Bab 4

22 1 0
                                    

"PUISI bukan tentang apa yang ingin anda katakan tetapi tentang bagaimana ia disampaikan."

Aira di barisan belakang tekun mencatat nota dan tip-tip yang dikongsi pemuisi terkenal Indonesia, Pak Agus. Ini merupakan bengkel pertama yang diadakan selepas acara pembukaan tadi. Acara pembukaan yang berlangsung selama satu jam selepas sarapan tadi bukanlah ada apa sangat. Sekadar menyambut kedatangan delegasi dari empat buah negara yang dikumpulkan di bawah satu bumbung untuk satu bengkel penulisan puisi.

Dalam acara itu, semua peserta memperkenalkan diri dan memberitahu sedikit sebanyak tentang penglibatan mereka dalam dunia puisi. Rata-rata kebanyakan mereka begitu giat dalam dunia puisi. Dari Brunei, ada dua orang peserta. Seorang lelaki dan seorang wanita. Kedua-duanya merupakan pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kalau dari Malaysia pula ada empat orang peserta, kesemuanya perempuan dalam lingkungan 20-an dan 30-an dan sudah pun menerbitkan buku puisi. Kalau dari Indonesia... oh jangan la cakap. Ada sepuluh orang peserta lelaki dan wanita. Kesemuanya hebat-hebat belaka. Ada yang baru berumur dua puluh tahun tapi dah menerbitkan koleksi puisi. Adi Setiadi Gunawan yang berusia dua puluh empat tahun sudah pun menerbitkan tiga buah buku dan beraksi dalam beberapa acara deklamasi. Padahal karier Adi sebenarnya seorang jurugambar, tak ada kena-mengena dengan tulisan pun!

Faisal Syahindra Saputra pula tak kurang hebatnya, ada kafe sendiri di Bandung yang menganjurkan deklamasi puisi setiap hujung minggu. Baru berusia dua puluh lima tahun dan sudah menerbitkan sepuluh buah buku. Puisinya selalu keluar di akhbar juga. Hebat! Aduh! Aira tepuk pipi sendiri. Dah kenapa puji Faisal lebih-lebih ni Aira oi!

"Kenapa, Aira?" bisik Faisal rendah. Dia memandang Aira di sisi dengan pandangan pelik. Hairan kenapa Aira berkelakuan begitu.

"Tak!" Laju Aira menggeleng macam nak tercabut leher. "Tak ada apa-apa." Lupa pula Aira yang Faisal sedang duduk di atas kerusi bersebelahan dengannya. Sepatutnya Aira duduk di barisan hadapan, bersama Hafiz dan Hidayat. Tapi tadi Aira pergi ke tandas dahulu sebelum bengkel bermula. Apabila Aira masuk dalam bilik seminar ni, tempat Aira sudah dikebas Adi. Setiap barisan cuma ada tiga kerusi sahaja. Jadi nak tak nak terpaksa la Aira duduk di barisan belakang. Tahu-tahu aje Faisal pun masuk ke dalam bilik seminar, terus sahaja melabuh duduk di sebelah Aira. Tak tanya pun sama ada kerusi tu dah ada orang cup ke tidak.

"Kamu okey?" bisik Faisal lagi, prihatin.

"Ya." Sepatah sahaja Aira membalas. Entah kenapa Aira rasakan suaranya bernada defensif tika itu.

Faisal renung Aira dalam-dalam. "Sungguh?"

Aira jadi gelabah sendiri apabila Faisal tenung dia macam tu. "Ya, sungguh. Saya okey." Aira kembali fokus pandangan ke hadapan, mendengar kuliah Pak Agus.

"Puisi itu suatu komunikasi. Ada bedanya antara puisi yang ditulis untuk seni dengan puisi yang ditulis untuk orang awam."

Mendengarkan kata-kata Pak Agus, Aira segera mencapai pena yang diletak tepi tadi untuk mengambil catatan lagi. Ketika dia menggerakkan buku notanya, Aira terpandang secebis kertas putih yang terselit di bawah buku notanya.

Senyum Aira

Karena senyuman kamu bisa mencairkan hati semua orang J

Ek??? Ni mesti kerja Faisal ni! Masa bila pulak dia letak bawah buku aku? Aira menoleh pada Faisal di sebelah. Faisal langsung tak melihat ke arahnya. Riak wajah Faisal kelihatan begitu serius, seperti sedang tekun sekali mendengar pencerahan daripada Pak Agus.

Aira mencebik sedikit. Dia kembali tunduk memandang cebisan kertas tersebut dan membacanya sekali lagi. Tanpa dapat ditahan, cebikan Aira hilang. Lambat-lambat diganti pula dengan senyuman.

Puisi Untuk AiraWhere stories live. Discover now