Bab 59 - Kelawar Pontianak

1.7K 44 0
                                    

  Biji-biji getah yang dikutip saya lambakkan atas tanah. Datuk masih lagi menjalin bilah buluh dengan rotan. Dia membuat lukah (bubu) baru yang panjangnya satu hasta dengan injap bermata belas. Memang perangai datuk, kalau membuat lukah, mesti dimulakan waktu matahari terbit. Bila matahari sudah tinggi segalah, kerja itu diberhentikan.
Kalau diteruskan, lukah yang dibuat tidak membawa tuah. Ertinya, tidak ada ikan yang mahu masuk dalam lukah. Saya terus memecahkan kulit biji getah dengan kayu. Isinya saya taruh dalam penapis buluh.
"Jumlahnya mesti ganjil," tegur datuk ketika saya mencucukkan dawai halus ke dalam isi biji getah untuk umpan lukah.
Saya terpaksa mengira kembali isi biji getah yang sudah dicucuk berangkai. Semua jumlahnya ganjil belaka. Tetapi, ada satu yang mesti saya patuhi. Isi biji getah itu tidak boleh dilangkah, tidak boleh kena bayang.
"Sekarang kau masukkan umpan biji getah ke dalam lukah yang kita angkat dari sungai pagi tadi, sandarkan ke pangkal pokok manggis," datuk suruh dengan hati-hati. Kalau tersilap, pasti datuk bertempik dari atas pelantar.
"Menahan lukah dengan umpan biji getah ni bagus, bila biji getah tu dah masam, ikan akan mencari sampai ke dalam bubu," datuk tersenyum dan terus bangun.
Semua bilah buluh, rotan serta pisau peraut diletakkannya dalam bakul mengkuang. Datuk tidak mahu meneruskan kerja tersebut kerana matahari sudah meninggi.
"Tuk nak ke mana?"
"Aku nak tengok putik Salak Jambi," katanya.
"Tapi tuk, orang yang berjanji dengan kita dulu datang hari ini, tempohnya dah cukup."
"Aku tahu, dia orang datang sebelah petang," balas datuk dengan tenang. Langkahnya dipercepatkan menuju ke perdu Salak Jambi yang ditanamnya tidak jauh dari kawasan rumah.
Saya tidak tahu, kenapa datuk menaruh perhatian yang besar pada perdu Salak Jambi yang jumlahnya tidak sampai lima perdu.
Datuk Cuma memberitahu saya yang pokok salak itu benihnya dibawa dari tanah Jambi.
Buahnya besar dan agak panjang bentuknya, berbeza dengan buah salak dari Pahang dan Terengganu. Rasanya manis dan isinya juga tebal.
Datuk tidak pernah menjual buah salaknya. Dia lebih suka memberi percuma pada orang-orang kampung. Datuk juga menyuruh orang-orang yang menerima pemberiannya menanam biji salak tersebut.
Kata datuk, pada satu waktu nanti, buah salak akan menjadi buah yang berharga dan amat digemari orang ramai. Hanya keadaan saja yang dapat menentukan kebenaran dari kata-kata datuk itu.
Saya mengelap peluh yang mula mengalir di bahu dengan telapak tangan.
Matahari terus memancar dengan garang. Semua kulit-kulit biji getah yang bertaburan atas tanah saya kumpulkan dalam kertas lalu saya buangkan ke tempat sampah. Petang nanti akan saya bakar.
TEGUR
"Apa yang kau menungkan," tegur nenek bila melihat saya termenung panjang di halaman rumah. Saya tidak menjawab pertanyaan kecuali memberikan senyum mesra.
"Kenapa tak ikut tuk tengok pokok salak?"
"Habis kau nak buat apa."
"Saya nak pergi ke surau, saya nak main gasing dengan kawan-kawan di situ."
"Ikut suka kaulah," balas nenek.
Saya terus ke surau. Sampai di halaman surau saya lihat sudah ada dua tiga orang kawan-kawan main gasing. Saya turut campur dalam permainan tersebut. Saya bangga kerana gasing yang saya buat dari kayu limau berjaya memecahkan dua buah gasing kawan. Setiap kali saya memangkah gasing dalam gelanggang kawan-kawan semuanya terdiam. Mereka tumpukan perhatian ke arah saya. Kerana terlalu asyik bermain, saya pulang ke rumah kira-kira pukul lima petang dengan perut yang lapar.
