⛄️ 01

272 15 4
                                    

MALAYSIA.

Sejak tadi kepalanya terangguk-angguk sambil tangan ligat menyiapkan tugasan sekolah yang diberikan oleh guru. Suasana dingin yang menyapa tidak mengganggu fokus, termasuklah sepasang suami isteri yang berada di ruang tamu sambil khusyuk membincangkan sesuatu. Sesekali mata mereka melirik ke arahnya yang sedang duduk di meja belajar tanpa mengendahkan pandangan mereka.


Perbualan pasangan suami isteri itu langsung tidak menarik minatnya untuk mencuri dengar. Apatah lagi turut serta bersama memandangkan telinga sudah pun disumbatkan dengan fon telinga.

"Am..." panggil mama. Agak perlahan menyebabkan dia langsung tidak menyahut panggilan itu.

"Am!" Sekali lagi mama memanggil dan kali ini suaranya ditinggikan sedikit, namun masih tetap sama seperti tadi langsung tiada sahutan atau pun reaksi.

"Abang tengoklah tu, puas saya panggil langsung tak dihiraukannya. Ikut perangai abanglah ni." Tergeleng kepala mama dengan sikap anaknya yang seorang itu lalu jelingan maut dilemparkan kepada si suami. Terusik hati dengan sikap anak yang langsung tidak endahkan panggilannya sebentar tadi.

"Apa salah abang pula? Dia tengah dengar lagulah tu, macamlah sayang tak kenal perangai anak sayang tu. Pergi dekat, baru dia sedar yang sayang panggil. Kalau tak, kapal terbang terhempas atas bumbung pun belum tentu lagi dia nak dengar," kata baba pula, tidak mahu mengalah dengan mama.

Bibir mula memuncung, bagi mama suami dengan anaknya sama saja. Perangai masing-masing tidak mahu mengalah.

"Hm. Yalah." Akhirnya, mama bingkas bangun lantas mendekati meja belajar. Setelah tiba di sisi meja, tangan segera menepuk perlahan bahu Amsyar Adreena.

"Haa... mama, terkejut Am! Nasib baik tak gugur rambut Am. Hari-hari mama buat Am macam ni, kojol masuk batu dua terus." Seloroh Am dengan niat mahu bergurau, namun lain pula dengan mama. Jelingan tajam menghiasi mata. Bagi mama gurauan itu terlalu kasar daripada seorang gadis seperti anaknya.

"Bawa sekali lagu-lagu kamu tu masuk ke batu dua, ya? Orang panggil tak dengar-dengar, mari sini. Mama dengan baba mahu beritahu kamu sesuatu ni," kata mama pula sambil langkah dibuka semula menuju ke ruang tamu.

Am dengan lagaknya menanggalkan fon telinga dan diletakkan di atas meja sebelum dia mendekati sofa. Sempat juga dia mematikan lagu yang sedang berkumandang di telefon pintar. Sesudah dia berdiri di celah penjuru sofa, pandangannya memandang mama dengan baba silih berganti.

"Ada apa mama? Baba? Macam ada hal penting je ni. Mama dengan baba nak honeymoon lagi ek? Nak bagi Am adik baru?"

Baba mula ketawa geli hati. "Am pujuklah mama, baba pun nak tambah satu lagi." Seloroh Am disambut baik oleh baba sehingga kedua-dua mereka ketawa tidak ingat dunia selepas mendapat jelingan padu daripada mama.

"Ha, ha... tak payah nak gelak sangatlah, anak dengan bapaknya sama saja. Abang ini pun, tadi kata mahu beritahu Am perkara tu. Cepatlah," gesa mama. Menyampah dengan sikap kuat mengusik anak dan suaminya yang langsung tidak bertempat.

"Apa bendanya baba?" Kening Am mula bertaut menantikan bicara lanjut daripada baba. Dalam waktu yang sama, perasaan gementar mula menghantui diri. Manalah tahu, perkara yang bakal diutarakan sebentar lagi ada bersangkut-paut dengan dirinya juga. Jika tidak, tak adalah mama dengan baba mengajak dia berbincang sekali.

"Baba nak Am pindah sekolah lagi nanti."

Sudah dia agak akan perkara itu! Ah. Pindah sekolah lagi? Berapa banyak sekolah yang perlu dia rasmi saban tahun? Am terus memuncungkan bibir seperti anak itik.

The First Snow | eBookWhere stories live. Discover now