Sayup-sayup bunyi azan dari madrasah kedengaran menandakan waktu subuh. Siling putih jadi tatapan mata coklat milik Izara. Mata yang memberat digosok dengan sebelah tangan lalu menolak jauh bantal peluk dari dakapan. Susah betul mahu bangun tidur setiap kali matahri terbit. Entah berapa banyak lagi rantai syaitan yang membelit dirinya. Belakang badan terasa sengal dek tidur di atas lantai berlapikkan tilam nipis. Seketika mata bundarnya berpaling ke tempat beradu dengan senyuman hambar.
Sabarlah Zara. Ini semua ketentuan-Nya.
Tuala pink dicapai pantas sebelum menjejak kaki ke lantai bilik air bersimen tanpa mozek. Hampir roboh pintu usang bilik airnya ditutup. Nasib baik engsel itu masih terletak elok biarpun sudah berkarat dek angin dan air.
Kalau tidak terpaksa dia mandi luar. Dekat dengan telaga. Membayangkan telaga di belakang rumah kayunya sahaja berjaya buat bulu roma naik meremang. Memang bukan Zara lah nak mandi di telaga. Dengan serangga perosak yang masuk dan keluar. Dah macam hotel penginapan. Dan gelapnya tempat itu buat wayang free sahaja kalau ada ajnabi yang menhendap. Lainlah dua adik lelakinya. Dah memang port Izham dan Iman bermain di belakang sana. Entah apa permainan dua budak itu main dia pun tak tahu.
Sedang elok mandi di bawah pancuran tiba-tiba pintu bilik air diketuk beberapa kali. Terus air pancuran ditutup. Diam tak diam dah hampir 15 minit juga Zara mandi. Bau wangian gel mandian Dettol di tubuh buat dia puas hati. Tak kisahlah mandi kejap ke mandi lama, memang bau ini kena ada sebelum keluar dari bilik air.
Anak dara kenalah wangi! Biarlah selekeh pun tapi bau badan kena jaga.
"Along!! Kau lambat lagi ke dekat dalam? Aku nak mandi pula ini. Nanti lambat aku dengan adik nak pergi sekolah." Jerit adik Zara yang kedua, Izham namanya. Memang bilik tidur dia satu-satunya yang ada bilik air. Semua orang yang nak gunakan khidmat bilik air untuk mandi atau melepaskan hajat yang punya dua cara kena masuk dalam bilik Zara.
"Ya! Along dah nak keluar ini. Angah pergi luar kejap along nak keluar."
"Yalah. Cepat sikit, sekarang dah pukul 6:30." Balas Izham.
Selesai membalut tubuh dengan tuala, Zara buka pintu sedikit. Mencuri pandang takut-takut Izham ada di dalam biliknya. Kalau remaja 16 tahun itu ada, mahu haru biru pagi itu nanti. Zara tarik nafas lega bila Izham mahupun Iman tiada. Cepat-cepat dia keluar menyambar pakaian dan kembali ke bilik air semula.
Usai mandi Zara terus turun ke dapur meneruskan rutin harian iaitu menyediakan sarapan pagi. Pintu peti sejuk Panasonic yang makin hilang warnanya dibuka. Ada gulai ikan tongkol, gulai ayam dan daging kurma lebihan lauk pauk kenduri kahwin anak ketua kampung semalam. Zara kerling jam yang tergantung di dinding. Izham dan Iman bukannya jenis yang makan sarapan pagi. Di rumah yang akan menghabiskan sarapan cuma dia dan umi. Itupun kalau umi tak sibuk keluar bekerja. Kalau tak, sarapan tadi berlanjutan dan bertukar ke makan tengah hari. Barulah Izham dan Iman akan menjamah.
Nak panaskan ke tak?
"Izara Aisyah? Apa yang kamu menungkan lagi dekat sana? Kalau tak ada benda nak ambil dalam peti itu tutup je lah. Nanti tak pasal-pasal bil elektrik melambung tinggi." Tegur Mak Esah yang lengkap berbaju kurung Kedah. Lengan baju disenteng ke siku. Ada rintik air dan daun kering bergantungan di lengannya.
Zara berdiri tegak.
"Umi dari mana?" ringan mulut Zara bertanya, risau. Laju mata bundar Zara mengimbas tubuh umi kesayangan yang nampak lencun. Tompok kelabu jelas kelihatan di tudung bawal yang dipakai Mak Esah sepertinya terkena rintik hujan.
"Umi pergi belakang rumah lagi eh?" tanpa memberi peluang Mak Esah menjawab Zara terus menebak dengan kening diangkat lagak seperti Ziana Zain. Sengaja menduga uminya begitu.
"Ya. Umi pergi belakang rumah petik ulam-ulaman sikit bagi Mak Imah jual dekat pasar. Daun ketereh dengan kacang botol itu ada banyak. Nanti bolehlah ambil sikit buat makan dengan budu." Balas Mak Esah. Kerusi ditarik sebelum melabuhkan punggung di situ.
Dengar sahaja cerita Mak Esah terus bibir Zara melepaskan keluhan. Lagi berat matanya memandang bila umi mengurut-ngurut lengan berkedut itu. Terus Zara merapati Mak Esah. Duduk di sebelah uminya sebelum mengambil alih tugas mengurut lengan tua yang kuat bekerja itu.