Mungkin kerana ada tetamu di rumah, datuk tidak marah pada saya. Macam selalu, pukul berapa saya pulang, nenek yang baik hati akan menyediakan hidangan untuk saya. Nenek cuma menasihatkan saya supaya jangan mengulangi perbuatannya yang tidak disenangi oleh datuk.
Datuk tidak marah saya bermain gasing dengan kawan-kawan. Apa yang jadi pantangnya, kerana asyik main, saya lupa sembahyang Zuhur serta lewat menunaikan fardu Asar.
"Bila kau main gasing sampai melupakan perintah Allah, ertinya kau bermain dengan syaitan," kata datuk dengan nada suara yang lembut, ketika saya melintas di depannya menuju ke bilik.
Tetamu yang datang menjeling kearah saya. Terasa tebal kulit muka bila saya disindir begitu. Saya terus memencilkan diri dalam bilik.
"Sudah awak buat perkara yang saya suruh," saya terdengar suara datuk. Telinga saya rapatkan ke dinding. Saya tidak dapat mengawal perasaan ingin tahu yang timbul meluap-luap dalam dada.
"Sudah," terdengar suara perempuan menjawab. Pasti suara Sariyah.
"Apa kesannya?"
"Anak-anak ular hitam dan belalang tidak datang lagi. Tetapi, saya tidak dapat tidur lena, selalu terjaga, mimpi yang bukan-bukan."
"Apakah mimpi yang kau alami sama pada setiap malam?"
"Ya sama."
"Apa mimpinya."
"Orang hitam berbadan besar menangkap saya, dibawa ke sarang ular bisa. Saya mahu dicampakkan ke situ. Bila saya menjerit saya terus terjaga."
"Pelik," kata datuk.
Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak. Saya terasa macam ada makhluk halus yang tidak dapat saya lihat berdiri di belakang saya. Dan saya rasakan makhluk itu berbadan besar seperti apa yang diceritakan oleh Sariyah pada datuk. Saya lawan perasaan yang terjadi dalam diri saya itu. Makin saya lawan, makin terasa seram. Benda ganjil yang tidak dapat dilihat itu seperti mengarahkan biji matanya kearah saya.
Saya terus meluru keluar. Duduk dekat datuk. Saya lihat wajah datuk begitu tenang, seolah-olah dia mengerti dengan apa yang terjadi. Sariyah dan ibunya tercengang melihat kedatangan saya itu.
"Sekarang awak urut perempuan ini lagi," beritahu datuk pada nenek. Dahi nenek nampak berkedut.
"Tak payah pasang tirai? Awak ni dah mengarut nak mengurut perempuan di depan lelaki," nenek melahirkan protes dalam senyum. Datuk terdiam sejenak.
"Tak payah, bawa dia masuk ke dalam bilik Tamar."
"Lagi?"
"Saya akan memberi perintah dari luar macam yang kita buat dua minggu lalu."
"Awak tahu, lepas saya mengurut perempuan ini dua minggu lalu, saya mimpi seperti apa yang diceritakannya pada awak, kemudian seluruh badan saya terasa bisa-bisa."
"Kenapa awak tak cakap?"
"Malas nak cakap dengan awak," nenek menjuihkan bibirnya ke depan. Datuk tersenyum panjang.
Sariyah dan ibunya masuk ke dalam bilik saya dengan ditemani oleh nenek. Datuk memperkemaskan silanya dengan meletakkan kedua belah lengannya atas kedua belah tempurung lututnya. Kedua belah matanya datuk rapatkan.
"Urut rusuk kiri bawa ke kanan. Berhenti di situ. Tekan pangkal pusatnya dengan tangan kiri. Tangan kanan tekan pangkal pinggangnya kuat-kuat," begitu datuk mengeluarkan arahan dengan mata terpejam. Saya kira nenek tentu mengikut apa yang datuk suruh.
"Aduhhh, tolong," saya terdengar suara Sariyah.
"Jangan lepaskan, biar dahinya berpeluh," balas datuk.
"Ada ketul keras macam batu," jawab nenek.
"Tekan, jangan lepas," balas datuk.
"Tolong sayaaaa," suara Sariyah bertambah lemah. Akhirnya saya terdengar Sariyah mengeluh kuat. Lepas itu tidak terdengar apa-apa.
