petir, bumi bagaikan bergegar. Saya terus berdoa semoga jangan terjadi gempa bumi atau puting beliung. Saya lihat datuk mula bergerak kearah busut jantan. Kami bergerak mengikut datuk dengan hati-hati. Kami menarik nafas panjang. Di atas busut jantan tertonggok satu lembaga yang besar. Duduk bersila dengan kedua belah tangannya mendakap dada. Lembagayang berkulit hitam tanpa baju itu bagaikan sedang menghening cipta atau bertafakur.
Datuk terus mara ke arahnya. Lebih kurang dalam jarak lima kaki darinya datuk terus berhenti. Kami jadi resah . Tetapi, tidak seorang pun yang berani menyatakan keresahan masing-masing.
"Pergilah ke kolam itu semula, tepuk airnya tujuh kali kemudian sapukan ke muka, dengan berbuat begitu saja mayat orang yang hilang itu akan timbul", kami terdengar suara lelaki.
Suara itu parau dan bernada keras. Saya yakin suara itu keluar dari mulut datuk. Rasa ragu yang timbul di hati saya itu segera hilang. Suara itu adalah suara lembaga yang duduk atas busut jantan tetapi, telah di pindahkan ke dalam diri datuk. Ertinya datuk sudah berjaya mempersatukan perasaannya dengan alam ghaib. Seterusnya kami dapat mendengar percakapan yang terjadi antara datuk dengan lembaga itu seperti berikut.
"Ada lagi yang mahu aku pinta padamu"
"Apa dia, cakaplah sekarang"
"Kami mohon keselamatan diri orang-orang yang datang ke sini. Janganlah diri mereka dianaiya"
"Boleh. Dengan syarat jangan menembak atau membunuh rakyat aku. Kalau mahu, minta cara baik"
"Bagaimana caranya?"
"Sebelum menembak atau menangkap rakyat aku, sembelih kambing dan darahnya buang ke dalam kolam"
"Baik"
Bila suara itu tidak kedengaran lagi, datuk terus menampar dada sebelah kanan tiga kali. Lembaga di atas busut jantan terus hilang dari pandangan kami. Datuk tergesa-gesa meraba kedua belah kelopak matanya, bagaikan orang yang baru sedar dari tidur.
"Kita turut saja apa yang diperintah oleh orang di sini", kata datuk kepada kami.
Dia menyuruh saya menghidupkan lampu gasolin. Perintahnya itu saya ikut. Bila lampu gasolin sudah menyala, seluruh kawasan itu terang benderang. Burung-burung belibis yang tadinya penuh satu kolam sudah tidak kelihatan lagi . Air kolam nampak tenang dengan pokok-pokok teratai dan kiambang di permukaannya. Kerana waktu Isyak masih ada, kami terus menunaikan sembahyang Isyak dan imamnya tetap juga datuk.
Lepas sembahyang, kami merebahkan badan dan terus tidur. Datuk menghabiskan masa malam dengan membuat amalannya. Dia berdoa dan membaca Surah Yasin. Selepas menunaikan sembahyang subuh, datuk terus melakukan senaman. Bila matahari mula terbit di kaki langit, kami sudahpun berkumpul dibibir kolam. Datuk akan melakukan upacara menepuk air kolam tersebut.
"Bersedialah. Kalau buruk yang datang kita tentang, kalau baik yang datang kita tatang", ujar datuk sambil duduk mencangkung di bibir kolam.
Rasa sejuk menguasai seluruh badan kami. Dengan hati-hati datuk pun menepuk air di kolam. Tepukan itu menimbulkan gelombang di permukaan kolam, pokok-pokok teratai dan kiambang bergerak ke sana ke mari, bersama hembusan angin yang cukup kuat. Bila datuk menyapukan air kolam ke mukanya, gelombang dan angin yang bergemuruh itu terus berhenti. Kemudian datuk menyuruh kami menepuk air di kolam dan menyapu ke muka masing-masing. Bila upacara itu selesai datuk terus duduk di tepi kolam sambil mulutnya berkomat-kamit membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit datuk berbuat demikian, tiba-tiba mengapung tubuh manusia dipermukaan kolam.
"Usman, mayat Usman", pekik lelaki berbadan tegap.
Dia segera mahu masuk ke dalam kolam. Datuk segera menahan dengan menolaknya ke belakang. Lelaki berbadan tegap itu jatuh ke atas bumi. Muka datuk jadi merah. Marah benar dia dengan perbuatan lelaki itu, memang pantang tujuh keturunan pada datuk jika ada orang lain mahu mendahului kerja-kerjanya.
"Kalau aku yang memulakannya, biarlah aku yang menyelesaikan semuanya", nada suara datuk cukup keras.
Dia pun menyingsing lengan dan melipatkan kaki seluarnya. Mata datuk tertumpu pada mayat yang terapung atas permukaan kolam. Datuk segera membuka kain yang mengikat kepalanya. Kain itu diletakkannya atas bahu kanan. Dengan tenang datuk turun ke dalam kolam. Air dalam kolam mula bergelombang. Pancaran matahari pagi yang menikam permukaan kolam menimbulkan cahaya kilau kemilau pada gelombang air yang membentuk bulatan kecil. Datuk terus berenang mendapatkan mayat yang terapung. Lelaki gagah yang jatuh di tolak oleh datuk tadi segera bangun, dia mengarahkan kawan-kawannya supaya membuat pengusung. Saya tidak mahu membantu mereka. Saya lebih senang melihat tindak-tanduk datuk yang berada dalam perut kolam.
