Bab 4

3.5K 243 14
                                    

"Bukanlah puasa itu dari makan dan minum saja, sesungguhnya puasa itu dari perkataan kotor dan caci maki."

[ Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah dari Abi hurairah ]

Itu semua kisah lama. Kisah saat Li tertangkap sedang merenung Jue dalam diam oleh Piah. Kalaulah ....

Kalaulah dulu Piah lebih bijak menanam sabar dan berfikir jauh, pasti apa yang berlaku sekarang tidak terjadi. 

Tapi perkataan 'kalau' itu tidak mampu untuk merubah keadaan. Kak Jue sendiri pun sudah lama mendirikan rumah tangga. Sudah beranak pinak pun. Seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Itu yang Piah dengar dari cerita abah dan emak. Piah sendiri tidak pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri tentang pertambahan ahli baru di dalam keluarga itu.

2 minggu selepas Li berangkat ke luar negara, Jue bertunang dengan Im, abang sepupu Piah.

Waktu berita Jue akan bertunang dengan Im dicanangkan, Piah terdiam. Tidak dapat mahu bereaksi ceria seperti selalu. Kerana hatinya ikut sama luluh membayangkan cinta Li yang tidak mungkin akan berbalas lagi.

Siapa sangka yang Im dan Jue sebenarnya sudah lama mengikat tali kasih di dalam diam? Tidakkah Li tahu? Bukankah Li dan Im berkawan rapat?

Selepas itu, baru rasa menyesal perlahan menular masuk ke dalam hati Piah. Mengapa mulutnya mudah melepas bicara! Bukankah dia sudah memalukan Li? Sekaligus membuatkan hubungan Li dan Im berantakan.

Masih Piah ingat, tahun terakhir Li di Malaysia, semasa majlis berbuka puasa dijalankan di surau kampung, Piah mungkir pada janjinya untuk merahsiakan perasaan Li. Dek kerana marah yang ditujukan pada lelaki itu, Piah tidak dapat lagi menahan mulutnya.

"Eleh, Abang Li tu? Suka Kak Jue kan? Malu nak cakap? Sebab tu taknak pergi oversea kan?" Piah mengejek bila mereka beramai-ramai mengusik dia sukakan Mamat, budak kampung sebelah yang sesekali ke rumah Piah untuk menghantar duit sewa bendang Abah. Li juga ikut sama mengiakan. Membuatkan wajah Piah terasa pijar diejek begitu.

Bila diungkit isu suka dalam diam, Piah jadi panas telinga. Tambah-tambah melihatkan Li yang ikut sama ketawa dan mengerling Piah seperti mengejek. Piah terus naik minyak. Terus nama Li dikaitkan sekali dalam senda gurau mereka.

Masih Piah ingat kenyataannya itu membuatkan Jue terbatuk dari suapan airnya. Li pula,  mencerlung tajam memandang Piah. Piah lawan sama naik. Ingat dia takut?

Hatinya sakit!

Mendengar komen Li tentang Piah bersama kawan-kawannya tadi di balik pintu toilet lelaki, darah Piah naik sampai ke kepala.

Semasa ke tandas perempuan yang dibina sebumbung dengan tandas lelaki, Piah terdengar namanya disebut. Tandas beratapkan zink, tidak bersiling, pastilah sebarang bunyi senang didengari.

"Aku tak faham kenapa korang semua suka sangat melayan Si Piah tu. Budak tu naik lemak tau. Umur dah 19, tapi perangai macam budak tingkatan 1. Tak matang. Terkinja kinja ke sana sini."

Piah pasti itu suara Abang Li! Antara semua kawan-kawan mereka, hanya Li yang selalu memandang Piah dengan pandangan tidak suka. Setiap kali Piah ceria berceloteh,mengundang tawa dari pendengarnya, hanya Li saja yang mulutnya ketat. Jelas tidak suka melihat keletah Piah yang seperti anak kecil tidak sedar diri.

Terus Piah rasa mahu menangis. Tidak pernah dia mendengar dirinya dikutuk di belakang sebegitu rupa. Dek kerana ikutkan marahnya, mulut Piah lupa pada janji. Dikeluarkan satu-satunya rahsia Li yang diketahuinya. Baru Li tahu, Piah tidak mudah ditolak ke tepi! Dahulunya, beria merayu minta rahsianya dijaga. Tapi di belakang Piah? Langsung tidak hormat pada penjaga rahsianya!

Selepas Piah memecahkan rahsia Li, Im langsung berpusing memandang teman baik dari sekolah rendahnya itu.

"Kau suka Jue?" Muka tidak percaya Im terarah pada Li. 

