LEGASI MAMAK BAB 3 - IDENTITI DAN KERAKYATAN

492 1 0
                                    

       Pada masa selepas kemerdekaan negara, dilema besar adalah tentang memilih kerakyatan Tanah Melayu atau India. Segolongan besar mengambil jalan ini iaitu tinggal menetap di Malaysia dan melawat India apabila perlu. Golongan mamak dalam kategori ini menjadi warganegara secara permohonan naturalisasi. Pemohon kewarganegaraan secara naturalisasi adalah mereka yang telahpun dilahirkan di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan. Kategori ini memegang sijil kewarganegaraan dan kad pengenalan secara serentak. Pada masa yang lalu semua golongan mamak dicatitkan sebagai keturunan India atau India Muslim dalam sijil kewarganegaraan dan sijil lahir. Hanya golongan Jawi Peranakan sahaja didaftarkan sebagai Malay Muslim kerana salah seorang daripada ibubapa mereka adalah Melayu.

         Pada tahun 1950an, 1960an dan 1970an kaum mamak memang berpuas hati apabila didaftarkan sebagai keturunan India Muslim. Biasanya didaftarkan sebagai anak perempuan atau anak lelaki selepas nama pemberian ibu bapa. Segelintir kaum mamak mendapar PR atau taraf pemastautin ataupun lebih dikenali sebagai kad IC merah. Golongan ini tidak boleh mengundi dan terus berusaha untuk mendapatkan taraf kerakyatan. Ada banyak rungutan dan rasa kecewa kaum mamak tentang hal ini.

Dalam tahun 1995, Dato' Megat Junid Megat Ayub pernah mengatakan bahawa "sincerety will be judged by the number of times they reapply, and their ability to speak and write Malay. Though some had lived in Malaysia for several generations, he said this does not automatically qualify them as citizens, especially if they spend periods in both countries and have their family in India"(New Straits Times, 20 February 1995).

              Akhbar Sinar Harian (13 Mac 2014) melaporkan bahawa seramai 6000 orang kaum mamak menghadapi masalah sijil kelahiran, kad pengenalan dan kerakyatan di Pulau Pinang. Satu taklimat telah dianjurkan oleh pertubuhan KIMMA dengan kerjasama JPN untuk memberikan penerangan tentang cara membuat permohonan lengkap. Akhbar ini juga memetik tentang pendapat JPN tentang isu ini. JPN memberikan beberapa sebab mengapa kaum India Muslim menghadapi masalah ini seperti dokumen yang kurang lengkap dan kurangnya pengetahuan tentang prosedur yang betul. Ini memberikan isyarat penting kepada semua NGO India Muslim supaya mengambil tindakan membantu kalangan yang memerlukan bantuan.

              Sungguhpun proses permohonan kewarganegaraan itu mengambil masa bagi kaum ibubapa, prosesnya lebih mudah bagi anak-anak yang dilahirkan di sini untuk mendapatkan kerakyatan. Ramai yang didaftarkan sebagai bin dan binti walaupun ada segelintir tidak mendapatnya bergantung kepada jabatan pendaftaran negeri yang berlainan.

          Pada masa yang lalu, kaum mamak sering menggunakan huruf tertentu yang membawa maksud tertentu dalam dokumen pengenalan mereka. Mereka tidak bimbang tentang penggunaan bin dan binti dalam nama mereka. Apabila saya membuat penyelidikan tentang arwah Tan Sri S.O.K. Ubaidulla, saya rasa kagum bagaimana kaum lelaki mamak membawa diri dan keluarga mereka dengan bangga melalui nama mereka. Huruf S mewakili nama keluarganya Sinna Rawther. Huruf O pula mewakili nama datuknya yang bernama Osman. Manakala huruf K pula mewakili nama ayahnya iaitu Kadhir Basha. Gaya ini adalah suatu yang biasa pada kaum tua mamak pada waktu itu. Sehinggakan arwah ayah gemar menggunakan namanya sebagai J.K.Hanifa.

          Rentetan daripada di atas, saya juga menemui satu lagi isu dalam beberapa keluarga mamak pada tahun-tahun 1940an hingga 1970an. Kebanyakan keluarga mamak mengambil berat tentang penggunaan bin kepada nama lelaki. Kaum bapa biasanya cuba sedaya upaya untuk mendapatkan bin untuk anak lelaki mereka supaya urusan luar dan perniagaan dapat dilaksanakan dengan senang. Tidak banyak usaha diambil untuk mendapatkan nama binti bagi kaum perempuan kerana pandangan tradisi bahawa kaum perempuan akan berkahwin dan menjaga keluarga.

LEGASI MAMAKWhere stories live. Discover now