Part 4

6 0 0
                                    

Dari malam sehingga ke pagi aku menghabiskan masa menatap ke luar jendela yang memberi aku pemandangan daerah lampu merah. Bukan aku khusyuk menikmati pemandangan kucar-kacir itu tetapi pemikiran aku sebenarnya telah melayang jauh entah ke mana-mana.

Setelah mendengar berita dari keluarga rakan karibku, aku terkelu seribu kata dan hanya mampu termenung jauh dengan fikiran yang kosong. Telefon bimbitku tiba-tiba berdering. Aku lihat nama Ai tertera di skrin telefon. Dalam keluhan yang panjang aku menjawab panggilannya.

Suara Ai serak-serak terdengar dari talian. Mungkin dia baru sahaja merasa penyesalan atau mungkin juga dari tangisan kegembiraan. Aku tidak dapat menekanya. Ai mengajak aku berjumpa pada tengah hari nanti. Dia juga sempat berpesan untuk memakai pakaian yang kemas dan sopan. Dia juga minta aku menanggalkan tindik-tindik pada wajahku untuk sementara waktu.

Pada waktu dan tempat yang dijanjikan, aku menunggu dan mencari-cari kelibat Ai. Sekali lagi aku termenung kosong ke arah kerumunan manusia di tengah-tengah bandar. Suasana bising di situ tidak dapat melenyapkan rasa sunyi yang aku rasakan dari tadi.

"Sora, maaf aku terlambat. Kau nampak lain, hari ini" kata Ai yang muncul tiba-tiba.

Aku membalas dengan senyuman nipis ke arah Ai yang berpakaian dress labuh lengan panjang bewarna merah jambu iaitu hadiah pemberian Mahiro.

"Sebenarnya aku ingin kau temankan aku berjumpa Mahiro. Boleh?"

"Aku sudah siap dengan pakaian kemas begini, baru kau ingin soalkan?" Ai tertawa halus mendengar jawapan aku.

Sepanjang perjalanan, aku dan Ai hanya berbual-bual kosong tentang pekerjaan, makanan, orang sekeliling dan tidak sekali pun menyentuh tentang Mahiro. Mungkin kedua-duanya ada sesuatu yang tidak dapat diluahkan dengan lantang.

Sampai sahaja di hadapan kompleks penjara negara, hati aku seperti dipalu berkali-kali sehingga mengeluarkan bunyi gong yang senada. Entah mengapa lorong ke bilik perjumpaan itu terasa begitu jauh.

Aku berasa semakin sensitif dengan sekelilingku. Segala bau, bunyi dan perkara yang terlintas di hadapanku semakin jelas dirasai. Pintu bewarna biru gelap dibuka perlahan. Dari dalam kaca yang memisahkan ruang bilik itu, aku lihat Mahiro tersenyum kepada kami berdua.

"Kamu sudah makan?" soal Ai.

Mahiro membalas dengan anggukan dan masih tersenyum manis ke arah kami. Melihat Mahiro seperti itu membuat hatiku rasa sebak. Dia sedikit pun tidak berubah dari 20 tahun yang lalu.

Setiap kali aku lihat Mahiro ada satu perasaan tenang yang akan menemani aku. Aku rasa aku dapat lakukan apa sahaja. Aku dapat jadi diri aku sendiri apabila berada dihadapan Mahiro.

Ai teruskan perbualannya yang biasa aku dengar setiap kali dia berjumpa Mahiro. Perbualan yang tenang, yang tiada siapa yang menyingung dan tersinggung. Perbualan antara rakan lama dan kekasih. Perbualan yang penuh dengan rasa keakraban.

Beberapa minit berlalu aku hanya membiarkan Ai melepaskan rindunya kepada Mahiro dan memikirkan apa yang aku ingin katakan pada Mahiro.

"Sora, aku tunggu di luar ya. Maaf aku ambil masa yang lebih lama," suara Ai menyentak lamunanku.

Aku perlahan-lahan mengambil tempat berhadapan dengan Mahiro. Aku tidak berani untuk menatap matanya ketika itu. Bukan kerana perasaan takut terhadap Mahiro tetapi perasan resah untuk kehilangan orang yang sangat penting dalam hidupku.

