"Badrul Qowiy."
Berpasang-pasang mata di dalam kelas itu tertumpu ke arahnya. Qowiy bangkit lalu berjalan perlahan-lahan mendapatkan Cikgu Zakiah di hadapan. Entah apalah keputusan report card untuk kali ini.
Melihatkan jelingan tajam daripada guru kelas itu pun dah membuatkan Qowiy kecut perut. Bila difikirkan balik, Qowiy sendiri pelik. Kenapa dia perlu takut? Bukankah selama ini dia tak pernah kisah tentang pelajaran?
Buku nipis berwarna hijau itu bertukar tangan.
"Saya nak awak buka report tu depan saya. Se. Ka. Rang!" arah Cikgu Zakiah dengan suara lantang.
"Err... kalau tak buka tak boleh ke cikgu?" Qowiy bertanya, mengelat.
Cikgu Zakiah lantas menjegilkan mata tanda membangkang. Tahulah Qowiy bahawa dia tiada jalan lain selain hanya menurut.
Dia tertanya-tanya. Apa tujuan sebenar Cikgu Zakiah buat macam ini? Nak malukan dia depan satu kelas ke? Qowiy memasang prasangka.
"Termenung apa lagi tu? Cepatlah!"
Cepat-cepat Qowiy menurut. Keputusan laporan itu ditenung. Seperti biasa, tiada apa yang berubah. Dia berjaya mengekalkan prestasinya di takuk yang sama.
Qowiy mencari wajah Cikgu Zakiah di sebelah.
"Apa yang tak kena dengan result saya cikgu? Saya tengok okey je. 9 E semuanya. Cantik! Nampak seragam," tutur Qowiy dengan nada selamba. Langsung tak rasa apa-apa.
Murid-murid lain yang mendengar terlopong mulut. Sekali dengan pandangan tak percaya. 9 E? Gilalah! Ini jawab soalan pakai otak ke siku?
Cikgu Zakiah sudah bercekak pinggang. Gigi gerahamnya bertemu. Lahar amarahnya bila-bila saja boleh meletus. Anak muridnya nan seorang ini memang sering menguji kesabaran dirinya sebagai pendidik.
Namun, fikiran guru itu masih rasional. Sedar dia kini berhadapan dengan pelajar bermasalah sekolah. Jadi mahu atau tidak, untuk kali ini api kemarahan yang sedang menggelegak perlu ditahan sedaya upaya. Nafas dalam dilepaskan.
"Qowiy... sampai bila awak nak macam ini? Tak malu dengan kawan-kawan?" Kali ini nada guru itu mengendur. Suaranya juga bertukar lembut.
Qowiy menggelengkan kepala.
"Buat apa saya nak malu? Gagal itu kan sebahagian daripada proses pembelajaran."
"Saya tanya, ada awak ambil pengajaran?"
"Soon. I will," ujar Qowiy dengan yakin seraya membalas pandangan guru Bahasa Melayu itu.
Jawapan Qowiy lantas membuatkan guru perempuan itu berdecit.
"Dah terlambat untuk awak sedar. Ini result akhir tahun. Tak ada apa yang boleh diperbetulkan lagi.""Peluang untuk berjaya takkan pernah habis selagi seseorang itu berkeinginan untuk mencapainya, cikgu," cantas Qowiy.
Riak muka Cikgu Zakiah berubah. Agak terkejut mendengar balasan daripada anak muridnya.
"Saya akan buat yang terbaik untuk tahun depan. Tahun SPM. Tahun terakhir saya bergelar pelajar. I save the best for the last." Penuh yakin dan semangat kata-kata itu dilontarkan. Entah, Qowiy sendiri tidak pasti bagaimana tekad dalam dirinya wujud.
Seisi kelas bertukar sunyi. Masing-masing terpegun dengan kesungguhan kata-kata Qowiy kali ini. Jujur, tak pernah mereka lihat Qowiy seserius ini.
Cikgu Zakiah terlebih dahulu mengangkat bendera putih. Dia mengalah.
"Kalau macam itu saya pegang kata-kata awak, Qowiy. Buktikan pada saya dan kawan-kawan lain," balas Cikgu Zakiah sekali gus memberikan cabaran baru buat Qowiy.
YOU ARE READING
BAD[AR]
Teen FictionBAD[AR]: friendship | hatred | revenge | tarbiyah | BADRUL QOWIY, seorang pelajar bermasalah. Tiada istilah peraturan dalam kamus hidupnya. Disiplin? Pergi mampus. Baginya peraturan dicipta untuk dilanggar bukan untuk dipatuhi. BADRUL AMIN, pengawa...