Tegur

14 0 0
                                    

"Please take patient's history. Then, you will know."

Dr. Chiew mengarahkan Louis untuk mengambil sejarah pesakit secara terperinci.

Di hadapan kami, sekeping filem X-ray jenis Orthopantomagram (OPG) dilekapkan pada pemancar. Lazimnya, OPG akan diambil sebelum sesuatu prosedur pembedahan gigi bongsu.

Namun, terkadang kami akan menemui sesuatu seperti hari ini. Kelihatan empat objek tirus terletak betul-betul pada setiap rahang.

Rahang atas kanan dan kiri.

Rahang bawah kiri kanan.

'Susuk!'- Zalikha bermonolog.

Ezzaty mencuit-cuit pinggul Zalikha. Berbisik-bisik.

"Ika, tu susuk kan. Takkan lah brooch tudung sampai sudut! Kan kan."

Zalikha membatukan diri.

Hasrat menyuarakan pendapat bukan pada hal-hal begini.

Cuitan Ezzaty dibalas sikuan kiri Zalikha.

"Shhh. Mulut kau!"

Louis pula sedang asyik mengambil perincian sejarah pesakit. Perincian sejarah kesakitan gigi geraham bongsu kiri dicatatkan satu persatu.

Sesekali, soalan yang tertinggal atau terlupa, disampuk Dr. Chiew.

"Louis, don't forget regarding the opacities."

Louis angguk. Mengiyakan.

"Puan, boleh saya tumpang tanya. Puan ada pasang sesuatu di rahang ke?"

Pesakit berumur lingkungan lewat 30-an memusing kiri kanan. Harapannya agar tiada sesiapa mendengar.

Baginya cukup hanya dia dan Dr. Louis. Dan ...

Lantas, dia mengangguk.

Suasana sepi. Prosedur pembedahan dijalankan.

Mulut pesakit sempat berkumat-kamit, sebelum meludah tiga kali ke dalam ruangan meludah di sisi kerusi pergigian.

"Ok. Sekarang Dr. boleh mula."

----

Zalikha sejak tadi belum berpaling. Matanya melirik tajam. Pesakit tadi bukan seorang.

Jika rakan-rakannya yang lain sibuk mengamati gambaran aneh dalam filem X-ray tadi, dia berada dalam dimensi berbeza.

Ketika rakan-rakannya sibuk memerhati gelagat Louis mengeluarkan gigi geraham bongsu. Dia pula memerhati pada dua sudut pandang berbeza.

Ilmu sains- dia sedang belajar cara-cara melakukan pembedahan pergigian yang efektif dan berkesan.

Sudut mistik- hijabnya yang diperoleh sejak kecil merimaskan dirinya.

Lembaga hitam bermata kelabu leka menginjak-nginjak di atas dada tuannya. Sesekali mulut lembaga tadi mengucup mulut tuannya.

Jijik. Namun, hanya Zalikha menyaksikan tindak dan gerak lembaga tadi.

Kemudian, lembaga tadi mencangkung di atas paha tuannya. Menyeringai dan menjerit sesuatu.

Bingit dan nyaring. Namun, tiada sesiapa sedar.

Tuan meludah tiga kali ke arah kiri. Lembaga tadi bangkit- melurut turun, berdiri betul-betul sebelah Louis.

Sesekali Louis tersiku lembaga tersebut. Louis berkerut-kerut. Mungkin gatal atau tidak selesa?

Zalikha sendiri tidak pasti.

Tidak semena-mena, lembaga tersebut perasan akan jelingan Zalikha. Lembaga hitam tersebut menjegilkan mata- seolah memberi amaran, mungkin merasai kehadirannya mulai terancam.

Zalikha mulai membisikkan beberapa kalimah.

Lembaga tadi hilang-timbul. Sekejap berdiri. Sekejap tunduk. Sesekali berteleku. Masih setia di sebelah Louis.

"Aku rasakan makcik ni baik takyah pakai susuk kan, macam takda kesan je kat muka dia!" Ezzaty membisik di telinga Zalikha.

Zalikha sekali lagi menyiku.

"Mulut kau tu kan."

"Hehe. Sorry-sorry."

Prosedur pembedahan gigi bongsu telah selesai. Lembaga tadi pun telah hilang.

Kini, hanya Louis sedang asyik menerangkan tentang cara-cara penjagaan sepatutnya untuk memelihara kawasan pembedahan.

Pesakit akur. Senyum. Sesekali melirikkan pandangan pada Zalikha dan Ezzaty.

----

Pesakit mula bangun meninggalkan kerusi pergigian. Tangan kanan diletakkan di bahu dada kiri tanda terima kasih.

Pesakit beredar menuju ke pintu utama. Pandangannya ditundukkan sehinggalah lokasinya betul-betul di tepi Ezzaty dan Zalikha.

Langkahannya dihentikan sebelum berpaling ke arah Ezzaty.

"Dr. Satu je saya nak pesan, susuk ni bukan hanya untuk cantik sahaja ye."

Pesakit tersenyum. Kemudian, berlalu meninggalkan ruang menunggu.

Ezzaty kaget. Zalikha bergegas menuju ke arah nota pesakit.

Tertera di ruangan pekerjaan pesakit.

'TUKANG URUT TRADISIONAL'

SenyumanPerantau SP

Tinta Mistik Tabib GigiKde žijí příběhy. Začni objevovat