Part 2

5 1 0
                                    

Pada cuti musim luruh, aku terserempak dengan Sora di daerah lampu merah. Dia tampak berbeza. Penampilan dan auranya tidak seperti dahulu. Rambutnya panjang mencecah bahu. Pada hujung kening dan bibirnya berditindik. Pada lehernya yang tergantung beberapa utas rantai juga sudah dipenuhi tattoo.

"Kau tak pulang?" soal Sora.

"Macam biasa. Bercuti di sini lagi" jawabku dengan senyuman herot di bibir.

"Kenapa kau selalu habiskan masa bersendirian? Bukankah berada di rumah bersama keluarga lebih selesa? Rumah kau pun tidak terlalu jauh dari sini. Lain lah aku, dari stesen kereta api ke lapangan terbang barulah sampai."

"Aku tak ada sebab untuk pulang. Lagi pula tak ada yang seronok pun di rumah tu"

"Tak ada sebab nak pulang? Kau ni peliklah"

Sekali lagi aku meletakkan senyuman herot dibibir. 

"Kau masih sambung belajar atau sudah bekerja?"

Sora tertawa terbahak-bahak. Dia menyuakan sebatang rokok pada hujung bibir sambil menyeluk kocek seluar mencari pemetik api. "Apa jawatan yang kau sangka aku pegang sekarang dengan penampilan sebegini?"

Aku merenung mata Sora dan aku sedar sesuatu. Di hadapan aku ini mungkin jasad Sora yang biasa aku kenal tetapi tidak jiwanya. Sora menyedut belakang rokok sambil mata hitamnya melilau ke jalan yang dipenuhi manusia.

"Dalam dunia ini manusia mencari-cari tujuan mereka. Apakah kekayaan yang mereka cari? Kebijaksanaan? Kemasyuran? Cinta? Kebahagiaan? Untuk mengecapi segalanya, mereka merangkak, memanjat dan berlari walaupun seluruh tubuh mereka lumpuh satu per satu kerana mereka percaya itu akan membawa mereka kepada cahaya yang mereka lakar. Tetapi bagaimana pula jika seseorang itu tiada tujuan? Sejuta langkah yang diambil pun tiada makna apa-apa. Berjalan ke hadapan, atau ke belakang, ke kanan dan kiri semuanya rasa sama" Sora diam seketika dia tertunduk memandang lantai. Rambut panjangnya menghalang aku untuk melihat jelas wajahnya.

Dengan suara yang tersekat-sekat, Sora meneruskan kata, "Aku... sudah mula lupa bagaimana melihat cahaya di hujung jalanku. Aku sudah lupa bagaimana untuk bergerak terus. Aku sudah lupa... rasanya untuk tersenyum. Aku harap mungkin suatu hari nanti akan ada seorang wira yang datang mencapai tanganku kerana aku tidak tahan berada lama dalam kegelapan. Aku harap dia akan tamatkan segalanya untuk aku"

Mendengar kata-kata Sora itu, aku juga berharap mungkin akan ada seseorang yang dapat melepaskan dia dari penjara itu tetapi persoalan itu berpusing semula pada siapa yang akan lakukannya?

***

Aku sampai di hadapan sebuah bangunan dua tingkat. Aku membuntuti Hero mendaki tangga menuju ke rumahnya. Kata Hero, dia baru sahaja menyewakan rumah itu sebulan yang lepas dan masih belum sempat lagi dia berkenalan dengan jiran-jiran di situ. Dia membuka pintu yang dipasangkan kunci mangga sebesar penumbuk. Perkara itu sebenarnya terlihat aneh dimataku tetapi aku biarkan sahaja persoalan itu berlegar-legar di minda.

"Sebentar ya. Saya bersihkan apa yang patut" kata Hero

Aku menunggu di hadapan pintu bersama sebuku kek gulung di tangan yang aku sempat beli dalam perjalanan ke sini. Mata aku memerhati sekeliling kawasan rumah itu. Suasanannya sangat menenangkan.

"Silalah masuk" kata Hero sambil tersenyum manis padaku.

Suasana rumahnya sungguh gelap. Aku dapat merasakan udara sekelilingku sedikit lembab dan ada bau wangian yang terapung. Kecil sahaja rumah itu. Hanya ada satu ruang yang kecil sebagai ruang tamu dan ruang memasak. Sebuah bilik mandi dan ruang tidur di atas loteng.

