Bab 5 (03)

2.3K 109 9
                                    

Dear readers... Nantikan pengumuman pre-order ya. Hujung bulan ni insya-Allah.

~~~

UMMAR berdiri di depan pintu bilik yang dihuni isterinya. Teragak-agak sama ada mahu diketuk atau tidak.

Dia memandang jam dinding. Dah hampir pukul sebelas malam. Mungkin Dalili dah tidur waktu ini.

Bibir digigit. Sebenarnya ada sesuatu yang dia fikirkan. Sampai bila dia dan Dalili nak tidur bilik berasingan?

Bukankah hubungan antara dia dan Dalili telah halal? Mengapa pula dia nak langgar hukum Allah mengasingkan tempat tidur dengan isterinya?

Jadi mengapa dia cuba mencipta jurang? Mahukah dia mendatangkan kemurkaan Allah? Memisahkan tempat tidurnya dengan Dalili tanpa alasan yang kukuh?

Ummar meraup wajah. Terasa dayusnya diri sendiri. Entah apa yang ada dalam fikiran dia sebenarnya. Dia pun tak faham dengan diri sendiri.

Jika dia boleh terima dan sayangkan Dalili, kenapa dia tidak cuba untuk terima Dalili dalam kata sebenar? Dia ada hak. Hak sebagai seorang suami.

Dalam asyik berperang dengan diri sendiri, tangannya bertindak mendahului akal. Pintu bilik yang dihuni Dalili diketuknya berkali-kali.

“Lili…” panggilnya perlahan.

“Lili, boleh abang masuk?” panggilnya lagi.

Seperti tadi, keadaan terus dibungkam sepi. Tak ada sahutan dari arah dalam. Mungkin Dalili dah tidur. Teka hati Ummar. Serba-salah pula dia. Nak sambung ketuk atau biarkan sahaja? Rasanya Dalili pun dah lena dibuai mimpi.

Entah apa yang merasuk, pintu bilik Dalili ditolak tanpa izin. Suasana di dalam bilik begitu gelap. Lampu meja pun tak berpasang. Betul tekaan Ummar yang Dalili dah pun tidur.

Dia menghampiri kotak suis. Suis lampu dipetik. Suasana gelap bertukar terang. Dia memandang ke katil.

Kosong!

Eh? Ke mana pula Dalili pergi? Melilau matanya sekeliling bilik sehinggalah terpandang tubuh yang berbungkus selimut nipis di atas lantai bersebelahan almari pakaian.

Ummar tergamam. Laju kakinya menghampiri almari. Diintai siapa yang tidur di situ.

Dalili!

Ya Allah, kenapa pula isterinya tidur atas lantai? Penat sangat ke sampai tak sempat nak panjat katil?

“Lili, kenapa tidur kat sini?” soalnya yang lebih kepada bergumam sendiri.

Dia memandang lama wajah isterinya. Ada senyuman kecil yang terbit di hujung bibir. Tak sampai hati pula mahu kejut bila melihat wajah polos itu.

Selimut yang membalut isterinya ditarik dan diletak ke tepi. Tubuh Dalili kemudiannya disauk dan dicempung ke katil. Diletak tubuh kecil molek itu berhati-hati. Risau pula Dalili terjaga.

Selepas meletak dan menyelimutkan isterinya, Ummar labuh duduk di pinggir katil. Wajah polos Dalili ditenung. Ada satu rasa aneh tumbuh dalam hatinya.

Tangannya perlahan-lahan naik ke wajah Dalili. Rambut yang menutupi sebahagian muka isterinya dikuak.

Senyuman kecil serta-merta meniti bibirnya. Bibirnya didekatkan ke dahi Dalili sebelum sebuah kucupan hinggap di tengah-tengah dahi berkenaan.

Good night, sayang. Sleep tight.”

Ummar bangun dan berlalu ke tepi almari pakaian. Selimut nipis yang digunakan Dalili tadi dilipat kemas. Disusun bersama bantal di tepi dinding. Selesai, dia terus berlalu keluar.





Tulus Aku Menikahi Dirimu [TERBIT]Where stories live. Discover now