"Sora, lihat aku. Kau tiada masa panjang untuk berjumpa denganku dan mungkin ini kali terakhir kita akan berbual bersama"

Dalam tidak sedar air mata aku mengalir dengan deras. Air liur yang aku telan terasa begitu kelat. Dadaku berombak dengan tidak sekata tersedu-sedan di hadapan Mahiro.

"Hey, Sora. Dengar ini. Maafkan aku kerana tidak dapat bersama dengan kau lagi. Ketika kau masuk sahaja dari pintu itu aku tahu kau sudah menerima diri kau. Kau tak akan apa-apa. Semuanya akan baik-baik sahaja untuk kau Sora."

"Mengapa... mengapa kau bertindak begitu Hiro?"

Mahiro bersandar tenang sebelum menjawab. "Kau tahu, dunia sekarang penuh dengan gejala buli. Di sekolah dan di tempat kerja. Bukan itu sahaja, di luar sana mesti ada ramai lagi yang menderita untuk cuba bunuh diri. Cuma kes-kes tentang mereka tidak dilaporkan sahaja dan mereka tidak mampu melakukannya sendiri.

Mereka keseorangan dalam dunia ini. Aku tahu yang kau faham perasaan itu, Sora. Aku ingin bantu orang-orang macam ini. Heh, tetapi aku minta maaf sebab tidak dapat melunaskan tugas ini lebih lama"

Aku mengeleng-geleng menekup wajah, tidak mahu menerima kenyataan itu. Bagi aku, Hiro adalah sahabat aku dari kecil. Dia seorang yang berhati mulia dan lemah lembut. Dia akan sentiasa ada ketika aku perlukan seseorang untuk bergantung harap.

"Aku dengar peguam bela kau cuba minta kurangkan hukuman ke atas kau kerana semua mangsa merupakan orang yang rela untuk tamatkan nyawa mereka sendiri. Mengapa kau menolak permohonan itu diteruskan?"

"Segala dakwaan itu benar. Aku bunuh dan cincang tubuh mereka. Apa lagi hukuman yang layak dengan kesalahan aku itu? Aku tidak mahu kes aku berlarutan panjang. Itu akan menyukarkan keluarga dan orang yang pernah berada disekelilingku termasuk kau, Sora"

"Aku tanya peguam kau bila tarikhnya tetapi dia enggan beritahu aku. Aku percaya perkara itu pasti sulit juga kepada umum dan ibubapa kau. Namun, aku masih berharap untuk tahu"

Aku keluar dari perkarangan kompleks penjara itu. Ai sudah pun lama menungguku. Sepanjang perjalanan pulang lama aku berfikir tentang Hiro. Ini merupakan kali terakhir aku melihat Hiro.

Aku mengingati semula saat kami dibangku sekolah. Bagaimana layanan Hiro terhadap orang sekelilingnya. Aku baru sedar hari ini, bahawa dia tidak pernah sekali pun menghiraukan tentang dirinya. 

Yang sentiasa ada dalam mindanya adalah kebaikan untuk orang di sekelilingnya. Dia seorang yang sangat mengambil berat. Aku masih tidak percaya apa yang telah berlaku. Aku mengambil keputusan untuk berbenti di perkarangan rumah Hiro.

Kawasan perumahan di situ tenang sama seperti suasana di rumah ibu bapanya. Dari kaki lima, aku berdiri mendongak melihat rumah Hiro yang sudah di pasangkan pita amaran. Aku teringatkan kata-kata terakhir Hiro sebelum aku beredar meninggalkannya.

"Aku ada satu rahsia yang aku simpan sendiri tetapi oleh kerana ini mungkin kali terakhir. Aku akan beritahu pada kau sahaja dan ini akan menjadi rahsia kita berdua. Angka orang yang telah aku bunuh sebenarnya tidak tepat tetapi tiada bukti yang menyatakan aku telah bunuh sepuluh orang dan bukannya sembilan. Jadi aku akan berikan mereka bukti hujung tahun nanti. Aku harap itu dapat membantu mereka."

Kaki aku perlahan beredar dari kawasan perumahan itu. Dari kata-kata Hiro itu, aku tahu yang diri aku adalah seseorang yang penting dalam hidup Hiro. Aku tahu dan sangat kenal orang yang ke sepuluh itu dan paling penting sekurang-kurangnya aku sahaja yang tahu bila waktunya Hiro akan ke tali gantung.

-Tamat-

WIRA KEMATIANWhere stories live. Discover now