Mulut Li terkunci rapat. Tapi jawapan yang keluar bukannya datang dari mulut Li. Piah sekali lagi menambah duri dalam daging.

"Ha'ah. Piah tahu lama dah. Makin sakan Piah menokok tambah cerita. Bangga dapat membalas rasa sakit hatinya.

"Piah!" Li bangun menghentak meja. 

"Kau jangan melampau! Mulut macam mak nenek cakap bukan-bukan! Kau ada masalah dengan aku ke?" Keluar habis ayat kasar dari Li. 

Piah ikut tersentak. Tapi dikeraskan tubuh untuk berdiri tegak.

Ad yang duduk di sebelah Li sudah bangun menarik Li untuk kembali duduk. Disuruhnya Li bersabar.

"Aku dah cakap kat korang. Piah ni mulut dia teruk! Perangai entah apa-apa. Korang suka sangat menangkan dia!" Li masih tak habis meluahkan geramnya. 

"Eh Piah! Aku lama dah sabar dengan perangai kau ni. Banyak mulut, suka reka cerita, bercakap tak pernah fikir perasaan orang! Kau ingat kitorang suka kau ke?!"

Habis tertutup cerita Li dan Jue. Piah pula yang jadi malu sendiri. Walaupun gugup bila Li sudah mula melalut membuka kisah lain, Piah tetap mahu melawan.

Baru saja mulutnya terbuka mahu membalas, tangannya ditarik emak. Emak yang sudah mendengar bunyi pergaduhan mereka dari khemah makan sebelah. Piah terus disuruh duduk di sisi emak sampailah habis tarawih jemaah malam itu.

Pulang dari tarawih malam itu, Piah dimarah teruk oleh abah dan emaknya. Baru Piah tahu tentang pertunangan Im dan Jue yang akan dirasmikan selepas raya nanti. Cuma orang-orang tua saja yang tahu.

Waktu tu juga abah beri amaran supaya Piah berfikir dahulu sebelum berbicara. Terlajak perahu boleh diundur, tapi kalau terlajak kata?

Esoknya, Li tiba-tiba memberi jawapan untuk tawaran menyambung pengajian ke luar negaranya. Li membawa dirinya jauh. Meninggalkan Piah bersama tohmahan ramai mengatakan dia punca Li ke luar negara.

Berminggu Piah tidur ditemani air mata. Rasa bersalah menghantui. Sedih juga ada mengenangkan kawan-kawan yang sebenarnya tidak sukakan dirinya.

Rayanya tahun itu ditemani sunyi.

Dia tidak bertandang ke rumah sesiapa, teman-teman pun menyepi tak peduli.

.

BELAJAR ke negara orang itu bagus. Dapat menimba lebih pengalaman. Walau semua orang tahu apa yang Li lakukan itu adalah satu kebanggaan untuk kampung mereka, tetap mereka bercerita tentang pergaduhan mereka sebelum Li menerima tawaran tersebut.

Semuanya jadi serba tidak kena. Piah jadi kekok dengan rakan sekampung. Semuanya seakan menyalahkan Piah. Piah dengan mulut lepasnya. Piah dengan sikap tidak tahu menjaga hati orang lain. Piah ini, Piah itu.

Piah akhirnya belajar menulikan telinga. Bila hatinya sudah semakin tidak tahan, Piah mohon menyambung pelajaran di negeri yang paling jauh dari negeri asalnya. Piah lari dari masalah.

Kerana Piah sendiri tidak tahu bagaimana mahu membetulkan hakikat yang sebenar. Benar, Piah yang bermulut lepas. Tapi tidak mahukah sesiapa bertanya mengapa Piah bersikap demikian?

Piah juga ada perasaan, bukan Li seorang saja tahu emosi. Apa perasaan Piah bila mendengar dirinya dikutuk-kutuk begitu dibelakangnya? Sudahlah begitu, Li lagi menjatuhkan bom tentang sikap Piah yang sebenarnya tidak disukai kawan sekampung mereka.

Bukan seratus peratus kesalahan patut diletak atas pundaknya! Li pun turut bersalah. Hati Piah juga ikut tersiat. Tapi Li pergi begitu sahaja. Berlagak seolah dia itu mangsa dan Piah itu penjahatnya.

Piah ditinggalkan dalam kemelut yang berpanjangan sehingga kini. Kemelut yang terjadi kerana Piah tidak bersabar mendengar dirinya dikutuk –kutuk di belakang. Bukankah puasa itu separuh sabar? Tapi mengapa sabar Piah waktu itu senipis kulit bawang?

Ramadhan Tiba (✔)Where stories live. Discover now