BAB 1 - PERTEMUAN

25 1 7
                                    

"Argh! Kenapa kita masih tak jumpa satu bandar pun lagi?!!" Rungut seorang gadis yang berada di sebuah kawasan padang pasir yang kering-kontang. Gadis yang berambut merah jambu, berbaju T-shirt merah lengan pendek dengan warna putih dan kuning menghiasi bahagian tengah dan kolar bajunya memandang sekeliling kawasan tersebut. "Awak nampak apa-apa, Zic?" Tanya remaja itu kepada seekor makhluk terbang yang berada di sebelahnya.

"Pi! Pi!"

Makhluk kecil berbentuk bulat itu menyahut dengan riang. Dia memiliki sedikit rambut berwarna oren di bahagian dahi dan rambut panjang warna merah seumpama api kecil yang meliuk ke kiri dan kanan di atas kepala. Tanduk-tanduk kecil turut menghiasi kiri dan kanan kepalanya. Selain itu, dia juga memiliki sepasang sayap kecil berbentuk seperti sirip ikan yang berfungsi untuk mengekalkan mahkluk itu di udara.

"Di mana?"

Sejurus bertanyakan soalan terbabit, sinaran cahaya pagi datang dari arah hadapan mereka dan memperlihatkan sebuah bandar kecil. Terdapat sebuah papan tanda besar yang berada di situ dan bertindak sebagai pintu gerbang untuk memasuki bandar terbabit. Pada papan tanda itu tertulis 'Selamat datang ke Bandar Abacus'.

"Akhirnya! Kita berjaya sampai ke sebuah bandar, Zic!" Jerit gadis itu. Dia memegang kedua-dua belah sayap mahkluk terbang itu sebelum menari dengannya. Haiwan itu turut sama gembira memahami perasaan tuannya.

"Pi, pi, pi!"

Setelah mengekspresikan perasaan mereka melalui tarian, dua sekawan itu meneruskan langkah menuju ke pintu masuk Bandar Abacus. Sebaik saja menjejakkan kaki di dalam kawasan bandar, mereka berdua terkejut. Baik di luar mahupun di dalam pekarangan kedai yang menghiasi jalan utama bandar itu, manusia kelihatan membanjiri kawasan tersebut sambil melakukan aktiviti masing-masing.

"Wah...ramainya orang!"

"Pi!"

Mereka kembali meneruskan langkah sebelum bau wangi makanan-makanan yang dijual di gerai sekitar menusuk hidung mereka. Dalam masa yang sama, perut gadis berambut merah jambu dan temannya mula berbunyi.

KRUUK...

"...Nampaknya kita sampai di sini tepat pada masanya. Mari kita tengok apa yang mereka jual di situ. Bau macam sedap."

"Pi! Pi! Pi!"

"Ah, sebelum tu biar saya keluarkan duit awal-awal, senang nak bayar nanti."

Sebaik sahaja gadis itu hendak menanggalkan beg galas belakang yang dipakainya, beg itu disambar oleh seorang lelaki yang kemudian berlari pantas meninggalkan tempat tersebut. "Hei, beg saya! Tolong! Pencuri!" Jeritnya sekuat hati sambil berlari mengejar pencuri terbabit. Zic turut mengikut dari belakang.

"Teruklah kita kalau dia dapat larikan beg tu, Zic! Kita nak makan apa nanti?!!"

"Pi--"

BANG!

Satu bunyi tembakan kedengaran dilepaskan membuatkan mereka berdua terkejut. Serentak dengan itu, sebutir peluru lalu di sebelah gadis tersebut dan menuju tepat ke arah pencuri yang mereka kejar. Kemudian, ia mengeluarkan seutas tali dari dalam kelongsong sebelum mengikat tubuh pencuri terbabit tanpa lelaki itu sedari.

"Hah? Lepaskan! Lepaskan saya!"

"Pencuri! Akhirnya dapat juga kami tangkap awak!" Kata remaja perempuan itu setelah dia tiba di hadapan pencuri tersebut sebelum mengambil kembali beg miliknya. Orang ramai yang menyedari apa yang berlaku mula mengelilingi mereka.

