Bab 116-Budak Ganjil Tanpa Pakaian

2K 35 0
                                    

Ribuan terima kasih buat Fanuna. Dentuman petir membuat telinga saya seperti pekak. Tanah yang dipijak seperti bergegar.Saya pun rebah ke dada bumi. Antara sedar dan tidak, terasa tubuh diangkat serta diusung oleh datuk dan Haji Taslim Singasari ke perdu macang (bacang). Saya disandarkan di situ, datuk segera memulihkan semangat saya yang hilang. Bila terasa diri semakin pulih, saya celikkan mata. Apa yang saya lihat sungguh mengejutkan. Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terbakar hangus dipanah petir. Hancur menjadi debu lalu diterbangkan oleh angin ke mana-mana. Penduduk kampung berdekatan menjadi gempar. Mereka merasa sungguh takjub kerana dalam cuaca petang yang terang, boleh terjadi ledakan petir yang sungguh hebat. "Kita sudah melihat kekuasaan Allah, sesungguhnya Allah berhak melakukan sesuatu yang tidak terjangkau oleh akal fikiran kita," Pak imam yang tadi membisu mula bersuara. Matanya menatap wajah datuk dan Haji Taslim Singasari. "Itu pilihan sahabat saya, Pak Imam." Nada suara Haji Taslim Singasari mengundang kehampaan. "Itu takdir dirinya," celah datuk. "Apa boleh buat Haji, saya harap perkara yang terjadi di depan mata kita ni, jangan dihebohkan dengan sesiapa. Nanti boleh timbul macam-macam cerita pula," Pak Imam menatap permukaan bumi sambil menarik nafas panjang. Pak Imam angkat kepala lalu memandang ke arah kami dengan senyuman penuh keyakinan. Dia percaya yang kami akan mematuhi permintaannya. Pak Imam melangkah ke kaki tangga untuk naik ke rumah. Perbuatannya itu segera dituruti oleh saya, Haji Taslim Singasari dan datuk. Bila berada dalam rumah, bilik si mati segera kami serbu. Saya jadi bingung. Semua barang miliknya menjadi abu, bersepah-sepah seluruh bilik. Malah ada yang melekat pada dinding akibat ditolak angin. "Jangan disentuh," Haji Taslim Singasari mengingatkan kami. Kami terus membuka tingkap. Dua keping papan dinding yang menghala ke arah sawah dikopaknya dengan jari telunjuk. "Kenapa rosakkan dinding rumah?" Tanya datuk. "Biar angin masuk dan terbangkan debu-debu yang ada dalam rumah ni. Debu-debu ini tak boleh disentuh, kalau kena tubuh kita, kulit boleh terbakar dan daging badan jadi busuk," jelas Haji Taslim Singasari . Saya segera meninggalkan bilik si mati. Beberapa minit kemudian Pak Imam, Haji Taslim Singasari dan datuk turut keluar dari bilik si mati. Kerana waktu Asar hampir tiba, kami terus ke masjid untuk menunaikan solat. Atas persetujuan para jemaah yang ada, maka Haji Taslim Singasari pun disuruh menjadi imam. Selesai sembahyang dan berdoa, para jemaah mula bercerita tentang bunyi petir yang mereka dengar. Ada bermacam-macam andaiannya dan ramalan yang mereka buat. Kebanyakkannya, dihubungkaitkan dengan kematian Suhaimi Keraba. Ada yang mendakwa, sebelum petir meledak mereka melihat Suhaimi Keraba menari-nari di jalan raya. Ada pula yang melihat Suhaimi Keraba minum kopi dan makan laksa di warung Simpang Empat. Cerita-cerita yang sampai ke telinga membuat saya tersenyum panjang. Betapa mudahnya, orang mengadakan cerita yang bukan-bukan, mereka pandai menggunakan kesempatan dari kematian Suhaimi Keraba yang semasa hidupnya tidak melakukan kebaikan.

Beberapa orang jemaah yang berani terus mendekati Haji Taslim Singasari dan Pak Imam. Mereka terus mengajukan pelbagai pertanyaan tanpa mempedulikan kehadiran kami. Mungkin kerana kami orang luar. "Minta maaf, kami tak tahu pula bunyi petir itu ada hubungan dengan si mati," itu jawapan Pak Imam pada pertanyaan mereka. Ternyata jawapan itu tidak memuaskan hal orang yang bertanya. "Mustahil awak tak tahu?" Tanya lelaki berkulit hitam manis dengan misai lebatnya menutupi bibir atas. Pertanyaan ditujukan khas untuk Haji Taslim Singasari mencari jawapannya di samping berusaha menjauhkan diri dari lelaki berkulit hitam yang usianya sekitar lima puluhan. "Petir berbunyi waktu cuaca terang benderang, perkara biasa," sahut Pak Imam. Ternyata lelaki berkulit hitam tidak puas hati kerana jawapan itu bukannya datang dari Haji Taslim Singasari. Matahari petang yang memancar membuat dahi saya dan datuk berpeluh. Pak Imam merenung ke arah kolah masjid. "Bagi saya, itu bukan perkara biasa," lelaki berkulit hitam manis bersuara. Dia menatap wajah Pak Imam dan Haji Taslim Singasari. "Kenapa awak kata macam tu?" Datuk ajukan pertanyaan pada lelaki berkulit hitam manis. Dia tidak berminat mahu bercakap dengan datuk. Mungkin kerana datuk orang luar. Datuk dan Pak Imam berpandangan. Akhirnya mereka tersenyum . "Bagi saya," ulang lelaki berkulit hitam, "perkara itu ada kaitannya dengan sahabat Pak Haji yang mati. Dia tu manusia jahat, isi neraka," begitu senang lelaki berkulit hitam manis bercakap. "Mulut awak celupar. Tak baik menuduh begitu. Saya tak suka cara awak, kita tak boleh menentukan seseorang itu isi neraka atau syurga kerana ia adalah kuasa Allah," nada suara Haji Taslim Singasari mula meninggi. Mukanya nampak merah. "Maafkan saya, Pak Haji." "Awak tahu, Allah boleh melakukan sesuatu apa yang diingini-Nya, apa lagi petir waktu hari bercuaca panas," Haji Taslim Singasari berhenti bercakap. Dia menarik nafas dengan perlahanlahan.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 8 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now