Dalam masa yang sama, tanpa angin. Daun-daun tingkap bergerak lalu menghempaskan kayu jenang, melahirkan bunyi yang kuat macam ada orang yang membuka dan menutup, kain langsir putus dari pengikatnya, tidak ubah macam direntap oleh tangan manusia dengan kasar.
PEDULI
Datuk tidak mempedulikan keadaan yang agak ganjil itu. Dia terus pejamkan matanya. Dan suasana yang tidak menyenangkan itu terus hilang.
"Sudah lepaskan bahagian yang awak pegang," seru datuk dari luar. Saya terdengar suara Sariyah kembali dengan keadaan normal, bercakap sesuatu dengan ibunya.
"Sekarang genggam penumbuk di tangan kiri dan tekankan ke perut perempuan itu di bahagian pusatnya," sambil mengeluarkan perintah itu datuk membuka silanya lalu bertinggung untuk beberapa minit. Datuk duduk kembali.
"Buka tangan awak dan lihat apa yang ada."
"Serpihan papan berbalut kain merah," jawab nenek.
"Masukkan barang itu ke dalam mangkuk putih, tutup dengan kain atau kertas, kemudian bawa pada saya," selesai saja datuk bercakap, kedua belah kelopak matanya dibuka.
Nenek keluar dari bilik lalu meletakkan mangkuk putih bertutup kain di hadapan datuk. Bila nenek mahu melangkah ke dalam bilik datuk terus bersuara:
"Awak urut dia macam awak mengurut perempuan yang baru lepas bersalin tiga hari."
"Baiklah."
Nenek masuk ke bilik lalu melakukan apa yang datuk suruh. Bila nenek selesai mengurut, Sariyah dan ibunya segera keluar.
Saya lihat muka Sariyah berseri-seri dan merah, macam wajah anak dara yang baru berusia belasan tahun. Kalau dilihat sekali imbas, pasti orang tidak menyangka yang Sariyah sudah punya anak lima.
Saya tidak menafikan, sesungguhnya dalam usia saya yang begini, saya memang tertarik pada dirinya. Air mukanya begitu menarik dan menawan boleh membuat lelaki tidak tidur malam.
Mereka terus duduk di hadapan datuk. Saya lihat kulit Sariyah yang kemerah-merahan itu bersih dan gebu sekali, tidak terlihat lubanglubang bekas jerawat seperti sebelumnya. Kulitnya cukup lembut sekali.
"Awak mesti mematuhi syarat-syarat yang saya berikan ini, jika awak benar-benar mahu masalah yang awak alami ini berakhir," kata datuk sambil merenung wajah Sariyah dan ibunya.
"Apa dia syarat-syaratnya tu?" Tanya ibu Sariyah macam tidak sabar-sabar. Datuk termenung sejenak.
"Mudah saja, syarat pertama jangan meninggalkan sembahyang lima waktu, membaca yasin malam Jumaat dan selalu bersedekah pada anak-anak yatim atau orang miskin bila awak mampu berbuat begitu," datuk bercakap sebentar.
"Syarat kedua, jangan mengatakan atau membabitkan orang lain yang kononnya penyakit awak ni, adalah perbuatan orang lain, itu perbuatan yang salah," datuk raba pangkal tengkuknya sejenak.
"Awak mesti berbaik dengan ipar dan mak mentua awak," tambah datuk lagi.
"Kalau mereka menolak dan menyakitkan hati saya bagaimana?" Tanya Sariyah.
"Awak harus bersabar, biar apapun yang mereka lakukan jangan melawan mentua, emak mentua sama juga dengan emak sendiri, kalau tidak tahan dengan sikapnya, cari jalan asalkan jangan sampai timbul permusuhan, saya tidak mahu awak memberitahu orang lain awak berubat di sini."
"Saya berjanji dan saya berterima kasih pada tuan."
"Jangan berterima kasih pada saya tetapi, bersyukurlah pada Allah kerana dengan Allah juga, saya boleh menolong awak, jangan panggil saya tuan, panggil saja ayah atau pakcik.
"Ya ayah."
"Kerana awak saya kira perempuan yang baik dan jujur, mulai dari hari ini awak saya anggap macam anak saya sendiri," datuk luahkan apa yang tersirat dalam hatinya.
Sariyah dan ibunya berpandangan. Mereka pun berbalas senyum tetapi, tidak dapat mengatasi senyum nenek yang membayangkan kepuasan tersendiri.

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 3 ) COMPLETE!Where stories live. Discover now