Bab 58 - Ilmu Papan Sekeping

1.7K 39 0
                                    

  SUDAH dua jam, saya duduk di pangkal pokok kekabu di tebing sungai. Tidak ada seekor ikan pun yang mahu menjamah umpan di mata pancing.
"Banyak ikan yang kau dapat?"
Saya segera menoleh ke kanan. Samad Perang tercegat di situ dengan sepasang matanya merenung tajam ke arah saya. Batang pancing saya cacakkan ke tanah.
"Tak ada ikan yang mahu makan umpan pancing. Bila pakcik datang dari Kuala Lumpur?"
"Dah dua hari, melihat rumah lama dan kawasannya. Sudah penuh dengan lalang."
"Dah jumpa datuk saya?"
"Belum lagi, cadang tu memang nak jumpa dia, sengaja pak cik jalan ikut tepi sungai, redup sikit."
"Kalau pakcik nak jumpa dia elok sangat tu, diapun ada di rumah. Masa saya tinggalkan tadi, dia mencangkul."
"Tak apalah Tamar, kau memancinglah tetapi, kau ingat memancing ni mesti sabar."
"Ya pakcik."
Samad Perang terus meninggalkan saya di perdu kekabu. Samad Perang yang saya lihat sebentar tadi, berbeza dengan Samad Perang yang dulu. Mukanya kelihatan bersih dan badannya gemuk. Kulit mukanya kelihatan kemerah-merahan. Matahari petang yang memancar garang mula menurun. Air sungai yang tadi memancarkan cahaya yang berkilau-kilau kerana dipanah sinar matahari, sudah tidak bercahaya lagi. Tetapi, ikan-ikan terus bermain di permukaan air sambil menangkap serangga yang hanyut. Anehnya, ikan-ikan itu tidak mahu menjamah umpan beras kunyit di mata pancing. Selalunya, umpan yang dibuat oleh nenek jadi kegemaran ikan, belum pernah saya pulang ke rumah dengan tangan kosong. Paling kurang saya akan dapat dua tiga ekor baung putih dan teroboi atau ikan keli. Petang itu, tuah tidak berada di pihak saya. Pulanglah saya dengan tangan kosong bersama matahari petang yang kian rapat ke puncak gunung di seberang sungai.
"Kenapa muka masam macam cuka, kau tak dapat ikan," tegur nenek bila saya sandarkan batang pancing di pokok rambutan di belakang rumah.
Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Saya terus duduk di anak tangga bongsu.
"Tamar, aku bercakap dengan kamu, kenapa kamu diam?" Suara nenek mula meninggi. Berdiri di depan saya bercekak pinggang. Kain tudung yang menutup kepalanya jatuh atas bahu. Dan sanggul lintangnya jelas kelihatan, hitam berkilat diselang-seli dengan uban.
"Saya meradang tak dapat ikan nek."
"Itu puncanya, eh apa kau sudah lupa, rezeki kita di tangan Allah, kalau kau sudah berusaha tetapi, tidak dapat, ertinya rezeki kau tak ada, apa kau mahu melawan kuasa Allah."
"Tidaklah begitu nek."
"Kalau sudah tahu, kenapa kau mesti marah? Kau harus bersyukur kerana hari-hari lain kau dapat ikan."
Saya terdiam mendengar kata-kata nenek itu. Saya terus senyum dan bangun menuju ke arah datuk yang sedang duduk termenung di penjuru halaman rumah sebelah kanan. Tangannya masih memegang cangkul.
"Ada pakcik Samad Perang jumpa Tuk?"
"Ada, kenapa Tamar?"
"Sebelum dia jumpa tuk, dia jumpa saya di tepi sungai."
"Hum, macam tu, dia baru saja balik."
Saya anggukkan kepala mendengar cerita dari datuk itu. Datuk dan saya beredar dari situ menuju ke bawah pokok manggis yang tidak jauh dari kaki tangga. Di bawah pokok tersebut datuk dirikan pelantar papan yang muat untuk empat orang duduk bersila. Tiang pelantar datuk buat dari buluh kuning, tingginya kira-kira satu kaki dari paras bumi. Saya dan datuk terus duduk di situ. Beberapa minit kemudian nenek datang meletakkan dua cawan kopi panas.
"Apa cerita Samad Perang dengan awak? Saya nampak tadi, bukan main rancak bercakap," nenek menyoal datuk. Saya cuma senyum saja.
