Noh Daniel&Nur Nadia:Part 4

431 27 0
                                    


Part 4

"Pak cik awak tak benarkan kita kahwin." Ujar Noh Daniel dalam talian. Nadia sudah tahu, semalam lagi dia sudah terima caci maki dari pak ciknya. Nadia memejam mata, air mata mengalir laju.

"Kita tak perlu izin mereka, saya 22 tahun. Saya setuju berkahwin dengan Encik Noh." Nadia memberikan kata putus. Noh Daniel dihujung talian terangguk sendiri.

"Kalau itu yang awak cakap dan putuskan. Saya terima. Nanti saya uruskan semuanya dengan mama dan papa. Nadia, awak jangan terlalu fikirkan. Jaga kesihatan awak." Kedengaran terlalu halus, sehalusnya kata-kata itu sehingga menyusup lembut ke dalam hati Nur Nadia. Pertama kali, pertama kalinya ada insan yang bimbang akan dirinya.

"Terima kasih Encik Noh." Nadia begitu menghargai kesudian Noh Daniel menerima dia dalam masa singkat dan sanggup bersusah payah untuk menyelamatkan maruah mereka berdua. Maruah Nur Nadia lebihnya.

"Untuk?" Noh Daniel menyoal.

"Apa sahaja yang telah Encik lakukan demi saya."

"Untuk saya juga Nadia." Noh Daniel membalas.

"Ya saya tahu."

"Masih ada banyak yang awak belum tahu."

"Apa?"

"Satu hari nanti awak akan tahu." Balas Noh Daniel, sekadar meninggalkan tanda tanya. Nadia membiarkan sahaja. Lagi disoal nanti lagi banyak dalihnya. Encik Noh Daniel, tidak sinis seperti selalu tapi penuh misteri.

Nur Nadia tekad. Kali ini demi masa depannya, dia perlu bertegas. Biarlah digelar kacang lupakan kulit atau lupa daratan, maruah dirinya, nama baik ibu dan ayah perlu dijaga. Nombor pak cik di dail.

"Haa kau nak apa lagi?" Jerkah pak cik sebaik sahaja talian bersambung.

"Saya akan bernikah hujung minggu ni." Ujar Nadia senafas, jemarinya digenggam erat.

"Kau memang tak guna. Tak kenang budi! kau nak nikah kau pergilah, aku tak halal satu pun yang kau telan selama aku kutip kau! Bodoh!" Talian terus diputus. Nadia memejam mata rapat-rapat, menelan semuanya biar kelak semua itu hanya menjadi satu igauan buruk semata.

Tiga hari selepas semuanya diuruskan. Tibalah hari yang dinantikan penuh debaran. Majlis pernikahan Noh Daniel dan Nur Nadia. Tiada seorang kawan pun yang diberitahu termasuklah Mashitah. Itu permintaan Noh Daniel. Katanya terlalu awal, ini adalah antara rancangan untuk menangkap pemerangkap mereka berdua. Nadia hanya turutkan, asalkan kelak maruahnya terselamat.

Nur Nadia membelek wajahnya yang telah siap disolek. Seakan tidak percaya dia boleh secantik itu. Kali pertama dia mengenakan solekan. Selama ini hanya menggunakan bedak bayi sahaja, bibir tak pernah dioleskan dengan apa-apa. Nur Nadia budak kampung yang tidak tahu apa-apa. Kalau tahu pun, dia tidak mampu membeli walaupun harga pelembap bibir tidak sampai sepuluh ringgit. Dia lebih rela membeli makanan yang lebih mengenyangkan!

"Aku terima nikahnya Nur Nadia Binti Abdul Wahab dengan mas kahwinnya RM22.50 tunai." Dengan hanya sekali lafaz, Nur Nadia menjadi isteri yang sah kepada Noh Daniel, lelaki yang sering menyakitkan hati dia dan lelaki kedua selepas pak cik yang pernah membuatkan dia menitiskan air mata. Hari ini air matanya menitis lagi, entah air mata kesedihan atau pun gembira. Kalau gembira untuk apa? Walaupun Noh Daniel bersikap baik dengan dia belakangan ini tetapi itu bukan bermakna dia sudah jatuh cinta.

"Nadia dah makan?" Soal Datin Nurlia apabila melihat Nadia hanya tercegat di meja dapur dengan masih dalam persalinan nikah. Nadia menggeleng kepala. Datin Nurlia mengeluh perlahan dengan senyuman.

"Nadia kenapa tak makan? Danny mana?" Soal Datin Nurlia.

"Borak dengan saudara mara rasanya." Ujar Nadia sambil tangan menunjuk ke arah taman di luar rumah.

"Ambil pinggan, isi nasi dan lauk. Makan dekat sini." Arah Datin Nurlia. Nadia tidak membalas, hanya bergerak mengambil pinggan dan terus ke bahagian bufet. Mama hanya mampu tersenyum. Nadia, terlalu naif.