Aku melabuhkan punggung di atas tikar tatami sambil memerhati segala yang ada di ruang tamu itu. Tikarnya sudah hampir reput. Aku fikir Hero sudah boleh mencari tatami baru untuk digantikan. Dari hadapan pintu hingga ke ruang tamunya tersusun beberapa kotak yang aku tidak tahu isinya. Terdapat sebuah komputer riba yang ditinggalkan terbuka di atas meja lipat dan disebelahnya pula terdapat timbunan komik dan majalah dewasa.

"Kamu suka teh atau kopi?" soal Hero

"Mana-mana yang sedap" Hero tersenyum mendengar jawapanku. Dia membawakan dua cawan air dan sebuah pinggan kosong bewarna hitam ke hadapanku.

"Boleh letakkan kek yang kamu beli di sini" kata Hero sambil menghulurkan pinggan kepadaku. "Bagaimana kerja kamu? Adakah berjalan dengan lancar?"

Aku diam seketika. Aku senyum nipis sambil terangguk-angguk. Tidak tahu untuk menjawab soalan Hero kerana aku sendiri tidak pasti tentangnya.

"Jadi apa masalahnya sehingga kamu kurang berat badan?"

"Kamu rasa aku semakin kurus?"

"Ya. Sangat ketara. Sejujurnya kamu terlihat sedih dari pertama kali kita berjumpa. Ada sesuatu yang berlaku?"

Aku diam seketika. Hero menghirup perlahan airnya seperti memberi ruang untuk aku menyatakan sesuatu. Aku menarik nafas panjang. 

"Aku... sudah lakukan yang terbaik sepanjang hidupku tetapi aku tidak nampak apa tujuan untuk aku terus hidup. Aku pernah jadi seorang pelajar yang cemerlang. Aku juga seorang atlet yang aktif. Aku juga telah ditawarkan ke universiti yang terbaik. Aku seorang yang sentiasa dijulang-julang nama di sana sini tetapi aku rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupku. Aku fikir, usaha yang aku lakukan ini tidak cukup"

Hero tertawa besar. Dia duduk bersandar pada dinding di sebelahku sambil mendongak ke atas. "Aku pernah bekerja sebagai pencari wanita yang ingin menjadi pelacur" kata Hero sambil kornea hitamnya mengerling ke arahku. Mungkin untuk melihat reaksi dariku.

Kemudian Hero menyambung lagi. "Sekali-sekala aku akan berada di 'rumah' pelacur itu. Aku memerhati wanita-wanita yang berpakaian ketat dan terdedah ini ke hulu-hilir bersama lelaki-lelaki yang akan memberi makan kepada mereka.

Awalnya aku fikir yang hidup mereka sudah hancur sejurus mereka menjual badan mereka tetapi bukan itu hakikatnya. Segelintir dari mereka menikmati kehidupan seperti itu. Mereka bukan bodoh. Mereka juga pernah belajar tinggi. Ada juga yang pernah menjadi ketua pengarah dalam sesebuah syarikat besar tetapi mereka memilih haluan hidup mereka.

Sebelum aku berhenti bekerja di situ, seorang wanita ini berkata padaku bahawa mata aku telah lama mati. Jiwa aku juga sudah hilang. Jika aku fikir yang hidup mereka sudah hancur, sekurang-kurangnya mereka masih ada orang yang inginkan mereka."

"Apa yang kamu lakukan setelah berhenti bekerja?"

"Aku menjadi tukang gantung professional." Dahiku berkerut cuba mencari apa yang dimaksudkan Hero. Melihat wajah aku keliru, Hero berkata, "Media sosial burung biru menghubungkan aku dengan pelanggan aku. Aku tidak mencari mereka. Mereka yang akan mencari aku. Aku tidak lakukan kerja ini atas paksaan sesiapa. Aku lakukan demi menolong orang-orang yang terseksa. Kesian kepada mereka. Tiada siapa yang faham mereka kecuali aku."

"Apa yang kau lakukan untuk mereka?" soalku.

"Malam ini aku ada tugasan. Jika kau tertanya-tanya dengan pekerjaanku, kau boleh datang pada pukul 12 malam nanti. Ada pelanggan akan sertai kita." Jawab Hero.

***


WIRA KEMATIANWhere stories live. Discover now