"Tak ada apa-apa, Cuma dia bertanya pendapat saya berhubung dengan tanah dan rumahnya yang sudah ditinggalkannya hampir dua tahun tu."
"Kenapa pula?"
"Dulu dia suruh anak buahnya duduk dan bersihkan tanah, tapi anak buahnya tak mahu, kata mereka tanah dan rumah tu berhantu."
"Dia suruh awak duduk di situ?"
"Tidak pula...," datuk tidak meneruskan kata-katanya.
Datuk terus menghirup air kopi. Saya menggigit bibir sambil merenung ke arah beberapa ekor burung yang hinggap di dahan manggis.
MAWAR
Datuk meletakkan cawan kopi yang berbunga mawar di atas piring. Datuk kedutkan kedua belah keningnya macam memikirkan sesuatu. Ia merenung ke arah muka jalan.
"Mamat Bukit datang," katanya dengan tenanag. Saya dan nenek terus merenung ke arah muka jalan masuk ke halaman rumah.
Mamat Bukit terbongkok-bongkok mengayuh basikal menuju ke arah kami. Sampai dekat pelantar Mamat Bukit tongkatkan basikal tuanya. Tanpa mengucapkan sesuatu, Mamat Bukit terus duduk di sisi datuk. Dahinya berpeluh dan nafasnya turun naik. Datuk tidak peduli dengan Mamat Bukit yang nampak agak cemas. Dengan tenang datuk menghirup kopi.
"Pergi buatkan kopi untuk dia," bisik datuk pada nenek. Nenek pun bangun. Bila Mamat Bukit sudah tenang, datuk pun menghadiahkan senyum padanya.
"Ada apa masalah Mamat?" tanya datuk. Mamat Bukit tersenyum, dalam masa yang sama nenek menghulurkan secawan kopi padanya.
"Minum Mamat." Kata nenek.
"Terima kasih, kerana susah-susah buat kopi untuk saya," balas Mamat Bukit. Nenek terus duduk di tempat asalnya. Saya terus menghirup kopi. Beberapa helai daun manggis yang sudah tua, gugur ke bumi.
"Jadi kau menjaga dan mengusahakan tanah Samad Perang?" Mamat Bukit agak terkejut dengan pertanyaan yang dihadapkan oleh datuk padanya.
"Mana awak tahu semuanya ini?" soal Mamat Bukit.
"Samad Perang bertanyakan pendapat aku dalam hal tersebut dan aku setuju dengan apa yang dirancangkannya, eloklah kau mengusahakan tanah dan menjaga rumahnya, aku kira kau orang yang paling sesuai sekali, kau sahabatnya."
"Apa kata anak buahnya yang lain?"
"Usah kau bimbang hal tersebut, dia sudah serahkan pada anak buahnya tapi, mereka tak mahu menjaganya."
"Tapi, ada hal lain lagi."
"Apa dia Mamat? Cakaplah," suara datuk agak meninggi. Biji matanya cukup tajam merauti wajah Mamat Perang. Mamat Perang segera menundukkan kepala. Dahinya nampak berkerut.
"Sebaik saja saya menerima amanat Samad Perang untuk menjaga rumah dan mengusahakan tanahnya, anak saudaranya datang dan mengatakan rumah dan tanah Samad Perang, ditunggu jin tanah," suara Mamat Bukit tersangkut-sangkut.
Nenek terus renung muka Mamat Bukit. Saya lihat nenek tersenyum dan terus bersuara:
"Kenapa kau tak tanya Samad Perang, tentang hal itu?"
"Nak tanya macam mana? Anak saudaranya datang sesudah Samad Perang balik."
Saya dan datuk ketawa mendengar jawapan dari Mamat Bukit. Datuk terus menepuk bahu Mamat Bukit.
"Semuanya tu karut, kerana Samad Perang dulu diserang penyakit ganjil, kaum kerabatnya merasakan penyakit itu berpunca dari tanah yang didudukinya, semuanya tu karut, kau pergi jaga rumah dan usahakan tanahnya, jalankan amanat kawan kamu tu dengan jujur dan ikhlas," ujar datuk.
Mamat Bukit anggukan kepala. Setuju dengan cakap datuk. Lebih-lebih lagi datuk telah memberi jaminan padanya. Sedia membantunya jika menghadapi sebarang masalah.

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN - Tamar Jalis ( JILID 3 ) COMPLETE!Où les histoires vivent. Découvrez maintenant