Bab 39- Dendam Orang Sabar.

2.4K 50 1
                                    

  Selama satu minggu saya dan datuk berada di kampung Kiai Muslih, boleh dikatakan hari-hari hujan turun. Kalau tidak sebelah pagi, sebelah petang pasti hujan. Orang-orang mula mengerjakan sawah masing-masing. Walaupun masalah kemarau yang melanda kampung itu sudah berakhir, tetapi Kiai Muslih meminta datuk tinggal disitu untuk beberapa bulan lagi. Kiai Muslih menjadikan datuk teman rapatnya untuk mengajar agama di beberapa buah kampung sekitar daerahnya.
"Kenapa datuk terima permintaannya?",saya menyoal datuk pada suatu pagi.
Datuk tersenyum dan memberitahu saya, dia terpaksa berbuat demikian kerana dia merasakan keselamatan diri Kiai Muslih tidak terjamin. Tetapi, datuk sendiri tidak dapat mencari siapakah orang yang mahu menjahanamkan diri Kiai Muslih.
"Alamat dan petua yang aku pakai bagaikan memberitahu sesuatu yang tidak baik. Apa salahnya kita tengok dan lihat dulu Tamar. Lagi pun Kiai Muslih tu orang berilmu, banyak yang boleh aku belajar darinya", demikian datuk memberitahu saya. Dan saya tidak membantah apa juga kemahuan datuk.
Sepanjang masa saya dan datuk tinggal di rumah Kiai Muslih, ternyata rumahnya tidak putus-putus di kunjungi oleh para penduduk. Mereka datang menemui Kiai Muslih dengan berbagai-bagai maksud. Kebanyakan yang datang itu adalah orang-orang sakit dan sudah puas menemui doktor tetapi, sakit yang di tanggung tidak juga mahu sembuh. Bila mereka menemui Kiai Muslih dengan izin Allah penyakit yang di rawat itu terus sembuh. Biasanya, Kiai Muslih akan memberikan orang yang sakit itu minum air sejuk yang sudah dijampinya terlebih dahulu. Kemudian tangannya bergerak sendiri mencari bahagian-bahagian yang sakit. Bila sudah bertemu, disempurnakan dengan membaca ayat suci dari Al-Quran.
Kemudian pesakit itu akan diubat dengan ramuan tradisional. Perbuatannya itu seperti tidak masuk di akal. Tetapi anehnya, kebanyakan pesakit yang dirawatnya sembuh atau bertambah kurang penyakitnya. Kerana kebolehannya yang luar biasa itu, Kiai Muslih amat dihormati oleh para penduduk disitu, dia dianggap sebagai orang tua yang berilmu tinggi. Saya amat kagum dengan sikap Kiai Muslih yang tidak pernah membesarkan diri. Dia amat menghormati datuk. Melihat keadaan itu, mustahil ada orang lain yang mahu memusuhi dirinya.
"Aku gagal mengubat dan memulih semangat seorang lelaki di Tanjung Malim", Kiai Muslih mengadu pada datuk.
"Apa sakitnya?"
"Bila bulan terang dia akan menjerit, penyakitnya cukup ganjil. Aku yakin dia dirasuk syaitan. Rumahnya besar dan pada setiap malam dia tidur dengan perempuan cantik. Aku harap kau dapat menolong aku"
"Tengoklah dulu"
"Aku harap benar-benar pertolongan kau"
"Begini saja, minggu depan kita kesana", datuk memberikan jawapan.
Kiai Muslih cukup gembira sambil memandang ke halaman rumahnya. Datuk mengeliat lemah dan saya melihat jam di tangan. Sudah pukul tiga petang. Kerana keadaan cuaca agak baik, Kiai Muslih mengajak datuk melihat tanah sawahnya. Datuk memenuhi permintaan itu. Ketika berjalan di tepi sawah itu, anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih muncul di hadapan kami. Anak muda itu terus menahan perjalanan kami. Dia rapat pada Kiai Muslih.
"Pinangan saya di tolak, apa kurangnya saya dengan anak muda dari Langkap tu", nada suara anak muda itu keras.
"Suriati yang tidak mahu. Lagi pun jodoh kau dengannya tak ada"
"Suadahlah muka sial", anak muda itu terus meninggalkan kami. Kiai Muslih masih tersenyum menghadapi peristiwa itu.
Dua hari kemudian sesudah peristiwa di tepi sawah itu terjadi, penduduk-penduduk kampung Kiai Muslih jadi gempar. Seorang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan ditemui mati di pinggir sawah. Seluruh badannya hitam. Perempuan malang itu ialah sepupu dengan anak muda yang mempersendakan Kiai Muslih di dewan dulu.
