"PARI ni Fiya nak ibu masak apa? Cakap je, nanti ibu masakkan. Kebetulan pagi tadi ibu pergi pasar, ibu beli dua ekor pari."
Lebar senyuman Lufiya apabila mendengar kata-kata ibu mentuanya, Datin Freda. Sungguh dia bersyukur apabila dikurniakan mentua yang sangat baik dan penyayang. Wanita itu tidak ubah seperti ibunya. Seorang yang lemah lembut.
"Biarlah malam ni Fiya pula yang masak. Tiga tahun jadi menantu ibu, boleh kira berapa kali Fiya masak," ujarnya tidak senang dengan layanan baik wanita itu.
Dulu sebelum kahwin dia takut dengar cerita-cerita tentang ibu mentua kejam akan terjadi pada hidupnya. Ibu mentua cerewat, ibu mentua pilih kasih, ibu mentua jahat tapi apabila menjadi menantu kepada Datin Freda, sungguh dia rasa dia wanita yang paling bertuah, disayangi seperti anak kandung sendiri.
"Tak apalah, ibu yang nak masak untuk Fiya. Hari tu Fiya dah masak untuk ibu. Ibu masak pari bakar masak asam ya."
"Okeylah, Fiya tolong ibu. Tak naklah duduk goyang kaki kat ruang tamu ni."
"Ni Fiya datang ada bawa berita gembira ke?"
Kendur senyuman Lufiya. Faham sangat maksud soalan itu. Tangannya yang digenggam buat dia memandang Datin Freda. Ini kali pertama wanita itu bertanyakan soalan ini. Mungkin Datin Freda tidak dapat menahan mulut daripada bertanya.
"Tak apalah sayang, tak ada rezeki lagi. Maafkan ibu ya sebab tanya soalan ni." Bahu Lufiya diusap beberapa kali.
Lufiya mengangguk. Dia tahu Datin Freda sangat mahukan cucu. Maklumlah Bazlan anak sulung dan hanya lelaki itu yang sudah berkahwin. Tiga lagi adik iparnya masih bujang. Jadi kalau tidak harapkan Bazlan, pada siapa lagi wanita itu mahu berharap?
"Ibu doakan Fiya ya. Doa ibu antara yang didengar Allah. Ibu Fiya dah meninggal, hanya ibu yang Fiya harapkan."
Datin Freda memeluk Lufiya saat perasan tubir mata wanita itu mula berair. Sungguh dia rasa menyesal bangkitkan soalan itu. Patutnya dia kena tahu, kalau benar Lufiya sudah mengandung pasti dia yang terawal akan tahu. "Tak pernah sekali pun ibu lupa untuk doakan Fiya. Fiya jangan putus asa ya. Baz muncul dalam hidup ibu pun selepas lima tahun ibu kahwin. Jadi ibu faham apa yang Fiya rasa. Percayalah cakap ibu, sampai masanya Allah akan dengar doa Fiya. Kita sebagai hamba Dia kena terus berdoa."
Lufiya senyum. Nasihat Datin Freda memberi semangat untuknya supaya jangan mengalah dengan keadaan. Dia tahu ramai yang berharap dan dia tidak akan menghampakan mereka. Sampai
rezeki anak itu akan datang. Dia yakin.
Mata dialihkan pada televisyen apabila ibu mentuanya bangun untuk menjawab telefon yang berdering. Teringatkan sesuatu, telefon bimbit dikeluarkan dari dalam beg. Keluhan terbit apabila melihat WhatsAppnya masih belum dibaca. Oh Bazlan!
"Siapa call ibu?" soal Lufiya ingin tahu apabila Datin Freda kembali.
"Irfan, dia minta duit RM 2000. Katanya terlanggar kereta orang."
"Ya Allah, dia okey tak?"
"Dia okey je, tapi keretalah yang kemik. Hais, dahlah kereta baru, guna tak sampai sebulan dah kena langgar."
"Sebulan?" Irfan baru menggunakan keretanya seminggu, jauh benar seminggu dengan sebulan itu.
"Haah, bulan lepas ibu belikan dia Myvi. Biar jadi semangat untuk dia habiskan pengajian dia."
Lufiya makin tidak faham. "Ibu belikan dia kereta?"
"Fiya tunggu sekejap." Datin Freda ke dapur untuk mengambil telefon yang sedang dicaj. Bila kembali telefonnya dihulurkan kepada Lufiya. "Hah ni keretanya, tengok sampai kemik bumper kereta. Bau kedai pun tak hilang lagi."
Bulat mata Lufiya melihat WhatsApp yang dihantar Irfan kepada Datin Freda. Ada beberapa keping gambar kereta. Yang pasti itu bukan keretanya. Irfan sudah ada kereta sendiri, jadi kenapa lelaki itu mahukan keretanya? Ke lelaki itu pakai dua kereta?
"Fiya, kenapa ni okey tak? Oh lupa ibu nak tanya, kenapa Fiya datang sini naik teksi? Kereta Fiya mana?"
Air liur yang ditelan terasa kelat. Apa semua ini?

YOU ARE READING
DIA TIADA DUA
Romance"Kenapa abang sanggup buat saya macam ni? Kenapa abang tipu saya? Abang tak sayang saya, ke?" Teresak-esak Lufiya menangis dalam keadaan duduk. Tidak dihiraukan belakangnya yang sakit akibat terlanggar dinding. "Sayang, abang tak ada niat nak tipu...