BAB 1

108 2 0
                                    

JUN melihat cermin pandang belakang. Rakan-rakannya diam melayan suasana malam. Sejak membelok ke lorong yang dikatakan jalan pintas itu, jalan yang mereka lalui ini sangat sunyi. Kali terakhir mereka berselisih dengan kenderaan lain adalah lebih satu jam yang lalu.

Masing-masing berdiam, masih terkejut dengan kematian nenek Nadia dua hari yang lalu. Nenek Nadia yang digelar Cik Seroja oleh Fadhli itu pada asalnya hanya sakit biasa. Kudrat Cik Seroja seperti orang muda walaupun usianya telah menjangkau 83 tahun. Mereka tidak menyangka lawatan beberapa hari yang lalu adalah kali terakhir pertemuan mereka dengan Cik Seroja.

Shila yang duduk di sebelah kanan Nadia, memeluk bahu sahabatnya itu untuk menenangkannya. Dia mengenali Cik Seroja sebagai seorang yang ceria dan suka bercerita. Setiap kali mendengar kisah-kisah lama daripada nenek Nadia itu, Shila berasa tenang dan bahagia.

Sekarang, mereka sudah kehilangan insan yang menjadi tempat mereka berenam berkumpul dan bergelak ketawa. Pastinya sekarang keadaan terasa sedikit berbeza selepas pemergian Cik Seroja. Mereka berenam mungkin tidak ada lagi alasan untuk berjumpa dan berbual panjang seperti sebelum ini.

"Sabarlah, Nad. Dah sampai ajal Cik Seroja. Kita kena terima dengan hati yang terbuka."

Riana yang duduk di sebelah Jun, memberi kata semangat kepada Nadia. Berharap sahabatnya itu tidak terlalu bersedih.

Nadia hanya diam. Sejak bertolak dari rumah arwah neneknya selepas solat isyak tadi, dia kurang bercakap.

Fadhli di sebelah kirinya asyik menguap. Matanya sudah kuyu, namun dia tidak dapat melelapkan mata. Adlan yang duduk di belakang sekali diam dan berpura-pura tidur.

"Nad, betul kan jalan ni?" soal Jun, tidak mahu Nadia terlalu melayan perasaan sedihnya.

Nadia yang bersandar di bahu Shila, mengangkat kepala dan memandang ke kiri dan kanan jalan.

"Aku rasa, inilah jalan pintas paling dekat. Sekejap lagi ada susur masuk ke lebuh raya, sebelah kanan." Akhirnya suara Nadia dapat didengar.

Jun mengangguk.

"Pak uda aku tinggal dekat-dekat sini. Rasanya ayah aku pernah bawa aku ke rumah dia ikut jalan ni," kata Nadia lagi.

"Jun!"

Kaki Jun pantas memijak brek serentak dengan jeritan Riana. Kereta yang dipandu sedikit melantun seperti terlanggar sesuatu. Nissan Serena yang dipinjam oleh Fadhli daripada abangnya itu tersadai di sebelah kanan jalan. Masing-masing terpegun kerana hampir mengalami kemalangan.

"A... apa tadi tu, Jun?" soal Shila, cemas.

Jun menelan liur, menenangkan nafas yang hampir terhenti.

"Kucing."

"Kucing hitam," tambah Riana.

Fadhli kerut dahi. "Kucing hitam?"

Dia memandang sekitar melalui jendela.

Jun membuka pintu untuk keluar, namun ditegah oleh Riana.

"Awak nak turun?"

"Tak ada apa-apa. Jangan risau."

Jun melangkah turun dari kereta.

Fadhli turut membuka pintu dan keluar mendapatkan Jun.

"Mana kucingnya?"

Mereka berdua saling berpandangan. Adlan yang turut melangkah turun, membelek-belek salah satu tayar.

"Lah... pancit pula..." Dia mengeluh berat.

Tayar tersebut kempis dan rapat ke tanah. Sekarang, mereka berenam tersadai di jalan yang dikelilingi hutan dan gaung.

MURALWhere stories live. Discover now