Datuk terus menarik mayat Usman ke tepi kolam. Dengan bantuan orang bertiga, mayat Usman diletakkandi atas pengusung. Untuk mengusung mayat ke tepi jalan raya bukanlah satu perkara yang mudah.
"Begini saja, biarkan mayat itu di situ, kita pulang sekarang", datuk mengeluarkan perintah yang ganjil.
Muka orang bertiga nampak cemas. Tetapi, mereka tidak berani bertanya kenapa datuk berbuat demikian. Datuk menyuruh kami keluar dari kawasan kolam itu dahulu. Kami patuh pada perintahnya. Ketika kami melintasi pokok besar di tengah kawasan hutan, kami bertemu dengan seekor harimau yang melangkah gagah, tanpa merenung ke arah kami.
Harimau itu menuju ke kawasan kolam. Bila kami sampai ke tepi jalan raya, mayat Usaman sudah berada di situ. Datuk berdiri tidak jauh dari mayat tersebut, bercakap dengan beberapa orang anggota Pasukan Polis Hutan. Bila saya memeriksa kawasan tempat mayat Usman diletakkan, saya tersua dengan tapak kaki harimau. Saya senyum sendirian. Datuk meminta pertolongan dari rakan karibnya bagi mengatasi masalah yang dihadapinya. Datuk menghampiri kami. Datuk terus memberitahu kami, Pasukan Polis Hutan itu mahu masuk ke dalam hutan untuk melancarkan gerakan mencari Usman yang hilang.
Salah seorang adik Usman yang bertugas sebagai guru sekolah di Kuala Kangsar telah mengadu kepada polis atas kehilangan abangnya itu. Salah seorang pegawai Pasukan Polis Hutan menemui datuk. Mereka berjabat salam dan mempamirkan senyum masing-masing di bawah sinaran matahari pagi yang cerah.
"Saya ASP Mualim Hamid", dengan keramahan, pegawai yang berbadan tegap dan berkumis rapi memperkenalkan dirinya pada datuk. Mayat Usman yang terkapar di bibir jalan terus ditutup dengan kain pelikat oleh kawan-kawannya.
"Anak orang mana?", tanya datuk.
"Orang Kota Bharu, Kelantan. Tetapi ayah saya berasal dari Perak"
"Dari daerah mana tu nak?"
"Saya kurang periksa pula tu"
"Bukan apa-apa. Ada saudara sepupu isteri saya yang merantau ke Kota Bharu. Orang dari Kampung Gurap dekat Ipoh. Menurut ceritanya tinggal di Daerah Kubang Krian dan membuka perusahaan batik di situ"
"Menarik juga ceritanya. Tak pernah jumpa dia?"
"Belum pernah. Tetapi saudara maranya ramai di sini iaitu anak buah abangnya, Uda Lanca"
"Cubalah cari di sana"
"Memang ada niat di hati tu kalau panjang umur nanti sampailah saya. Saya nak cari anak-anak atau cucunya", kata datuk pada pegawai Pasukan Polis Hutan itu.
Datuk dan ASP Mualim Hamid terus menemui kawan-kawan Allhyarham Usman. Datuk dan ASP Mualim Hamid bercakap-cakap dengan mereka. Kemudian ASP Mualim Hamid menghubungi pegawai Polis Daerah Dinding (sekarang Manjung) di Lumut.
"Sekejap lagi mayat ini akan dihantar ke tempatnya dengan kereta polis", beritahu ASP Mualim Hamid kepada datuk.
ASP Mualim Hamid terus memerintahkan anak buahnya masuk ke dalam dua buah trak yang berhenti di situ. Datuk pun menghantar ASP Mualim Hamid ke jipnya. Sebelum jip itu bergerak, lagi sekali ASP Mualim Hamid bersalaman dengan datuk. ASP Mualim memberikan alamat rumahnya kepada datuk.
"Kalau ada masa lapang datanglah ke rumah saya di Hulu Kinta. Boleh kita bercerita panjang", kata ASP Mualim Hamid dari dalam jip.
"Tengoklah, kalau ada rezeki dan panjang umur, sampailah saya ke rumah anak", balas datuk dengan tenang.
Ketiga-tiga buah kenderaan yang membawa anggta Pasukan Polis Hutan terus bergerak. ASP Mualim Hamid dan anak buahnya melambai-Iambaikan tangan kepada kami. Kami membalasnya dengan rasa bangga. Datuk menghampiri mayat Usman. Kemudian datuk menyuruh orang yang berbadan tegap dan kawannya mengangkat mayat Usman untuk diletakkan di tempat yang redup.
Lebih kurang pukul sepuluh pagi, sebuah jip polis tiba. Dua orang polis meluru keluar. Mereka terus menuju ke tempat mayat Usman. Datuk terus menghampiri pemandu jip. Datuk bercakap dengannya sebentar. Datuk menarik pengusung dari belakang jip dengan dibantu oleh pemandu jip yang berkulit agak cerah. Tingginya lebih kurang sama dengan tinggi datuk. Datuk dan pemandu jip membawa alat pengusung ke tempat mayat Usman. Mayat Usman pun diletakkan atas pengusung dan di bawa ke dalam perut jip.

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN. Tamar Jalis (JILID 2) (COMPLETE)Donde viven las historias. Descúbrelo ahora