Serentak dengan itu tercetus khabar-khabar angin yang mengatakan perbuatan itu dilakukan oleh Kiai Muslih. Orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita itu mengatakan, Kiai Muslih memelihara syaitan dan perbuatannya itu dilakukan sebagai membalas dendam pada anak muda yang menjatuhkan air mukanya di khalayak ramai. Golongan yang tidak bertanggungjawab itu lalu mengapi-apikan anak muda yang sememangnya memusuhi Kiai Muslih, supaya melakukan sesuatu. Anak muda yang sudah hilang perhitungan itu lalu bertindak liar. Anak muda itu terus mendatangi rumah Kiai Muslih. Kerana Kiai Muslih tidak ada di rumah, anak muda itu terus memukul isteri Kiai Muslih kemudian menikam cucu Kiai Muslih iaitu, Suriati hingga mati.
Anak muda itu terus mencari Kiai Muslih yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai. Anak muda itu tanpa berkata sepatah apa pun terus menikam Kiai Muslih. Kiai Muslih rebah ke bumi. Saya dan datuk secara kebetulan pula tidak pulang bersama Kiai Muslih dari kedai petang itu. Bila kami sampai ke tempat kejadian itu, Kiai Muslih masih bernyawa. Kami segera membawanya ke rumah. Sampai di rumah Kiai Muslih mendapati cucunya sudah tidak bernyawa lagi dan kepala isterinya berdarah. Datuk terus merawat Kiai Muslih.
Datuk juga menasihatkan Kiai Muslih supaya bersabar. Saya disuruh oleh datuk supaya tinggal di rumah Kiai Muslih kerana datuk mahu melaporkan kejadian itu pada pihak berkuasa. Saya terus duduk disisi Kiai Muslih yang terbaring di dalam rumahnya. Tiba-tiba saya terkejut, Kiai Muslih bangun. Mukanya merah. Dia boleh berjalan macam orang sihat.
"Kau uruskan bersama datukmu jenazah cucu aku", katanya pada saya.
"Mahu ke mana ?", tanya saya.
Kiai Muslih tidak menjawap dan terus keluar rumah. Kehilangan Kiai Muslih merunsingkan hati datuk. Walaupun isterinya sudah dihantar ke Hospital Teluk Intan dan jenazah cucunya sudah di kuburkan, Kiai Muslih tidak juga muncul-muncul. Kesempatan itu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pihak yang menyebarkan fitnah. Kononnya Kiai Muslih melarikan diri kerana tidak sanggup menghadapi kemarahan orang kampung terhadap perbuatannya. Datuk menafikan semua tuduhan itu, akibatnya datuk dituduh bersuhabat sama dalam kerja terkutuk itu. Datuk di beri kata dua untuk membuktikan kebenaran cakapnya itu dalam tempoh dua hari oleh ketua kampung. Jika datuk gagal, ketua kampung minta datuk dengan hormatnya keluar dari kampung tersebut.
"Tamar, inilah ujian yang berat buat aku, kita harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya Tamar", kata datuk pada saya, sebaik sahaja dia pulang dari menemui ketua kampung kira-kira pukul dua petang.
Selepas sembahyang Zuhur di kampung tersebut, datuk terus menuju ke rumah Kiai Muslih. Dia terus duduk bersila di anjung rumah tersebut. Kedua belah tapak tanganya terlekap atas tempurung lututnya. Datuk bertafakur.
"Keimanan Kiai Muslih tercabar, sabarnya sudah hilang. Dia mahu membalas dendam yang sepatutnya tidak boleh dilakukan olehnya, kemarahan yang dipengaruhi syaitan sudah menguasai dirinya", dengan mendadak datuk bersuara, wajahnya kelihatan muram. Datuk mengajak saya pergi ke arah kawasan bukit yang terdapat di situ. Cuaca yang tadi terang mula muram dengan awan hitam di langit. Datuk dan saya terus meredah hutan tebal. Akhirnya, kami sampai di situ kawasan lapang. Di atas batu besar kelihatan Kiai Muslih duduk bersila bertafakur.
"Mantera hitam, mantera putih bersatulah", kedengaran suara Kiai Muslih. Kemudian Kiai Muslih menumpukan kekuatan batinnya, menyatukan rasa dengan alam. Dari mulutnya terkeluar bermacam-macam mantera yang kian lama kian keras diucapkannya.
"Kiai berhentikan perbuatan itu, kau sudah dipengaruhi syaitan", jerit datuk berkali-kali.
