Bab 48 - Bertemu Ibu Santau

1.8K 54 0
                                    

  HIDUNG dan mata, saya tekankan ke badan datuk dengan sekuat hati. Gegendang telinga saya terus juga menangkap bunyi suara orang ketawa sambung-menyambung. Bila suara orang ketawa itu berakhir, segera digantikan dengan bunyi tapak kaki binatang yang sedang berlari, macam bunyi tapak kaki kerbau dikejar harimau.
Saya ketakutan, bulu tengkuk meremang. Badan datuk saya paut sepenuh tenaga. Saya tidak mahu berpisah dengan datuk. Dalam saat yang serba gawat itu, saya rasa bahu kanan saya di pegang oleh orang. Badan saya terus menggeletar.
"Tamar kau cucu tuk," saya terdengar suara datuk cukup jelas. Tangan yang terlekap atas bahu saya segera bergerak ke kepala.
"Cucu tuk harus berani, hanya orang yang berani dan tegas saja yang boleh hidup dalam dunia yang penuh dengan tipu daya manusia," tambah datuk sambil menepuk-nepuk kepala saya.
Saya segera memisahkan muka saya yang terlekap di badan datuk. Kelopak mata pun saya buka luas-luas. Saya jadi tergamam sebentar sambil mengkedutkan kulit dahi. Ada sesuatu yang aneh terasa dalam diri. Saya segera terfikir, apakah saya bermimpi atau berada dalam alam khayalan. Saya segera meraba kulit pipi, batang hidung dan daun telinga. Kemudian ibu jari saya gigit sekuat hati hingga terasa sakit, ternyata saya tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata, batang tubuh saya terpacak di atas bumi di halaman rumah Dumba di malam yang tidak berapa pekat.
"Tuk, apa dah jadi," tanya saya.
"Kita diuji dan diperdayakan, kita harus melawan. Jika kita lari bererti kita akan mati," jawab datuk sambil meletakkan tapak tangan kanannya di atas bahu kiri. Tangan kirinya diluruskan. Kaki kanannya dibengkukkannya sedikit, manakala kaki kirinya tetap dalam keadaan lurus.
Bunyi angin yang merempuh dedaun pinang dan kelapa cukup kuat kedengaran. Putik-putik kelapa dan pinang berguguran ke bumi, macam bunyi buah mempelam gugur yang pokoknya digoncang oleh manusia. Datuk segera merenung langit malam, ada bulan berbentuk sabit yang mula didekati oleh awan hitam berbentuk kepala burung geruda. Angin terus menderu, sayup-sayup terdengar suara jampuk miang meningkah suara burung hantu mengilai di hujung dahan, sesekali terdengar bunyi raungan serigala di kaki bukit. Semuanya menjadikan suasana malam itu cukup seram dan menakutkan. Bila saya renung ke arah kaki bukit, terlihat kabus putih memanjang naik ke udara, kabus itu bagaikan bergerak menuju pada saya dan datuk dalam bentuk lembaga manusia bermata satu. Biasanya kabus tidak akan terus naik menuju ke langit tetapi, kabus yang saya lihat ini, memang ganjil pada bentuknya yang seakan-akan bentuk pokok besar tanpa dahan dan ranting. Dalam keadaan bentuk pokok besar itu, ia kelihatan menembusi langit.
Saya jadi bodoh dengan keadaan yang begitu pelik. Tiba-tiba kabus yang berbentuk pokok itu mengepung diri saya dan datuk. Apa yang wujud di hadapan kami ialah pemandangan yang semuanya kelihatan putih macam kain kapan pembalut mayat. Datuk masih tidak berganjak dari tempat asalnya. Dia bagaikan tidak ambil kisah apa yang terjadi di hadapan matanya. Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak. Dari leher ke perut berbentuk badan ular sawa. Dari bahagian perut hingga ke bahagian lutut berbentuk ruas buluh. Anehnya, mereka tidak mempunyai kaki untuk memijak bumi, keadaannya tergantunggantung. Jumlahnya pula bukan sedikit.
Semua manusia tengkorak itu bergerak sambil mengeluarkan suara ketawa yang memanjang, manakala bahagian mata yang berlubang mengeluarkan beribu-ribu kelip-kelip atau kunang-kunang. Semua kunang-kunang itu menuju ke arah datuk, macam lebah yang keluar dari sarang kerana di kacau orang. Seluruh tubuh dauk digayuti oleh kunang-kunang itu, datuk terus melompat sambil berkata : Allah hu Akhbar tiga kali berturut-turut. Habis saja datuk menyebut perkataan tersebut, kunang-kunang itu hilang.
Datuk terus membaca sesuatu sambil membuka kain ikat kepalanya. Dalam saat yang sama terdengar ledakkan. Api pun menjilat seluruh kawasan tempat lembaga putih berdiri. Suara tangisan mula kedengaran, bila api yang marak itu padam. Saya dan datuk tetap berada di tempat asal iaitu di halaman rumah Dumba.
"Kita pulang Tamar, kalau kita mara padah buruk menanti kita," bisik datuk pada saya. Kami pun mula melangkah untuk pulang. Saya merasa amat kecewa dengan sikap datuk kali ini. Datuk tidak mahu melakukan sesuatu supaya perjalanan pulang jadi cepat. Masa mahu datang ke rumah Dumba tadi, dia suruh saya pejamkan mata sambil memaut bajunya. Kenapa masa mahu pulang datuk tidak mahu melakukan hal sedemikian? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
