Bab 111-Kelawar Hisap Darah

2.9K 44 3
                                    

KALAU diturutkan rasa hati, mahu saja saya menyepak kura-kura yang tertonggok macam besi buruk itu. Akhirnya saya sedar, bahawa saya tidak boleh bertindak atau melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya di malam yang kian dingin.

"Macam mana kalau aku campakkan kura-kura ini keluar," Mat Prai mempamerkan kemarahan. Sepasang matanya segera diarahkan ke arah belakang kura-kura. Mat Prai terus membongkokkan badannya sambil berusaha mahu memegang badan kura-kura.

"Jangan."

Saya segera menyergah. Mat Prai terus menegakkan badannya semula.

"Kenapa Tamar?"

"Biar dia pergi sendiri. Saya bimbang ini bukan kura-kura betul, agaknya ini kura-kura jelmaan," tutur saya lagi.

Dedaun hutan yang dijadikan atap pondok mula bergerak-gerak, malah ada yang jatuh ke tanah akibat disentuh angin.

Aneh! Angin yang bertiup lembut secara mendadak bertukar menjadi keras. Saya terdengar reranting tua jatuh bertalu-talu ke tanah. Saya dan Mat Prai terdengar bunyi suara tupai.

Semuanya mengundang kecemasan dalam diri. Ganjil sekali, bila tupai berbunyi malam. Dalam rasa serba salah dan takut itu, terdengar suara harimau mengaum. Beberapa ekor kelawar berterbangan dalam pondok.

Salah seekor dari kelawar itu jatuh di depan saya dan Mat Prai. Jarak kelawar itu dengan badan kura-kura kira-kira tiga hasta saja. Bentuk kelawar yang jatuh itu agak berbeza dengan kelawar-kelawar yang biasa saya lihat.

Bentuk badannya agak besar, sayapnya juga agak lebar. Bulunya berwarna kekuningan dan biji matanya tersembul seperti memancarmancarkan cahaya api.

"Kamu tengok giginya."

Saya segera mengarahkan mata ke arah yang disebutkan oleh Mat Prai. Darah saya tersirap melihat muncung kelawar yang bentuknya macam muncung babi hutan. Giginya yang putih dan besar menyeringai ke arah saya.

"Ini kelawar puntianak jenis penghisap darah, " kata saya pada Mat Prai.

"Berbahaya," jawab Mat Prai cemas, "biar aku bunuh Tamar."

Sebaik Mat Prai selesai bersuara, kelawar di depan kami terus berbunyi dengan nyaring. Kedua belah kepaknya dikembangkan dan terus terbang, berpusing-pusing dalam pondok kecil. Dan kura-kura terus hulurkan kepalanya, seolah turut menyaksikan apa yang dilakukan oleh kelawar itu..

KELAM

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, saya lemparkan pandangan ke arah luar pondok. Malam yang gelap pekat itu membuat saya tidak dapat melihat apa-apa pun. Deru angin terus mengasak lubang telinga di samping bunyi telapak kaki manusia memijak reranting dan dedaun kering di setiap sudut pondok.

"Panggil datuk kamu, Tamar"

Mat Prai keluarkan cadangan. Saranan itu tidak dapat saya terima. Terlalu awal rasanya untuk menyampaikan perkara ini pada datuk. Biarlah datuk dan Pak Imam menyelesaikan urusan mereka. Bila melihat saya tidak memberikan sebarang reaksi, Mat Prai mengulangi pertanyaannya lagi.

"Tak payah." kata saya tegas.

Terbayang kehampaan di wajah Mat Prai. Tetapi, kehampaan itu segera digantikan oleh rasa cemas dan terkejut yang amat sangat. Kura-kura ganjil bergerak dan hilang dengan sekelip mata.

"Dia datang."

Mat Prai arahkan telunjuk kepada kelawar secara mendadak muncul kembali dalam pondok. Kelawar itu terus berlegar-legar dalam pondok..

Kelawar itu terus menerkam ke arah pelita minyak tanah ambil mengembangkan sayapnya lebar-lebar. Bila berada betul-betul di atas muncung api pelita minyak tanah, kelawar itu terus memukulkan kepaknya ke arah sumbu pelita. Api pelita padam dengan serta-merta. Saya bertambah menggelabah, badan terus menggeletar.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 8 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now