Salam terakhir diberi kemudian tapak tangannya naik meraup muka. Seulas bibir milik Qowiy lantas mengalunkan wirid ringkas selepas solat bersama mata yang terpejam rapat. Buat beberapa saat, dia kekal dalam keadaan itu.
Usai melengkapkan bacaan wirid, kedua belah tangan pula diangkat untuk berdoa. Namun tak lama, tangan itu diturunkan semula. Qowiy tunduk merenung sejadah yang terhampar di depan mata. Bibirnya melepaskan keluhan berat.
"Apalah yang kau buat ni Qowiy. Ada masalah, baru nak hadap Tuhan. Tak ada masalah, hidup tak bertuhan. Mudah betul lupa diri. Padahal kau tu asalnya tanah, tempat yang paling bawah. Ish ish ish..." Dia menggelengkan kepala mendengar ulah sendiri.
Akhirnya niat untuk berdoa tadi dibiarkan tergantung tak bertali. Qowiy bingkas bangun lalu melipat sejadah yang menjadi alas sujud sebelum diletakkan kembali di tempat asal.
Kakinya ingin mengorak langkah meninggalkan kawasan surau sekolah, namun sebaik terlihat beberapa orang pelajar yang khusyuk membaca Al-Quran membuatkan Qowiy tertarik untuk terus mendengar alunan bacaan ayat suci tersebut.
Jadi, dia mengambil keputusan untuk duduk bersandar di kawasan tepi surau. Membiarkan alunan kalam kiriman Tuhan menerobos masuk ke cuping telinga. Qowiy pejamkan mata. Tenang. Itu yang dirasai dari lubuk hati yang paling dalam. Ketenangan yang selama ini terpadam seolah-olah kembali bernyala.
Qowiy terasa bahunya ditepuk. Ruang kosong di sebelahnya juga turut terisi dengan kehadiran seseorang. Kelopak mata dibuka sedikit. Wajah Pian hadir menerpa bersama sebuah sengihan. Qowiy pejamkan matanya semula. Malas nak layan.
"Kenapa aku asyik jumpa kau? Semaklah," tutur Qowiy senada dengan mata yang tertutup rapat.
"Ish, apalah Abang Qowiy ni. Takkan tak tahu? Orang tua-tua kata, kalau selalu jumpa maksudnya berjodoh."
Qowiy yang mendengar pantas mencebik bibir. Geli.
"Habis tu, kau nak cakap aku ni jodoh kau ke? Eee... meremanglah gila."
Pian tergelak kuat. Terhibur. Boleh pula macam itu.
"Kalau tak berjodoh dengan saya, mana tahu boleh berjodoh dengan kakak saya?"
"Uhuk, uhuk!" Qowiy sudah tersedak air liur sendiri. Automatik kelopak matanya terbuka luas menatap makhluk asing di sebelah. Tak tunggu lama, satu jentikan dilepaskan pada dahi luas milik Pian.
"Aduh, sakitlah bang!" Pian yang merasa penangan tersebut sudah menekup dahi sambil menahan sakit. Permukaan dahinya terasa pijar kini.
"Hah, padanlah dengan muka kau. Aku rasa lebih baik kau diam. Nanti tak pasal-pasal ada juga yang aku campak dalam kolah wuduk kang," ugut Qowiy sebelum dia bersandar semula di dinding. Jelas, aura gangsternya sudah kembali.
Ugutan tersebut berjaya menghentikan mulut bertih jagung Pian daripada terus bekerja. Hasilnya, dia turut sama bersandar di dinding surau mengikut jejak langkah Qowiy.
"Sakit ke?" Selepas beberapa ketika, barulah senior lelaki itu meringankan mulut bertanya.
"Gilalah kalau tak sakit. Abang jentik dekat satu tempat je, tapi tiga tempat rasa sakit."
"Wah, mantap! Cuba bagitahu aku tempat mana yang sakit tu."
"Sakit dahi, sakit hati, sakit otak. Tiga-tiga ni bergabung buat saya rasa nak nangis bang," tutur Pian bersama mulut yang tersebek-sebek ingin melepas tangis.
Qowiy berdecit kecil. Dasar cengeng punya Pian. Itu baru dijentik sikit tau! Pian tak merasa lagi Badrul punya. Lagi sakit, lagi perit.
"Kau ni lembik betul. Cubalah belajar jadi kental. Ini tidak, baru jentik sikit dah bergenang air mata. Kita ni lelaki, Pian. Kenalah tunjuk kuat!" Serentak dengan itu, selamba saja dahi Pian dijentik buat kali kedua. Budak itu mengerang kesakitan. Qowiy hanya membiarkan lagak orang tiada perasaan.
YOU ARE READING
BAD[AR]
Teen FictionBAD[AR]: friendship | hatred | revenge | tarbiyah | BADRUL QOWIY, seorang pelajar bermasalah. Tiada istilah peraturan dalam kamus hidupnya. Disiplin? Pergi mampus. Baginya peraturan dicipta untuk dilanggar bukan untuk dipatuhi. BADRUL AMIN, pengawa...