Bab 3

2.4K 56 2
                                    

WAJAH dalam cermin itu, aku pandang dalam-dalam. Bermata bengkak, berbibir pucat. Bukan rupa yang aku bayangkan sebaik menikahi dia. Aku angankan pagi yang indah. Dia yang mengusik nakal, dan aku yang tersipu-sipu malu. Macam dalam drama yang kadang-kadang aku tonton dan novel cinta yang kadang-kadang aku baca. Sekarang, aku dah sedar. Itu semua cuma angan-angan jelik yang buat penonton dan pembaca hidup tidak berpijak di atas tanah.

Hakikatnya, semua keindahan itu tidak wujud. Sama seperti cintaku yang tidak pernah pun wujud. Langsung tidak ada.

"It's a lie..." Bibir dalam cermin, mula bergerak-gerak.

"It's a lie." Bergerak lagi. Lebih terketar-ketar.

"Amsyar... Dia... Dia bohong. Dia... Dia tak pernah... Dia tak pernah... Arghhh!"

Aku merengkuh rambut kuat-kuat dan mencengkamnya. Mata dipejam rapat-rapat. Bibir juga begitu. Aku kemam sekuat hati. Tidak mahu lagi mengeluarkan apa-apa yang cuma akan mencampak aku keluar dari dunia angan-anganku yang indah. Aku tidak rela menghadap hakikat sebenar. Aku tidak mahu mengingati dia yang tidak mencintai.

"Aku mahu hancurkan kau."

Dan semestinya, aku tidak mahu menyedari bahawa lelaki yang paling aku cinta itu sebenarnya cuma mahukan kehancuran aku.

Oh, Tuhan! Tolong! Tolong aku. Aku tak mahu ingat semua tu. Aku tak mahu sedar semua tu. Tolong... Tolong aku...

Sedikit-sedikit, tubuhku melorot jatuh ke bawah. Terduduk dalam keadaan melutut. Tangan yang tadi mencengkam rambut sudah dilepaskan. Kini, menampung dinding kabinet. Dahiku berlabuh di situ. Masih dengan mata yang terkatup rapat. Tetapi kali ini, bertemankan titis-titis jernih. Sepi menodai pipiku.

Bang!

Bahuku terhentak. Kepala laju terngadah dan terpusing ke belakang. Daun pintu bilik air, kelihatan bergegar. Seiring dengan bunyi hentakan dari luar. Kuat. Tidak penyabar langsung.

"Buka pintu ni, Jannah. Kau buat apa kat dalam tu?"

Aku senyap. Hanya lambat-lambat, bangkit semula. Kembali menghadap cermin dan wanita bermuka lesu.

"Kau jangan buat kerja gila dalam tu. Belum masanya lagi kau lepas daripada aku."

Aku tersenyum sinis. Ekor mataku melirik ke belakang. Pada pintu yang sudah hampir roboh. Dapat aku bayangkan rupa suamiku yang panasaran di luar sana. Bukan kerana risau isterinya terlalu lama di dalam bilik air, tetapi risau aku mati dahulu sebelum sempat dia mematikan aku.

Tiba-tiba sahaja aku rasa mahu melukakan diri. Mahu melihat reaksinya. Pasti dia akan geramkan aku. Pasti dia akan sedar bahawa aku tidak akan membiarkan dia hancurkan aku sesenang itu. Aku lebih rela hancurkan diri aku sendiri dahulu, sebelum itu berlaku.

Astaghfirullahalazim...

Cepat-cepat, aku beristighfar. Apa yang aku fikirkan ini?

"Jannah, buka pintu ni." Suara Amsyar tidak lagi sekeras tadi. Agak lembut pada pendengaranku. Tetapi, aku sudah tidak peduli dengan kelembutan itu. Sudah tidak percaya.

Lalu, aku biarkan sahaja dia di luar sana. Biar apa-apa pun yang dia buat dan apa-apa pun yang dia rasa. Aku sekadar melihat semula ke muka dalam cermin. Kemudian, membuka pili air dan melempar air ke wajah. Terasa sejuk air yang menyentuh. Sengaja aku tidak membuka pili lebih dekat ke bahagian panas. Tidak mahu suam. Tidak mahu panas. Biar kedinginan ini menenangkan aku, walaupun aku tahu. Aku tidak boleh lagi jadi tenang. Mungkin untuk selama-lamanya.

Usai berpuas hati, aku menarik nafas dalam-dalam. Tubuh dipusing. Langkah diangkat. Setapak-setapak, hingga aku akhirnya terpacak depan daun pintu bilik air. Perlahan-lahan, tanganku diangkat. Sampai ke tombol dan...

Dendam Bersulam CintaWhere stories live. Discover now