Kiai Muslih mempersetankan larangan datuk. Dia terus membaca manteranya. Awan hitam di langit semakin menebal dan guruh mula bersahut-sahutan. Datuk menggunakan kekuasaaan batin untuk menghubungi diri Kiai Muslih. Saya lihat dahi datuk berpeluh dan mukanya merah, macam udang kena bakar. Tiba-tiba datuk tersungkur atas bumi macam dihentak sesuatu. Saya mula resah tidak menentu. Dalam keadaan yang cemas itu hujan pun turun bersama dengan petir. Hujan bagaikan dicurah-curah lakunya, cukup lebat bersama dengan angin dan petir. Datuk saya lihat bergerak dan merangkak ke perdu pokok besar. Saya mengikutinya berteduh di situ. Datuk menangis tersedu-sedu. Dia tidak putus-putus menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan Kiai Muslih yang terburu-buru itu.
"Semuanya sudah menjadi bubur Tamar, aku tidak berdaya menahan kemarahan orang yang paling sabar", ujar datuk dalam sedu sedan yang memanjang.
Hujan lebat terus mencurah-curah, beberapa kawasan rendah mula dinaiki air. Menjelang waktu Maghrib seluruh kampung dilanda banjir besar. Gelombang banjir yang besar itu menghancurkan apa saja yang merintanginya. Kiai Muslih terus membaca manteranya tanpa mempedulikan hujan dan petir yang meledak di atas kepalanya. Datuk masih juga berusaha untuk memulihkan semangat Kiai Muslih ke alam nyata. Datuk menggunakan segala kepandaian yang ada pada dirinya. Usahanya gagal. Saya sudah menggigil, kulit badan terasa kecut tetapi, datuk saya lihat tidak mengalami apa yang saya alami. Badannya sentiasa panas dan nampak berasap.
"Kiai, kau sudah sesat", pekik datuk dengan sekuat hati. Serentak dengan itu Kiai Muslih menoleh kearah datuk.
Tiba-tiba kilat menyambar dengan kuatnya di kepala Kiai Muslih. Lidah petir yang tajam menyambar kearah Kiai Muslih. Terdengar satu gegeran yang amat kuat, seluruh kawasan itu dijilat api. Seluruh tubuh Kiai hangus terbakar. Saya terus pengsan. Bila saya sedar dari pengsan, saya dapati datuk duduk bertafakur atas bahu di tempat Kiai Muslih duduk. Datuk membaca ayat-ayat Quran dengan nyaring dan kuat, hujan beransur-ansur teduh dan akhirnya berhenti terus.
"Allah yang Maha Besar telah menunjukkan pada kita bahawa perbuatan membalas dendam sesama manusia tidak diperkenankan. Dalam membalas dendam orang yang tidak berdosa akan terkorban", kata datuk pada saya, kemudian datuk melihat mayat Kiai Muslih yang hangus.
Esoknya, bila banjir beransur surut, datuk pun menemui ketua kampung dan menceritakan perkara yang telah berlaku. Ketua kampung mula sedar dan insaf. Ketua kampung mengakui yang dirinya telah banyak membuat kesilapan dan percaya pada khabar-khabar angin, akibatnya banyak anak buahnya yang tidak berdosa menjadi korban. Ketua kampung juga memberitahu datuk, anak muda yang menjadi musuh Kiai Muslih hilang di bawa air yang melanda kampung tersebut. Walaupun begitu, datuk tetap menasihatkan ketua kampung supaya bersabar.
Ketika saya dan datuk meninggalkan kampung tersebut menuju ke Tanjung Malim, kami mendapat khabar yang ketua kampung juga menemui ajalnya secara ngeri. Ketua kampung mati ditimpa pokok kelapa ketika membersihkan kawasan rumahnya dari sampah sarap yang dibawa oleh air ketika banjir. Datuk hanya terdiam mendengar berita itu dan terus menghadiahkan Al-Fatihah pada roh ketua kampung.
Saya tahu, datuk pergi ke Tanjung Malim untuk menunaikan permintaan arwah Kiai Muslih untuk mengubati penyakit ganjil yang dihadapi seorang lelaki di tempat tersebut. Kerana kami sampai ke pekan Tanjung Malim pada waktu senja, kami terus menuju ke masjid. Setelah menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di Masjid Tanjung Malim, kami terus pergi ke sebuah kedai makan di pekan tersebut. Datuk terus bertanya pada tuan punya kedai tentang seorang lelaki yang tinggal di rumah besar dan mengidap penyakit ganjil.

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN. Tamar Jalis (JILID 2) (COMPLETE)Where stories live. Discover now