Kelah Irama (Kadir)

13 0 0
                                    

Ketika Kadir hilang, tiada siapa yang peduli. Termasuk ibu bapa kandungnya sendiri. Kehilangannya pun hanya disedari selepas seminggu dia menghilang. Itu pun gara-gara tiada update terbaru dalam semua akaun media sosialnya selama tujuh hari ini.

Ibu bapanya bukanlah tidak peduli, tetapi mereka sudah masak dengan perangai anak bujang mereka itu. Ini bukan kali pertama Kadir hilang tanpa pengetahuan sesiapa. Malah, kehilangan Kadir yang tanpa khabar ini boleh dikatakan sebagai rutin tahunan. Saban tahun, dia akan menghilang daripada radar semua orang. Kadang sekali dalam setahun, kadang lebih.

Jadi apabila sampai berita daripada kawan-kawan Kadir bahawa lelaki itu hilang tanpa jejak, ibu bapanya hanya menggelengkan kepala sambil memberitahu kepada kawan-kawannya supaya jangan risau.

"Tak lama lagi baliklah budak itu." Kata ibu Kadir.

Tiada sesiapa yang tahu atau pernah tahu ke mana hilangnya Kadir selama ini kecuali Rama. Itupun kerana dia secara senyap-senyap mengikuti Kadir menaiki bas pada hari dia mula hilang daripada pengetahuan orang.

Dan ketika Kadir turun daripada bas, Rama ikut turun seperti tiada apa yang terjadi. Seterusnya Kadir ke tujuan utamanya untuk hilang daripada pengetahuan orang lain. Gymnasium. Kadir pergi ke sebuah pusat gymnasium di pinggir kota yang jarang diketahui orang. Ahlinya juga hanya ada beberapa orang.

Selepas Kadir menerobos masuk ke dalam pusat gymnasium itu, Rama berhenti mengekor. Sebaliknya hanya duduk menunggu Kadir keluar kembali.

Di dalam, Kadir disambut baik oleh kawan-kawan ahli kelabnya. Semuanya sedang berlatih dan bersenam. Kadir ikut bersenam. Bermula dengan mengangkat pelbagai jenis berat untuk pelbagai bahagian otot, dan diakhiri dengan cardio di treadmill.

Tiada sesiapa yang tahu mengapa Kadir hilang semata-mata untuk pergi bersenam di pusat gymnasium hujung kota yang terpencil. Peralatannya tidak lengkap seperti yang berada di tengah kota. Ahlinya hanya orang-orang biasa yang mempelajari kebanyakan teknik daripada internet. Malahan tempatnya juga bukanlah dikira mempunyai pemandangan yang menyegarkan mata.

Tiada siapa yang tahu kecuali Rama. Rama tahu mengapa Kadir sanggup menghilangkan diri daripada pengetahuan orang lain semata-mata untuk sampai ke sini.

Kira-kira dua tahun lepas, kali pertama Kadir hilang dari pengetahuan orang. Beberapa hari sebelum dia mengambil langkah untuk lari daripada realiti, Kadir telah dimalukan oleh seorang perempuan. Seorang perempuan yang dia cintai dengan jiwa dan raganya. Kadir malahan menyimpan nama perempuan itu sebagai Sempurna dalam senarai kenalan dalam telefon genggamnya.

Dia telah melakukan semua yang dia tahu. Daripada memberanikan diri untuk berkenalan dengan perempuan itu. Bukan perkara yang mudah. Dia terpaksa berpura-pura terserempak dengan perempuan itu di perpustakaan dan menunggu sehingga semua kerusi di dalam perpustakaan itu penuh diisi. Jika ada yang mengatakan ia cukup mudah, fikirkan kembali. Bila kali terakhir kaki anda menjejak lantai perpustakaan? Untuk menunggu sehingga perpustakaan itu penuh mengambil masa yang sangat lama. Tetapi akhirnya Kadir berjaya jua.

Kadir juga telah berpura-pura pandai dalam minat perempuan itu. Ya, Kadir adalah seorang stalker berat. Dia mengambil tahu semua maklumat peribadi daripada perempuan itu secara rahsia. Daripada tempat tinggalnya hingga bidang pengajian di universiti dan perkara yang digemarinya.

Semua usaha itu telah dilakukan semata-mata mahu berada lebih dekat dengan Sempurna.

Pada hari Kadir meluah perasaan cintanya kepada perempuan itu, Kadir telah mengutip semua keberanian yang ada di dalam dunia untuk disimpan di dalam hatinya. Dia mengajak perempuan itu untuk minum di kafe berdekatan dengan perpustakaan. Ya, sudah pasti dia yang mengeluarkan duit. Selepas dua cangkir kopi tiba di atas meja mereka, Kadir meluah perasaannya dengan cara yang paling amatur sekali kerana itu satu-satunya teknik yang dia tahu.

Cerita Saya dan Gadis GadisWhere stories live. Discover now