Baru beberapa suap, Noh Daniel menghampiri dia yang berada di dapur. Noh Daniel mengambil beberapa ketul isi ayam goreng dari pinggan Nadia terus ke mulutnya.

"Kenapa makan tak tunggu saya?" Soal Noh Daniel. Nur Nadia tersedak, mujur tidak tersembur. Air yang dihulurkan Noh Daniel terus diteguk. Datang tak bagi salam!

"Eh, saya tanya tu je dah tersedak?" Nadia hanya menggeleng dan terus menyuap makanan. Kepala masih berputar mencari topik untuk berbual. Terasa begitu janggal bila hanya berdua dengan Noh Daniel, lagi-lagi selepas sah menjadi isteri kepadanya.

"Nadia?" Panggil Noh Daniel, melihat Nur Nadia hanya membatu. Nadia memandang Noh Daniel di depannya.

"Ya?" Noh Daniel berkerut, kena sampuk ke bini aku ni?

"Saya tanya, kenapa tak tunggu saya makan sama?"

"Mama suruh saya makan dulu, Encik seronok sangat berborak tadi, malas nak kacau. Saya pun dah lapar sangat." Nadia menjawab dengan jujur. Noh Daniel tersenyum.

"Encik? Dah jadi suami awak Encik ni Nadia." Ujar Noh Daniel. Nadia memandang sekilas. Kunyahannya terhenti seketika.

"Tak boleh ke?" Jujur sahaja Nadia membalas.

"Boleh. Tapi masa di kuliah or depan kawan-kawan awak dan saya. Dekat rumah tak perlu saya rasa. Nanti mama dan papa kata apa pula." Noh Daniel membalas.

"Okay." Balas Nur Nadia dan kembali menyuap makanan. Noh Daniel menarik kerusi dan duduk menghadap Nadia. Pinggan Nadia ditarik sedikit ke arahnya, kemudian turut makan makanan yang sama. Nadia kaget.

"Sunnah." Ujar Noh Daniel apabila perasan isterinya itu sedang memerhati tingkahnya penuh kehairanan dan terkejut.

"Saya tambahkan nasi dan lauk." Nadia yang sudah merah muka, bangun menambah. Noh Daniel tersenyum, Nadia memang begitu sikapnya. Selagi dia boleh turutkan, dia hanya buat tanpa soal. Sekembali Nadia ke meja, mereka menyambung makan. Mama dan papa yang memerhati tersenyum lebar. Kiranya Noh Daniel sudah menemui pengganti, Nur Nadia sudah temui perisai yang akan sentiasa melindungi. Selepas ini, mereka hanya perlu mencari siapakah dalang yang memerangkap mereka dan mengembalikan semula maruah mereka yang kini hanya tergantung entah pada siapa.

"Lepas ni, saya akan duduk kolej macam biasakan?" Ujar Nadia, air dihulurkan kepada suaminya.

"Yup. Tapi weekend balik rumah kita." Noh Daniel membalas. Nadia berkerut.

"Rumah kita?"

"Rumah saya, rumah dekat dengan Universiti. Sekarang rumah tu jadi rumah saya dengan Nadia la. Rumah kita." Terang Noh Daniel. Nadia mengangguk faham.

"Rajin-rajinlah balik sini. Mama bosan sorang-sorang." Datin Nurlia yang baru masuk ke dapur mencelah. Nadia hanya tersenyum.

"Mama suruhlah anak dara mama tu tinggal sini. Kenapa nak menyewa rumah lain? Bukan jauh sangat pun." Ujar Noh Daniel. Datin Nurlia mencebik.

"Mama yang suruh Nuha sewa rumah asing. Tak lama lagi dia dah nak kahwin, mama nak train dia jadi isteri yang terbaik buat suami dia. Kalau dekat sini, malas!" Datin Nurlia bercerita penuh semangat. Nuha Dania, adik Noh Daniel. Kecil molek dan ramah. Baru semalam Nadia berkenalan dengannya.

"Mana ada Nuha malas? Mama yang halau Nuha." Nuha yang berada di luar dapur menyampuk apabila namanya disebut-sebut. Datin Nurlia tersengih.

"Adik memang malas, bangun lambat. Manja. Cengeng." Noh Daniel menambah-nambah. Nuha geram!

"Kak Nadia, tengok suami akak tu. Eii!" Nuha mengadu. Nadia hanya ketawa. Belum biasa dengan keluarga itu untuk dia mencelah apa-apa. Mereka tak pernah buat dirinya terasa asing dalam keluarga. Mereka terlalu baik sehinggakan Nadia sangat merasa diterima, disayangi. Perasaan yang tidak pernah dirasakan selepas ibu dan ayah tiada. Allah itu Maha Penyayang. Walaupun hubungan itu dihubungkan dengan satu peristiwa hitam, akan tetapi kini hatinya rasa berbunga. Rasa tenang dan bahagia. "Maka, nikmat Tuhanmu yang mana yang kau dustakan?" 

N & NWhere stories live. Discover now