"Awak cakap lelaki ini pencuri, cik?" Tanya seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an.

"Ya, dia curi beg saya sebentar tadi. Nasib baik kami dapat balik beg ni."

"Pi, pi, pi!" Sokong Zic.

"Tak guna! Mari kita bawa dia ke balai polis!" Ujar lelaki itu sebelum dipersetujui oleh saksi-saksi yang lain. Dua sekawan itu melihat lelaki tersebut dibawa pergi oleh mereka.

"Huh...selesai satu masalah. Terima kasih kepada orang yang tolong kita tangkap dia sebentar tadi," ujar gadis itu. "Tapi, siapa orangnya? Awak tahu, Zic?"

"Pi, pi..." Zic menggeleng. Tuannya mengeluh.

"Terlalu ramai orang di sini ketika kejadian, entah siapalah orangnya yang--"

Kata-katanya terhenti apabila melihat seorang pemuda sedang memerhatikan dia dan Zic dari satu lorong kecil. Pemuda itu memandang mereka berdua dengan pandangan yang tajam sambil berpeluk tubuh. Pada kedua-dua belah poket seluarnya tergantung sepucuk pistol yang tersimpan kemas di dalam sarung khas masing-masing. Setelah menyedari kewujudannya diketahui oleh gadis itu, dia terus beredar dari lorong tersebut.

"Jangan-jangan--hei, tunggu dulu!" Tuan Zic terus berlari menuju ke arah lelaki itu sambil dituruti oleh makhluk terbang miliknya. Mereka hampir kehilangan jejak pemuda tersebut sebelum kembali menemuinya sewaktu tiba di satu persimpangan "Encik! Berhenti!" Arahnya ketika dia tiba di hadapan lelaki muda terbabit. Lelaki itu terkejut.

"Hah...hah...hah...cepat betul awak jalan. Macam pelesit!"

"Um...saya kenal awak ke?"

"Tak payah nak berlakon. Saya tahu awak yang tolong kami tangkap pencuri tu tadi, kan?" Kata gadis itu sebelum ketawa. Dia kemudian menghulurkan tangan sebagai salam persahabatan. "Nama saya May. Ini Zic, haiwan peliharaan dan teman baik saya," ucap May sambil menunjuk makhluk terbang yang berada di sebelahnya. Zic menyahut dengan perasaan gembira.

"Pi, pi, pi!"

"Nama saya Neo," ujar pemuda berambut cacak itu lalu menyambut huluran tangan May. "Hai Zic. Saya masih tak faham apa maksud awak sebentar tadi, May. Tapi saya anggap semuanya dah selesai sekarang," kata Neo sambil tersengih. Gadis di hadapannya terkejut mendengar pengakuan pemuda itu lalu mula berasa bengang.

"Hei, saya tahu awak tak nak berlagak dengan apa yang awak dah buat, tapi bila saya dah terima kebaikan yang awak lakukan, tak perlulah awak berdolak-dalih lagi. Awak buat kami nampak macam orang bodoh je macam tu."

"Pi, pi!"

"Hah? Tapi saya tak bermaksud nak buat kamu berdua rasa macam tu--"

KRUUKKK...

Bunyi yang pelik datang dari perut mereka bertiga membuatkan masing-masing terkejut. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain sebelum mula ketawa.

"Ahahaha...malunya. Waktu macam ni pula perut kita buat hal, Zic," rungut May sambil memegang perutnya. Haiwan itu menurut kelakuan tuannya. Neo tersenyum.

"Macam ni lah. Perut saya pun berbunyi juga. Alang-alang kita dah ada di hadapan sebuah restoran, mari saya belanja kamu berdua makan. Sebagai tanda kemaafan atas peristiwa sebentar tadi?"

"Restoran? Patutlah saya terbau makanan sejak dari tadi! Baiklah, rezeki jangan ditolak! Kan Zic?"

"Pi! Pi! Pi!"

Neo ketawa kecil. Mereka sangat menarik, bisik hati kecilnya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 01, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

GUNBLASTER THE ORIGIN [HIATUS]Where stories live. Discover now