Keliru

4 0 0
                                    


Menjadi seorang pegawai pergigian, ada kalanya tugasan tak terhad kepada ruang lingkup pergigian sahaja.

Ada masa, terpaksa bergaul dan berkomunikasi dengan anggota kesihatan lain.

Ini banyak dipelajari oleh Zalikha ketika berada di hospital.

Contohnya, apabila dia ditempatkan di bahagian Jabatan Bedah Mulut dan Maksilofasial, dia berjiran dengan jabatan-jabatan kesihatan mulut yang lain.

Antaranya Dr Devi, pakar ENT. Sesekali sempat juga menguntum senyuman jika ada kes perlu dirujuk.

Kalau jauh sedikit, ada beberapa staf klinik pakar ibu mengandung dikenalinya. Pernah juga sesekali, akan keluar makan tengah hari bersama memandangkan rakan serumah Zalikha juga merupakan jururawat di sini.

Dan paling dikenali di sini, Matron Dewi. Zalikha berkenalan dengan Matron Dewi ketika sedang solat di surau selepas tugasan oncall pertamanya.

Sedang Zalikha bersolat sendirian, kehadiran Matron Dewi sebagai makmum masbuq merupakan titik perkenalan mereka.

Bermula detik perkenalan pukul 3 pagi, mengeratkan ukhuwah perkenalan mereka.

Menarik bagi Zalikha, perkenalan ini seakan menjadi tonik pembakar semangat Zalikha untuk menjalankan tugasan oncall.

Gerak-geri Matron Dewi seumpama emak-emak, sentiasa menyuntik kembali Zalikha.

Kalau dulunya, dia paling tidak menyukai tugasan oncall, kini berbeza. Setiap panggilan lewat malam, pasti dia akan hadir tanpa banyak bicara.

Sehinggakan jika rakannya tidak dapat melakukan tugasan oncall, pasti dia akan merelakan dirinya sebagai ganti.

Ye. Pertama sebab claim elaun.

Kedua, dia sukakan sesi bersembang dengan Matron Dewi.

----

Malam itu, kes oncall berderet-berderet dikurniakan kepadanya.

Mengeluh sedikit kerana penat. Namun, amanah dijalankan sebaik mungkin.

Tugasan demi tugasan berturut-turut dilaksanakan.

"Kau ni macam aktif call dah," usik Dr. Haida, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan.

Zalikha sekadar tersenyum. Mengelipkan mata tanda setuju.

Begitulah jika ingin menunjukkan eksperesi wajah jika mengenakan pelitup muka.

Alhamdulillah selesai.

Kes terakhir telah selesai tepat pukul 3 pagi.

----

Zalikha melangkah keluar dari Jabatan Kecemasan.

"Eh, Dr. Zalikha. Oncall ke. Nak balik dah?"

Zalikha berpaling. Jelas kelihatan Matron Dewi sedang duduk di atas bangku berhadapan ruangan menunggu.

"Ye Matron. Baru je habis ni. Tapi rasanya nak pergi McD kejap. Lapar pula, tak makan lagi," balas Zalikha.

"Tak payahla, jom makan dengan saya. Saya ada bawa bekal lebih ni."

Mangkuk tiga tingkat diangkat dan disuakan tanda mempelawa.

"Eh, tak payahla matron. Susah-susah je."

"Kalau tak sudi, nak buat macam mana kan."

Rajuk Matron Dewi menyukarkan Zalikha untuk menolak pelawaannya.

Zalikha akur dan tewas kali ini.

"Baikla matron. Tapi kali ni je ye, lain kali giliran saya pula belanja."

Matron Dewi tersenyum.

"Jom makan dekat office matron."

----

Zalikha membuntuti Matron Dewi.

Walaupun beberapa kali bersembang dengan Matron Dewi, dia tak pernah tahu tempatnya bertugas.

Langkah demi langkah, Matron Dewi berhenti di hadapan makmal.

"Oh, saya rasanya kita makan di sini sahajalah. Selesa pun selesa," Matron Dewi menunjukkan ke arah meja kayu di hadapan makmal.

Kawasan itu memang sedikit gelap memandangkan makmal itu berkunci dan hanya digunakan apabila ada kes oncall sahaja.

Satu persatu tingkat makanan dibuka.

Nasi putih.

Masak lemak ketam.

Kerabu mangga.

Semuanya serba serbi lengkap.

"Jemput makan Dr. Zalikha."

"Eh, matron makan sekali. Takkan saya sorang je."

"Takpa, saya memang suka tengok anak-anak saya makan," ujar Matron Dewi, senyuman dikuntumkan manis.

"Seganlah saya."

"Awak makanlah ye. Saya tengok."

Nak tak nak, Zalikha akur.

Suapan pertama menghanyutkan kewarasan akalnya. Manisnya ketam ni.

Sedap!

Suapan kedua pula terus membawa deria rasa Zalikha pada tahap seterusnya. Rangup kerabu mangga bersatu dengan kelapa parut cukup mengujakan.

Belum sempat Zalikha beralih pada suapan ketiga, Matron Dewi menegur.

"Makan hati-hati ye nak, saya nak pergi beli air sebentar."

"Baik-baik."

Zalikha tersipu-sipu. Mungkin terlalu lapar sehingga lupa sopan santun.

Belum sempat suapan ketiga, Zalikha teringat sesuatu.

'Eh, aku lupa baca doa la!'

Bismillahi Awwaluhu Wa Akhiruhu.

Usai bacaan tadi selesai, Zalikha melompat dari bangku.

Pinggannya dibuang sgera ke bawah.

Masak lemak ketam berubah warna menjadi merah pekat.

Butiran nasi bertukar melekit-lekit kehitaman.

Kerabu mangga meliang-liuk, hidup. Ada bewarna hitam, ada juga bewarna cerah. Cacing!

Tekak Zalikha geli-geleman.

Tandas awam perempuan dituju sebelum menghamburkan sisa suapan tadi.

Muntah Zalikha penuh mengisi sinki tandas.

Zalikha automatik pening dan meloya.

Dia sedar dia telah 'terkena' kali ini.

Ini kekurangan mata terhijab seperti dia.

Kadangkala sukar mengenalpasti betul-betul manusia atau...

Makhluk lain yang menyinggah ketika dia leka.

Peluh di dahi diseka. Zalikha perlahan-perlahan meninggalkan tandas.

Kelihatan Matron Dewi tersengih lebar di penghujung tandas memerhatikan.

"Inilah pejabat saya Dr. Hahahaha."

Hilai tawa memecahkan hening ruang depan makmal.

Zalikha seram sejuk. Lututnya lemah terpasak di tanah.

Tangan 'Matron Dewi' dilambai-lambai ke arah Zalikha.

Dengan saki baki tenaga, Zalikha berlari turun menuju ke parkir.

Zalikha penat.

Hampeh punya Matron Dewi!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 27, 2021 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Tinta Mistik Tabib GigiWhere stories live. Discover now