"Berapa kali along nak cakap dekat umi, jangan jejak belakang rumah itu lagi? Bahaya! Licin tanah itu dengan pacat lagi. Kalau pacat itu naik atas kaki umi? Hisap darah umi? Umi tak takut ke? Lagi satu, dekat belakang rumah itu penuh dengan duri pokok. Bulu miang gatal-gatal semuanya ada. Tengok ini lengan umi habis calar. Dah tak cantik umi along." Marah Zara. Sesekali mata naik memandang wajah Mak Esah. Sungguh umi dia yang seorang ini tak dengar kata. Entah berapa puluh ribu kali dia dah melarang tetap umi dia buat pekak telinga. Watak mereka dah terbalik agaknya. Zara jadi umi. Mak Esah jadi Zara.
"Biarlah umi tak cantik pun. Asalkan anak dara umi ini cantik bukan main. Macam siapa itu pelakon itu. Haa Janna Nick!" Lengan umi Zara tepuk perlahan. Dia penat-penat membebel umi boleh pula nak samakan dia dengan pelakon wanita yang popular itu. Izara dengan Janna Nick? Memang ketara sangat perbezaan cantiknya. Bagai langit dengan bumi.
"Umi ini! Zara tengah nasihat boleh pula umi samakan Zara dengan dia. Tolonglah dengar cakap Zara ini. Jangan pergi kutip ulam dekat belakang rumah. Kalau umi nak sangat ulam ini semua cakap dekat Zara." Beritahu Zara. Lengan Mak Esah kembali dipicit-picitnya.
"Zara boleh pergi ambil untuk umi. Takpun Zara suruh je si Izham dan Iman pergi kutip. Suka sangat pergi main belakang rumah dekat telaga itu hah."
"Kamu tak masak ke Zara? Izham dengan Iman dah makan ke? Dah pergi sekolah? Duit sekolah diorang dah bagi ke?" Dari menyandar Mak Esah duduk tegak. Mata tua yang kuyu itu terbuka luas. Teringat akan dua anak lelakinya yang masih muda remaja.
"Along tak masak hari ini sebab Izham dengan Iman bukan makan sarapan pun umi. Kita dua je dekat rumah. Kalau umi nak makan nant along panaskan lauk kenduri semalam."
"Umi! Along! Kitorang pergi sekolah dulu eh." Bagaikan tahu diri mereka diseru terpacul wajah dua orang budak lelaki yang sederhana tinggi. Menuruni tangga dapur, menyalami tangan umi dan kakak sulung sebelum mendapatkan basikal biru dan merah Hercules yang tersadai di tepi rumah.
"Angah, adik, kau dah ambil duit yang along letak dekat pasu itu?" soal Zara di muka pintu dapur. Merenung dua remaja yang lengkap berpakaian seragam sekolah. Tak bercakap banyak dua adik lelakinya hanya mengangguk. Pemergian dua beradik itu dihantar dari ekor mata sebelum masuk ke dapur semula.
"Umi nak pergi mana?" soal Zara bila Mak Esah berdiri di belakangnya, mahu keluar. Automatik Zara pegang tangan uminya.
"Umi nak pergi rumah Mak Lijah. Umi ambil upah basuh baju hari ini. Zara duduk rumah jaga diri elok-elok. Nanti tanak nasi untuk Izham dengan Iman. Sebelum pukul 4 umi balik." Baru Zara mahu membuka mulut pegangan tangan sudah terlepas. Umi pun sudah jauh ke hadapan.
Kasihan umi. Hidup sebagai ibu tunggal. Balu kematian suami. Hidupnya membanting tulang menyara tiga orang anak. Siang dan malamnya tidak tenang seperti dulu. Kalau abah masih ada mesti umi tidak akan berpenat lelah seperti ini. Kerja mengambil upah di rumah orang di sana sini. Dia mahu turut membantu pun dilarang keras.
Kenangan lalu kembali berputar bagai video diulang tayang. Keluarga mereka bahagia. Walaupun berteduh di rumah kayu yang semakin mereput, beratapkan zink yang berkarat. Setiap kali angin kencang datang dan pergi ada kalanya membawa zink itu juga pergi. Tetapi hidup mereka masih dengan gelak tawa dan kasih sayang sempurna sebelum abah hilang dibawa arus laut. Tenggelam bersama perahu kecil dan tangkapan ikan yang sepatutnya jadi jualan pangkalan dan hidangan malam keluarga mereka. Abah pergi tinggalkan mereka.
Zara geleng kepala. Air mata yang bertakung di tubir mata sedaya-upaya dia tahan dari menitis. Dia kena sabar. Sabar seperti umi. Umi tak putus asa jadi dia juga tak akan putus asa. Umi tak mengeluh dan dia pun tak akan sesekali mengeluh. Dari abah meninggal umi tak tunjuk yang dia lemah.
Umi selalu kata. Hidup perlu diteruskan walau sesusah mana pun.
Pantulan wajahnya di periuk berisi air dipandang kosong. Kau kena kuat Zara. Kuat untuk umi. Kuat untuk Izham dan kuat untuk Iman.
***********
Org buat citer kita pun sibuk nk buat citer.
Sorry cover buruk sbb buat sendiri haha
YOU ARE READING
His Only One
Romancecover by : @SyuhadaAbshah Izara Aisyah gadis kampung yang punya ibu dan dua adik lelaki. Hidup dalam serba daif. Usia yang menjangkau 20 tahun memaksa dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah nasib hidup. Tak pernah terdetik di dalam hidupnya ak...