Zine: 2

438 11 0
                                    

AKU yang baru hendak masuk ke ruangan dapur rumah papa, menghentikan langkahan kaki apabila mendengar suara mak tiri aku dengan adik-beradiknya berbual. Sebab ia melibatkan aku.

"Baru mengandung dah gugur? Kenapa sampai macam tu?" Suara Mak Pah. Mak cik pada , mama tiri aku.

Auntie Zai mengangkat dua-dua bahunya.

"Zai memang dah agak benda macam ni akan jadi. Mak Pah pun tahu kan budak tu bawa sial. Bukan Zai yang cakap tapi orang lain semua yang cakap. Zai ingatkan dia takkan jadi dengan si Fadhil tu. Tapi elok je semuanya. Rupanya benda nak jadi dekat sini. Mengandung tapi gugur."

Auntie Zai menjuihkan mulutnya. Sambil menyusun hidangan kenduri masuk ke dalam mangkuk dan pinggannya.

Aku menahan perasaan. Mak tiri yang sepatutnya menganggap aku macam anaknya sendiri, bercakap begitu fasal aku. Manalah aku tak berasa kecil hati.

Baru aku memusingkan badan, dengan tiba-tiba saja sudah berdiri mak dan papa di belakang aku. Kali ini muka aku berubah menjadi serba salah. Tengok warna kelabu asap muka mereka, aku yakin mak dan papa sudah pun mendengar kata-kata Auntie Zai.

"Sebab anak tiri kau tu dah tua. Dah 35 kan tahun ni. Susah nak lekat la tu. Laki dia muda lagi. Kacak pula tu. Tengok dia memasak kat luar tu. Berkerumun anak dara nak tolong. Kalau belum menikah tu, lama dah aku masuk meminang untuk anak dara aku tu," sampuk kakak Auntie Zai, Auntie Fiza.

Aku menjadi semakin serba salah. Nak memberi isyarat pada mereka di dapur sana bahawa papa dan mak ada di sini, aku tak tahu macam mana. Tambahan pula bila mak dan papa dengan selambanya menjegilkan mata dekat aku. Tanda amaran jangan nak beritahu fasal mereka dekat situ.

"Itu satu lagi aku tak faham, kak. Si Fadhil tu ada rupa. Handsome sangat. Nak pula dia dengan perempuan lagi tua macam Maliha tu. Memang la Maliha cantik. Tapi tua dekat 10 tahun kot. Entahkan boleh mengandung lagi ke tak dah tu," komen Auntie Zai dengan selamba.

Langsung tak ada nada bersalah.

Aku semakin berasa sakit di dada apabila mendengarkan kata-kata wanita yang sepatutnya menggantikan arwah ibu aku. Malahan aku sangat terkejut sebab seorang wanita sanggup menjatuhkan wanita lain sampai begitu sekali. Astaghfirullah.

Tiba-tiba tangan aku digenggam dengan erat dan kuat oleh mak. Aku memandang mak kemudian tangan aku yang kemas di dalam genggamannya. Mata aku dipenuhi air mata.

Tidak. Bukan semua wanita sanggup menjatuhkan wanita lain sepertimana yang dilakukan oleh Auntie Zai.

Aku tak tahu kebaikan apa yang pernah aku buat sehinggakan Allah menghadiahkan aku ibu mentua macam mak. Tak pernah melayan aku macam menantu. Aku adalah anak perempuannya yang tidak lahir daripada perutnya.

Begitulah mak melayan aku dari dulu sampailah aku menjadi menantunya. Selepas aku mengahwini Fadhil sayang mak pada aku semakin melimpah-limpah. Sampaikan aku tak pernah merasakan kekurangan kehilangan ibu selama ini.

Selepas tahu aku mengandung, aku dan Fadhil berpindah ke kondo aku. Awalnya mak tak mahu tinggal dengan kami sebab nak memberi kami privasi. Namun akhirnya, dengan pujukan aku dan Fadhil, mak tinggal juga dengan kami. Cuma hari Sabtu dan Ahad mak akan balik ke rumah Abang Den.

Papa dengan tiba-tiba saja berjalan melepasi aku. Melangkah ke ruangan dapur di mana majoriti saudara-mara Auntie Zai ada. Maklumlah, hari ini kan kenduri berendoi cucu pertama Auntie Zai diadakan.

Sebab itulah aku, Fadhil dan mak ada di sini. Atas jemputan papa dan bukan Auntie Zai. Sebab papa nak aku ikut menyertainya kerana aku, Fadhil dan mak adalah sebahagian daripada keluarga mereka. Sekali, ini pula yang telah berlaku.

SERASI BERSAMAWhere stories live. Discover now