Bab 45-Badan Pawang Berasap.

2.5K 48 0
                                    

  Datuk terus menggosok-gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Matahari pagi kian meninggi, sudah berada di paras pucuk kelapa bercabang dua dan sinarnya terus menjamah pada air sungai yang bergelombang kecil itu. Memang tidak ada seorang pun penduduk Kampung Tanjung Ara yang mengetahui kami berada di kawasan itu. Kedudukannya agak tersorok dan dilindungi oleh beberapa pohon-pohon besar yang di gayuti oleh akar sebesar lengan budak. Manakala bibir tebing tempat kami berdiri pula, berkeadaan seperti sebuah teluk kecil yang pantainya berpasir halus. Melihat pada keadaan tempat tersebut dan bentuk pasir yang terdapat di situ, temyata kawasan tesebut menjadi tempat buaya berjemur dan bertelur.
"Bagaimana? Apa kaumahu menyangkal dengan apa yang aku katakan itu?", datuk terus renung wajah Saadun Juling.
Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Saadun Juling pada pertanyaan itu. Datuk lalu mengerutkan dahinya hingga kelihatan berlapis dua. Saadun Juling secara mendadak mengenggam penumbuk dan menahan nafas hingga mukanya kelihatan merah. Bila Saadun Juling melepaskan nafasnya terdengar macam bunyi suara buaya mendengkur dan wajahnya kelihatan garang sekali, biji matanya terbeliak mempamirkan urat mata yang merah berlajur atas selaput mata putihnya. Kelopak matanya nampak berlapis macam kulit buaya tua.
"Aku tahu kau marahkan aku Saadun. Tetapi, cuba kau fikir berapa lama kau mahu melakukan kerja terkutuk ini?"
"Itu urusan aku"
"Dan urusan aku pula menyelamatkan orang-orang di sini"
Lagi sekali Saadun Juling terdiam. Perlahan-Iahan dia melangkah ke hadapan sambil membelakangi datuk. Dalam sekelip mata saja, Saadun memusingkan badannya lalu berdiri berhadapan dengan datuk sambiI membongkokkan badannya, tetapi biji matanya tetap menentang biji mata datuk. Dada saya mula berdebar dan hati kecil saya bagaikan dapat meramalkan yang Sadun Juling akan bertindak di luar rasa peri kemanusiaan. Datuk masih lagi berdiri dengan tenang, mata datuk tidak berkelip-kelip ke arah biji mata Saadun Juling yang kelihatan agak tersembul dan bersinar-sinar, macam mata kucing hutan terkena suluh lampu picit.
"Aeiiii...", pekik Saadun Juling sambil melompat lalu melepaskan satu tendangan kilat ke dada datuk.
Kerana tendangan itu terlalu kencang dan kuat, datuk jatuh ke bumi. Dalam keadaan yang serba cemas itu, Saadun Juling berpusing ke arah saya lalu melepaskan penumbuk sulungnya ke pipi kanan saya, pandangan saya jadi berpinar-pinar, pipi mula terasa bengkak dan menebal. Saya terjatuh atas rumpun lalang liar, saya tidak berdaya mahu bangun. Saadun Juling terus menyerang datuk dengan bertubi-tubi, menyepak dan menendang ikut suka hatinya pada tubuh datuk yang tersungkur di bumi. Datuk tidak membalas serangannya yang begitu cepat bagaikan kilat itu, datuk lebih banyak mengelak dan mempertahankan dirinya. Saadun Juling memperlihatkan kehandalannya mengalahkan pihak lawan, gerak tangan dan kakinya macam kibasan ekor buaya, muka datuk mula dibasahi darah. Datuk kelihatan tidak bermaya dan Saadun Juling kian ganas, terus menyerang tanpa belas kasihan.
"Aieee...", jerit Saadun Juling dengan lantang, ketika itu saya lihat batang tubuhnya sudah berada diawang-awangan dan bersedia untuk menendang pangkal leher datuk.
Kalau tendangan itu tepat pada sasarannya, pasti nyawa datuk melayang dari badan. Bila tendangan dari Saadun Juling hampir ke batang leher, datuk segera mengelak dengan memusingkan badannya ke arah perdu pokok bunga tanjung. Usaha datuk itu berjaya, Saadun Juling tertendang perdu bunga tanjung. Kerana tendangan itu terlalu kuat sebahagian dari pada kulit perdu bunga Tanjung terkopak. Saadun Juling menjalar atas bumi seketika, kemudian dia merangkak macam buaya untuk menyerang datuk. Dengan cepat datuk bangun lalu melompat ke atas belakang Saadun Juling. Kedua belah tangan datuk memegang rambut Saadun Juling di bahagian ubun-ubun kepala. Saadun Juling tidak melawan, dia terkapar atas bumi dengan kedua belah tangannya terkedang, macam katak mati dilanggar tayar lori.
"Saadun, aku tahu di mana kekuatan dan sumpah ilmu kamu", kata datuk sambiI bangun.
Di tangan datuk saya lihat tergengam rambut Saadun Juling, tanpa banyak cakap Saadun Juling terus bangun dan duduk bersandar di perdu bunga tanjung. Dia kelihatan letih benar, nafasnya tercungap-cungap. Datuk terus membersihkan darah di muka dengan daun serunai laut. Kemudian daun itu diramas-ramasnya, lalu disapukan ke bahagian muka yang bengkak. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bengkak dan lebam di mukanya terus hilang. Ketika datuk mengubat mukanya dengan daun serunai laut, rambut Saadun Juling di sembunyikan di celah ketiak kanan.
"Saadun, aku minta pada kamu supaya jangan memuja semangat buaya yang boleh menyusahkan orang-orang di sini", datuk merayu dengan nada suara yang lembut . Saadun Juling juihkan bibir bawahnya ke hadapan. Datuk terus termenung panjang.
"Saadun, jangan jadikan diri kamu tempat orang meletakkan sumpah dan cara kau mencari rezeki begini tidak berkat, rezeki yang kau terima panas. Kau tak akan boleh hidup senang", tambah datuk lagi dengan wajah yang tenang.
Saadun Juling tetap membisu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya mahu patuh dengan permintaan datuk. Datuk jadi serba salah, segala usahanya menemui jalan buntu. Datuk terus membasuh muka dengan air sungai. Lama juga datuk merenung bayang wajahnya dalam air, setelah itu dia memetik daun keladi liar yang tumbuh di tebing sungai, daun keladi itu terus diisinya dengan air sambil mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu.
Dengan kedua belah tangannya, dia menatang air di dalam daun keladi dengan hati-hati (kerana dia tidak mahu rambut Saadun Juling yang disembunyikannya di celah ketiak itu jatuh ke tanah).
Bila datuk sudah hampir dengan Saadun Juling yang tercungap-cungap di pangkal pokok itu, datuk segera mencurahkan air dalam daun keladi ke muka Saadun Juling. Saya lihat muka Saadun Juling pucat seketika, kemudian baru berdarah kembali. Sebelum Saadun Juling berkata sesuatu, datuk terus menepuk dahi Saadun Juling sebanyak tiga kali berturut-turut sambil membaca selawat nabi.

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN. Tamar Jalis (JILID 2) (COMPLETE)Where stories live. Discover now