BAB 9

24 0 0
                                    

RIANA tersentak apabila kepalanya terhantuk pada sesuatu. Dia terus membuka mata dan terkejut melihat keadaan di sekelilingnya ketika ini. Dia yang berada dalam keadaan terbaring di lantai, terus bangkit berdiri.

"Apa ni?"

Situasi dari bilik tidur bertukar kepada sebuah kereta api yang sedang bergerak. Dia melihat ke luar melalui jendela. Kereta api itu sedang melepasi kawasan paya bakau, bergerak dengan kelajuan sederhana melalui landasan.

Riana diam memikirkan keadaan tersebut.

"Aku kat bilik. Macam mana..." Dia pandang sekeliling, kemudian berjalan perlahan di ruang tengah antara tempat duduk penumpang.

Diam lagi, cuba mentafsir dan akhirnya dia hanya dapat menyimpulkan bahawa dia sedang bermimpi.

"Mimpi yang pelik."

Riana melihat tempat duduk penumpang yang terdapat kira-kira 10 bangku kayu di kiri dan kanan itu. Suasana kereta api sebegitu hanya pernah dilihat di kaca televisyen, filem atau drama klasik.

Dia menapak ke belakang, arah ekor kereta api, kemudian ke depan pula. Sudahnya dia melabuhkan punggung di salah satu tempat duduk, mendekati jendela dan melihat ke luar.

"Wah..."

Suasana hutan yang dipenuhi pohon-pohon yang tinggi dan rendang adalah tempat yang menjadi kegemarannya sejak kecil. Disebabkan itu Riana sering diejek budak kampung kerana lebih sukakan kampung berbanding bandar.

Mungkin kerana telah terbiasa dengan hiruk-pikuk kota, dia mahu mencari suasana damai dan tenang, seperti yang ada di depan matanya sekarang.

Riana kerut dahi apabila terdengar satu bunyi. Bunyi yang pelbagai itu daripada perlahan, semakin kuat menerjah gegendang telinganya. Riana bangun daripada duduk, melilau pandangannya mencari arah bunyi tersebut. Kemudian dia menoleh ke belakang.

Riana berundur setapak demi setapak. Bunyi seperti lagaan beberapa lapisan kertas itu bercampur dengan bunyi seperti tepukan kecil tangan kanak-kanak. Hingar dan tidak sekata. Riana terbeliak apabila entah dari mana muncul serangga yang menjadi trauma dirinya selama ini.

"Li... lipas..."

Serangga berwarna hitam dan bersaiz penumbuk dewasa itu terbang sekawan menuju ke arah Riana. Riana berundur semakin jauh dan terus berlari ke pintu gelangsar yang tertutup rapat. Dia cuba membukanya, namun amat ketat untuk digerakkan.

Riana menoleh ke arah lipas yang sedang terbang berlegar-legar di ruang udara itu. Dia menelan liur, tersandar pada pintu, kaku tidak dapat menggerakkan kaki. Seketika kemudian, muncul satu lagi jenis serangga yang pernah membuatkan dia pengsan dan demam panas selama seminggu.

"Be... belalang..."

Namun kali ini, bukan hanya seekor belalang yang muncul. Sebaliknya puluhan ekor belalang berwarna hijau, hijau tua dan coklat kehitaman bersaiz penumbuk dewasa, sedang terbang ke arahnya. Riana hilang suara untuk menjerit. Nafasnya menjadi sesak dan dia tertahan-tahan cuba menenangkan diri.

"Apa ni? Ke... kenapa ada binatang ni?"

Lipas dan belalang itu terbang mendekati Riana, mula menghurung di sekitar mukanya. Dia mengibas-ngibas, mengelak daripada tersentuh serangga-serangga berkenaan. Melihatnya saja sudah membuatkan bulu romanya meremang, apatah lagi tersentuh kulitnya.

Riana terduduk, tersandar pada pintu sambil terus menampar dan mengibas lipas dan belalang yang seperti semakin banyak bilangannya. Bersama nafas yang terasa semakin sempit, dia mula menangis.

"Abang Lan... tolong... Ria..."

Riana mula terpejam. Suara berbisik tiba-tiba kedengaran dalam kepala.

MURALWhere stories live. Discover now