BAB 1

4.1K 61 2
                                    

"CIKGU, Maini nak balik ni."

Maya tersentak saat tangannya disentuh lembut oleh anak kecil bernama Maini.

"Ye? Mama dah datang ambil ke ni?" Maya menjenguk di balik tingkap kaca di dalam kelas itu.

"A'ah. Itu mama." Petah suara anak kecil itu. Jarinya lurus menunjukkan sebuah kereta Honda Accord berwarna merah hati di luar pagar taska.

"Okeylah. Jom cikgu hantar Maini keluar." Dia mencapai tangan halus Maini dan tangan kirinya pula menjinjing beg sekolah Hello Kitty Maini.

Dari jauh, cermin kereta sebelah penumpang diturunkan. Senyuman manis terukir di bibir pemandunya.

"Sorry Maya. Akak sibuk sangat kat kedai tadi. Tak sempat nak datang ambil Maini. Maaflah, akak menyusahkan Maya."

Maya tersenyum. Mengerti. Begitulah mama Maini yang mesra dipanggil Kak Juliana.

"Takpelah. Kan tadi akak dah Whatsapp Maya. Lagipun Maya bukan ada benda nak buat. Boleh aje tengokkan Maini ni."

Maya menjawab sambil memasukkan Maini ke dalam kereta. Beg sekolah kecil Maini juga dimasukkan ke dalam kereta di bahagian belakang.

Maini pula, masuk saja dalam kereta, mula mencapai tablet mamanya. Langsung tidak pedulikan lagi cikgu mahupun mamanya.

"Maini macam mana hari ni? Buat perangai tak?" tanya Juliana.

"Takdelah kak. Dia macam biasa la. Sibuk mewarna."

Maya mengusap pipi Maini lembut. Memang hobi Maini melukis dan mewarna.

"Hum. Okeylah Maya. Akak balik dulu ye. Sibuk sangat kat kedai. Ni akak nak kena siapkan tempahan untuk jamuan. Tak menang tangan akak dibuatnya. Nak tinggal lama-lama pun tak boleh."

"Oh. Ye ke. Alhamdulillah. Rezeki akak."

"Tapi, itulah Maya. Letih. Takpelah. Akak pergi dulu." Juliana menghela nafas panjang.

Maya nampak keletihan terpamer di wajah itu.

"Ye kak. Hati-hati bawak kereta." Maya menitipkan pesanan buat Juliana.

"Haa. Yelah. Terima kasih Maya."

"Sama-sama kak."

"Maini, say goodbye to cikgu." Juliana menyedarkan anak kecilnya yang leka bermain gajet.

"Bye, cikgu. Love you." Maini menghadiahkan flying kiss kepada Maya.

Tersenyum Maya dengan keletah Maini. Seorang anak yang sangat senang dijaga. Tidak cerewet. Tidak banyak kerenah. Malah, lebih matang daripada usianya. Jika dibandingkan dengan anak-anak lain yang sebaya Maini, Maini jauh lebih pandai berdikari.

Selepas kereta merah hati itu hilang daripada pandangan, barulah Maya melangkah masuk ke dalam pagar Taska Gemilang semula.

Inilah kebanggaan Maya. Yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri. Jerih dan peritnya hanya Tuhan yang tahu. Sewaktu taskanya baru menapak, cuma tiga orang sahaja anak yang didaftarkan. Memandangkan kes penderaan anak banyak berlaku di taska-taska, ibu bapa khuatir untuk menghantar anak-anak mereka ke taska.

Tetapi, semakin lama semakin Taska Gemilang mendapat kepercayaan di hati masyarakat. Itu juga membuatkan Maya menambah beberapa lagi kakitangan untuk membantunya. Semestinya, pemilihan guru taska sangat dititikberatkan daripada semua aspek. Temasuklah pendidikan dan latar belakang guru tersebut.

Tidak boleh sewenangnya menjaga anak orang. Kerana itu amanah yang dipertanggungjawabkan oleh ibu bapa sewaktu menyerahkan anak mereka ke dalam jagaan sesebuah taska atau mana-mana panti asuhan.

KAU RASMI MILIKKUWhere stories live. Discover now