Shift Tengah Malam, Pergaduhan Kaum dan Gadis Berseluar Legging

27 0 0
                                    


Ruang dalam kedai itu hanya diisi oleh tiga orang. Dua orang pelanggan dan seorang penjaga kaunter. Aku berlalu terus ke bahagian pekerja, meletak beg dan menyarung pakaian kerja 7 eleven. Sebelum aku masuk ke ruang pekerja, Amalin sudah marah kata yang aku terlambat dan membebel entah apa lagi yang aku tidak dengar. Yang aku dengar hanya "aku dah check in nama kau tadi," dan itu bermaksud tiada masalah untuk aku.

Amalin masih lagi membebel ketika aku keluar daripada ruang pekerja dengan membawa beberapa bungkus makanan yang perlu diisi di rak. Ruang kedai sudah kosong kecuali kami berdua.

"...kalau esok kau buat macam ni jugak, aku bagitau Kak Farah," aku tak mengendahkannya dan terus pura pura sibuk mengisi ruang kosong antara paket paket makanan ringan yang dijual hampir sepuluh ringgit sebungkus. Aku pun tidak tahu siapa yang membeli makanan ringan ini.

Selepas itu aku menapak perlahan ke rak roti untuk menyemak tarikh luput. Roti yang telah tamat tarikh luput perlu aku kumpulkan dan letak di dalam stor atau ruang pekerja. Suara Amalin sudah hilang diganti dengan bunyi pendingin hawa dan chiller minuman. Hawa sejuk terus menangkap kulitku.

Jam 11.30 malam. Aku tahu sebentar lagi akan ada dua pelanggan yang datang. Seorang apek Cina bersinglet dan seluar pendek akan datang untuk membeli arak jenama Tiger dan seorang lagi adalah abang driver lori yang akan beli rokok Kent Futura.

Aku ke kaunter untuk semak mesin mana yang didaftar dengan nama aku. Semak jumlah duit dalam mesin, pastikan ia tidak lebih 50 ringgit dan selebihnya aku masukkan ke dalam peti besi di bawah kaunter.

Jam tangan aku jeling dan ia menunjukkan waktu 11:43. Sepatutnya waktu waktu sekarang perempuan itu sudah datang ke sini untuk membeli sesuatu. Gadis berpunggung mantap dengan seluar legging (atau sweat pants) ketat yang baru pulang dari tempat kerjanya. Mungkin hari ini dia penat dan terus pulang ke rumah selepas naik bas. Atau mungkin dia sudah datang sebelum aku tiba.

Tiada apa yang perlu dilakukan untuk masa ini, jadi aku kembali ke ruang pekerja. Mungkin bebelan Amalin boleh menghiburkan aku.

"Hari ni stok sampai," kata Amalin sebaik aku melangkah masuk ke dalam. Kemudian dia membebel perkara perkara berkenaan kerja kerja yang perlu kami bereskan malam itu yang sebenarnya aku sudah cukup hafal.

Nampaknya bebelan Amalin tak boleh menghiburkan aku. Aku tak boleh dengar sesiapa pun berbebel sekarang. Selepas puas membebel, dia membelek telefon dan mula facetime dengan teman lelakinya. Amalin kemudian sambung membebel berkenaan harinya kepada teman lelakinya. Ada juga aku dengar namaku disebut tapi aku buat tidak endah.

Tidak lama selepas itu loceng berbunyi dan seseorang masuk ke dalam kedai. Aku harapkan perempuan berpunggung mantap dengan seluar legging yang masuk, tetapi dari monitor cctv, aku perhatikan lelaki cina bersinglet yang masuk. Amalin yang sedang facetime teman lelakinya buat tak tau. Baik aku melangkah keluar sebelum aku terpaksa menghabiskan sepanjang malam dengan bebelannya. Lelaki cina itu di depan chiller arak sewaktu aku keluar.

Melangkah di belakang lelaki itu untuk ke kaunter, aku perasan yang di belakang bahu kanannya tercacah tatu Guns N' Roses. Selepas membayar di kaunter, dia berlalu pergi bersama bau masam arak pada badannya. Entah botol ke berapa dia habiskan malam ini.

Bunyi loceng dan geseran daun pintu bergema dalam kepala aku.

Belum sempat aku bergerak daripada kaunter, loceng berbunyi sekali lagi. Abang pemandu lori itu sudah datang. Dia beli rokok Kent Futura macam biasa dan berlalu pergi.

Selepas dia berlalu meninggalkan gema loceng pintu dan bunyi pendingin hawa yang menguasai seluruh kedai, aku merenung ke arah rak rokok. Kotak rokok Marlboro Light berwarna merah dan putih itu capai dan masukkan dalam kocek. Nota minda kubuat dalam kepala supaya membayar harganya sebelum tamat shift.

Cerita Saya dan Gadis GadisWhere stories live. Discover now