Dunia Dalam Botol Kaca

14 0 0
                                    


Assalamualaikum saudara,

Pertama sekali saya ingin berterima kasih kepada saudara kerana memungut botol kaca yang saudara jumpa di tepi pantai atau tengah laut ini. Sama ada kerana saudara seorang yang menjaga kelestarian alam dan memungut sampah di persisiran pantai, saudara seorang nelayan yang menjala ikan dan secara tidak sengaja terjala botol kaca ini bersama atau mungkin saudara seorang yang sukakan pengembaraan dan percaya kepada cerita cerita drama dan movie di kaca tv berkenaan surat yang terdapat dalam sebiji botol kaca.

Saya sebenarnya takut juga, jika orang hanya mengambil botol kaca itu dan membuangnya ke tong sampah atau pusat pelupusan. Bukan apa, orang kita sekarang selalu dimomokkan dengan cerita jin di dalam botol dan barangsiapa yang membuka botol atau membawa pulang botol itu akan membawa pulang sekali jin itu bersama. Jin yang punya kebarangkalian yang tinggi untuk mengganggu hidup kita manusia.

Maaf saudara kalau saya tertuduh saudara tanpa sebarang asas. Ternyata saudara seorang yang penuh rasa ingin tahu sehingga membuka dan membaca surat di dalam botol kaca ini.

Tahukah saudara, saya sebenarnya telah berjumpa dengan hujung dunia. Dunia yang kita duduki sekarang ini sebenarnya bukanlah bulat seperti yang sains beritahu. Tidak pula ia datar merata seperti para bodoh sombong tidak mengaji canangkan. Sebenarnya dunia kita ini hanya seluas sebiji botol kaca.

Tentu saudara memikirkan untuk berhenti membaca cerita karut ini, bukan? Sabar saudara, dengar penjelasan saya dahulu.

Dan sebagai mukadimah untuk penjelasan saya ini, biarlah saya ceritakan dahulu berkenaan seorang gadis bernama Tini yang menjadi asbab utama bagaimana saya boleh berjumpa dengan hujung dunia dan menyimpulkan bahawa dunia ini hanya seluas sebiji botol kaca.

Tini adalah gadis biasa dengan wajah yang tidak terlalu cantik dan tidak pula hodohnya. Tapi di sebalik wajahnya yang biasa biasa itu, ada serinya yang boleh memikat orang, apatah lagi senyumnya yang cukup manis itu.

Tapi untuk peroleh senyum yang cukup manis itu adalah amat sukar. Dia punya masalah depresi yang serius. Jika boleh berterus terang, Tini sebenarnya bukanlah calang calang gadis, saudara. Dia seorang anak gadis kepada seorang ahli politik terkenal dalam negara. Dengan latar belakangnya sebagai anak gadis tunggal ahli politik, sewajarnya dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk tersenyum selalu dengan duit dan populariti yang boleh dia tumpang daripada bapanya.

Namun tidak begitu, Tini seorang gadis yang punya masalah depresi yang cukup parah dan kemurungan yang cukup membimbangkan. Belum lagi diambil kira kecenderungannya untuk mencederakan diri sendiri dan idea untuk membunuh diri yang selalu ada dalam tempurung kepalanya.

Perjumpaan dan perkenalan saya dengan Tini juga bukanlah perkara yang saya rancang. Ketika itu, saya sedang ke tingkat teratas bangunan kerja saya yang mempunyai 45 tingkat. Saya memang selalu menghabiskan masa di situ antara selang kerja saya untuk curi curi merokok.

Alangkah terkejutnya saya apabila saya tiba di atas, saya terlihat wajah seorang yang satu negara pun kenal, anak kepada ahli politik terkemuka di negara. Tidak mungkin gadis daripada keluarga kaya seperti ini naik ke tingkat teratas semata mata mahu mencuri tulang dan menghisap rokok.

Jadi dengan rokok yang terkepit di bibir yang telah saya nyalakan, saya berjalan ke arahnya yang sedang berdiri di ambang bangunan. Hanya selangkah daripada kematian.

Dia tidak berkalih menghadap saya walau dengan bau rokok yang cukup pekat itu ketika saya tiba di sisinya. Saya tanyakan kepadanya; "ingin bunuh diri?"

Tanpa memandang walau sekilas kepada saya, dia menganggukkan kepala. Saya sebenarnya sudah mula cuak ketika itu kerana kalau dia terjun, besar kemungkinan saya akan dituduh membunuh anak seorang ahli politik.

Cerita Saya dan Gadis GadisOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz