Part 1

8 2 0
                                    

Aku lihat manusia semakin lali dengan kemajuan sains yang tidak tahu sama ada kesan baik atau buruk mengejar hidup mereka. Zaman ini, kehidupan manusia subur dalam dunia maya. Manusia mula mencipta topeng-topeng dan taksub untuk memakai topeng ciptaan mereka di dunia maya sehingga lupa pada diri mereka yang sebenar.

Apabila ego dan angkuh menguasai diri, pandangan ke arah yang lain tidak lagi selari dengan garis mata mereka dan yang berada di bawah pula makin dijunam-junamkan jauh ke darjat yang terhina. 

Mata mereka telah dikaburi dengan dunia sebegitu. Walhal, hakikat dunia sebenar, mereka lupa manusia itu cuma satu. Walau berbeza mana pun luaran manusia, mereka tetap satu dan oleh kerana itu aku percaya manusia akan terus mengagungkan pentas yang menjadi altar manusia mengorbankan darah sendiri ini. Itu persepsi aku tentang spesis aku sendiri. 

Aku sejujurnya bukan penggemar dalam penggunaan media sosial yang sekarang tidak kira orang muda, tua mahu pun kanak-kanak tergila-gilakannya. Aneh sekali apabila melihat manusia berkerumun berjalan di kaki lima sambil matanya terkunci pada skrin peranti elektronik. Seolah-olah mereka telah dijampi. 

Aku takut. Takut mempunyai perasaan seperti sesuatu sedang mengawal hidupku. Aku bukanlah seseorang yang mempunyai pegangan anti kepada sains atau teknologi kerana aku juga berterima kasih dengan kemajuan ini aku dapat melihat cahaya di hujung jalan gelapku. 

Aku dapat mengenali Hero dari media sosial yang menggunakan lambang burung biru. Aku tidak tahu sama ada perkenalan kami ini adalah takdir atau kebetulan sahaja tetapi aku rasa senang mengenali Hero. Dia faham apa yang aku mahukan dan mungkin dia sahaja dalam dunia ini yang mengenali diri aku yang sebenar.

Ketika aku masih di sekolah menengah, kebiasaanya setelah tamat sahaja waktu kelas, aku akan terus meluru ke kolej kediaman. Membersihkan diri dan bersiap-siap untuk berbaring di atas tikar tatami yang sering merembeskan aroma kegemaranku.

Sama ada aku akan membelek-belek telefon pintar atau menonton sesuatu dari komputer riba. Ada kalanya aku memenuhkan masa dengan membaca komik dan tidur. Terpulang kepada angin aku pada hari itu.

Terkadang Sora dan rakannya yang lain suka mengajak aku keluar untuk minum di kelab malam atau pun bermain muzik di studio sehingga lewat malam. Sejujurnya hubungan aku dan Sora tidaklah begitu rapat. Boleh dikatakan hanya kenalan dari kecil sahaja tetapi Sora berasa senang sekali jika aku berada di sampingnya.

Aku pernah bertanya pada Sora, "Apakah sepuluh rakan karib yang kau ada tidak cukup untuk menghiburkan kau?" Dia tertawa besar dan berkata bahawa aku berbeza dengan yang lain. Sora juga pernah menyatakan bahawa aku ini adalah satu dalam seribu. 

Sepanjang aku hidup, ramai orang sekelilingku berkata hal yang sama tetapi aku sering berfikir sama ada mereka cuba maksudkan aku ini seorang yang pelik atau aku adalah seorang yang istimewa dalam hidup mereka. Namun, kedua-dua interpretasi itu bagiku membawa perkara yang sama iaitu seseorang yang terasing.

Selain dari Sora ramai lagi kenalan aku sebelum ini yang suka menceritakan tentang hal hidup mereka kepadaku. Aku tidak membencikannya tetapi tidak juga gemar untuk mendengar. Jika ada sahaja peluang aku bersendirian dengan mereka, pasti mereka akan menggunakan masa itu dengan sebaik yang mungkin untuk menyenaraikan segala perkara yang terjadi dalam hidup mereka.

 Aku sedaya upaya cuba untuk mengelak daripada mendengar hal-hal rahsia keluar dari mulut mereka tetapi bibir mereka akan pantas terbuka seolah-olah ada pengera ditubuhku yang mencetuskannya.

Oleh sebabkan hal itu, banyak perkara yang aku tahu tentang mereka. Misalnya, aku tahu bahawa Sora gemar dikelilingi orang yang pandai bergaya dan benci mendekati orang yang tidak pandai menjaga penampilan. Aku tahu, daripada menikmati lollipop, Sora lebih suka menjadikan garam sebagai makanan ringannya.

Sora juga pernah ada hubungan sulit dengan guru kelas kami demi mendapatkan reputasi yang baik di sekolah. Pada setiap hujung minggu pula Sora akan membawa berlainan perempuan masuk ke bilik walaupun dia sudah pun mempunyai teman wanita. Aku juga tahu kisah bagaimana ibubapanya berpisah dan kedua-duanya berkahwin lain ketika dia di sekolah rendah.

Jika ingin disenaraikan segala perkara baik dan buruk tentang Sora, sebuah novel pun belum tentu habis. Begitu juga orang lain yang berada di sekelilingku. Semakin banyak yang aku tahu semakin luas senyuman pada bibirku kerana aku rasa seperti sedang menonton satu filem panjang yang tiada penghujungnya. Lama-kelamaan, mendengar tentang hidup orang lain menjadi perkara yang paling aku gemari.

Tamat sahaja zaman persekolahan, aku bekerja di sebuah pasar raya tidak jauh dari rumah. Sora pula sambung pelajarannya di Universiti. Pada setiap bulan, Sora akan mengajak aku keluar minum dan berborak tentang hidupnya. Dia tidak gemar dengan kehidupannya yang sekarang kerana aku tiada disampingnya.

 Ketika Sora dalam keadaan separuh sedar dia sering mengatakan bahawa dia letih untuk mengikut kehendak keluarganya. Walau sebaik mana keputusan dan reputasi dirinya, kedua-dua ibubapa Sora tidak pernah berpuas hati dan mengharapkan lebih lagi.

Jika dahulu, perkara-perkara begini laju sahaja Sora luahkan kepadaku kerana aku sentiasa berada dekat dengannya tetapi sekarang tidak lagi. Dia sekali-sekala cuba memujuk aku untuk sambung belajar di Universiti yang sama tetapi aku menolaknya dengan baik.

Hari berganti hari, mungkin Sora sudah berputus asa memujukku. Dia jadi semakin kurang untuk mengajak aku keluar minum dan terus menghilang.

Dua tahun selepas itu, aku membawa diriku ke sebuah daerah lampu merah iaitu bandar yang diwarnai dengan dosa manusia. Aku bekerja di bawah seorang ketua samseng bernama Yama, sebagai mata-mata di bandar itu. 

Tugas aku mudah dan gaji yang dibayar juga lumayan. Aku hanya perlu memerhati wanita-wanita yang lalu lalang di lorong-lorong bangunan dan menghulurkan sekeping kad kepada mereka. Sebulan aku bekerja di situ, aku dapat pujian dari Yama. Gaji aku juga dinaikkan serta-merta kerana perniagaan Yama mendapat sambutan yang tinggi sejak kehadiran aku. Namun, beberapa tahun selepas itu, aku dibawa ke balai polis atas tuduhan menjalankan sindiket haram.

Aku duduk di kerusi menunggu untuk bapaku hadir ke balai polis. Di ruangan depan meja kaunter, aku lihat ada seorang budak lelaki yang berpakaian sekolah dan seorang wanita dalam lingkungan 40-an. Wanita itu berkerut-kerut dahi cuba menerangkan bahawa anaknya sering dipukul di sekolah. 

Aku perhatikan pula budak lelaki itu dari atas hingga ke hujung kaki. Pada wajahnya terdapat kesan luka dan lebam. Pada hujung jari tangannya menitis-nitis darah. Mungkin pandanganku terlalu dalam, budak itu menoleh ke arahku. Aku lihat terus ke matanya dan aku lihat diri aku dalam dirinya. Ketika itu, bapa aku muncul di hadapan pintu balai polis dan aku tersenyum ke arahnya.

"Aku tak tahu mengapa aku hidup." Kataku, membuatkan semua yang berada di balai polis itu berhenti berkata-kata.

Pada hujung bulan Ogos, aku menghabiskan masa bersendirian di rumah sewa dan aku mula berkenalan dengan Hero di media sosial burung biru.

Sejak berkenalan dengan Hero, jadual harianku sedikit demi sedikit berubah. Ada kalanya, Hero akan mengajak aku untuk makan malam bersama. Ada kalanya dia membawa aku berjumpa dengan seseorang. Personaliti Hero sangat bertentangan dengan diriku. Apabila aku sedang sibuk melayani perasaan aku sendirian di rumah, Hero pula sibuk berkeliaran sana-sini berjumpa dengan kenalannya. 

Aku suka bila dia mengajakku di tempat-tempat hiburan. Sekali-sekala dapat juga aku membuang sesuatu yang membeku dalam hati. Pernah juga dia mengajak aku ke rumahnya tetapi aku menolak dengan lembut. Mungkin aku belum cukup terbuka dengan dia.

"Mungkin lain kali, Hero" kataku.

Hero tersenyum kaku. "Beritahu sahaja bila kamu sudah bersedia. Aku akan datang jemput kamu" kata Hero.

Aku berjalan menyusuri lorong-lorong gelap yang menjadi laluan rahsia aku berjumpa Hero. Walaupun sepanjang jalan itu sukar untuk aku melihat apa yang berada di sekeliling, namun jalan ini adalah jalan yang paling selesa dan tenang untuk aku. Aku tidak perlu tahu pun siapa atau apa yang berada di kiri dan kananku. Bukan urusan aku lagi untuk mengambil berat tentang hal itu kerana Hero akan menungguku di hujung jalan sana.

***

WIRA KEMATIANWhere stories live. Discover now