"Cara itu dilakukan ketika ada hal yang dikirakan mustahak saja, tak boleh digunakan ikut suka hati," tanpa diduga datuk menyelesaikan masalah yang menghantui fikiran saya. Pelik juga, saya tidak bertanya, saya tidak mengeluh. Tetapi, datuk tahu apa yang tersurat dalam hati. Itulah istimewanya datuk saya. Kami terus melangkah dengan tenang dalam malam yang dingin memburu subuh. Kokok ayam sayup-sayup kedengaran bersama titik air embun subuh yang menjamah wajah saya dan datuk.
"Melihat pada kedudukan bulan sabit, tiupan angin dan gerak awan, sekarang dah pukul empat pagi," kata datuk ketika memasuki sebuah lorang kecil yang menuju ke jalan raya. Kiri kanan lorong itu ditumbuhi dengan pokok-pokok keduduk yang bergoyang, saya terlihat seperti ada bayang-bayang manusia melintas di hadapan kami.
"Apa benda tu tuk?"
"Kau diam."
Saya terus mengigit bibir. Bayang-bayang iu ghaib entah ke mana. Dalam keadaan yang serba pelik itu, muncul pula seekor kucing hutan yang berbulu tebal, matanya merah menyala merenung ke arah saya dan datuk sambil membuka mulutnya luas-luas, mempamirkan kedua siung giginya putih dan tajam. Kucing hitam itu juga ghaib dalam sekelip mata.
"Sudahlah, tak guna bersembunyi, ilmu dunia tidak ada yang kekal, semuanya bersifat sementara dan ilmu itu akan lemah kuasanya mengikut umur dan kekuatan diri kita, bukankah kita ini hamba Allah," saya terdengar suara datuk bercakap ke arah tempat bayangbayang manusia dan kucing hitam itu ghaib. Bila datuk selesai bercakap, terdengar salakan anjing macam mengejar sesuatu di kawasan yang tidak jauh dari tempat kami berhenti. Saya dan datuk meneruskan perjalanan.
Kali ini langkah datuk cukup panjang dan laju. Saya terpaksa berlari-lari anak untuk menyamakan langkah saya dengan langkahnya. Hasilnya, saya termengah-mengah dan badan terus berpeluh dalam dingin subuh. Datuk dan saya sampai ke kaki tangga masjid. Datuk terus membasuh kaki dan badan di perigi, kemudian datuk mengambil air sembahyang, selalu bila datuk berada dalam masjid dia terus membaca Quran hingga terentak waktu subuh. Masa yang sedikit itu saya gunakan untuk tidur.
"Bangun, jangan tidur bertemankan syaitan," datuk goncang badan saya yang tersandar di tiang masjid. Bila saya buka kelopak mata, saya dapati orang-orang kampung sudah berada dalam masjid. Saya juga diberitahu oleh datuk yang azan sudah dilaungkan oleh salah seorang para jemaah.
"Saya mimpi tuk."
"Mimpi apa?"
"Saya terdengar suara orang menyanyikan lagu Pasir Roboh tuk."
"Ah, yang kau dengar tu suara azan, syaitan cuba mengkhayalkan kau, pergi ambil air sembahyang," sergah datuk. Saya pun terus ambil air sembahyang dan menunaikan fardhu Subuh.
"Hebat juga awak malam tadi," ujar Mahyuddin.
"Saya tak faham dengan apa yang awak cakap."
"Tak faham atau sengaja tidak mahu faham," Mahyuddin tepuk bahu datuk dan terus melangkah pulang.
Saya yang berdiri dekat datuk segera kedutkan dahi. Pelik juga saya memikirkan kata-kata Mahyuddin itu? Apakah peristiwa yang terjadi malam tadi ada hubungannya dengan diri Mahyuddin. Saya juga tidak dapat mempastikan antara Dumba dengan Mahyuddin siapa yang lebih awal datang ke masjid, saya juga tidak tahu adakah mereka bertegur sapa antara satu sama lain.
MANDI
Pagi itu saya dan datuk berjalan ke arah utara masjid, mencari air embun di hujung daun untuk disapu ke muka dan badan. Bila matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, kami kembali ke masjid sebentar.
"Kau tunggu di sini, biar aku yang masuk," datuk menyuruh saya berdiri di kaki tangga. Dia pun melangkah ke dalam masjid. Kira-kira tiga minit kemudian datuk keluar dari masjid dengan wajah yang tidak begitu riang.
"Aku sudah berjanji, kalau tidak aku mahu balik saja hari ini," datuk semacam mengeluh di hadapan saya. Sebelum datuk melangkah dia terus membaca sepotong ayat dari Quran, mohon pada Allah semoga perjalanannya ke tempat yang dituju tetap selamat dan diberkati.
Di bawah sinar matahari pagi yang cerah, saya mengikuti langkah datuk yang tidah saya ketahui arah tujuannya. Bila saya dapati datuk tidak melencung dari jalan tanah merah yang dilalui, saya sudah dapat menduga yang datuk mahu pergi ke kedai Dumba. Saya gembira kerana perut saya akan diisi dengan nasi lemak dan kopi.
Dumba menyambut kedatangan kami di muka pintu dengan wajah yang riang. Dia memeluk tubuh datuk sambil menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga pada datuk.
"Saya sangka awak dah lupa dengan janji awak pada saya, malam tadi saya tunggu di rumah sampai pukul tiga pagi tapi, awak tak datang," Dumba merungut di depan datuk. Saya lihat datuk mempamirkan senyum. Sepasang matanya meraut seluruh wajah Dumba. Bila datuk merenung dengan tepat pada kedua-dua anak mata Dumba, cepat-cepat Dumba mengalihkan pandanyannya ke arah lain. Dia bagaikan tidak mampu menahan sinar anak mata datuk yang tajam dan bercahaya itu.

(Bersambung)....  

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 3 ) COMPLETE!Where stories live. Discover now