Bacaan Percuma- Bab 1

2.7K 225 45
                                    

"MUMMY! Tengoklah abang!"

Amalina yang baru selesai melipat baju-baju kecil milik puteri bongsunya terkejut mendengar suara Ilma yang memetir secara tiba-tiba di muka pintu kamar tidur. "Apa dia, adik?"

"Mummy... adik tak sukalah dengan abang tu. Tak habis-habis nak ejek adik." Tanpa diundang, Ilma sudah selamat menghenyak punggung di atas tilam. Betul-betul bersebelahan Amalina.

"Abang awak yang mana satu? Abang ejek apa lagi?" Amalina melayan, sekadar ingin menjaga hati si anak. Bukan benda baharu, jadi rasa hairan dan ingin tahu itu tidaklah membuak-buak sangat.

"Ejek fasal surat cinta!"

Terhenti pergerakan tangan Amalina yang tadi cekap menyusun baju Asma' mengikut kategori tersendiri. Barulah dia menoleh memandang Ilma yang mukanya sudah cemberut habis. "Surat cinta?"

"Ya! Surat cinta!"

"Adik dapat surat cinta ke?"

Ilma angguk. "Ada, hari tu tak tahu siapa bagi. Tiba-tiba ada bawah meja dekat sekolah."

Tersungging senyuman nakal di bibir Amalina. "Adik tak bagi tahu mummy pun?"

"Alahai, surat cinta tabur bedak je mummy. Dah la tak tahu siapa yang bagi. Abang tu yang kecoh, tak habis-habis ugut kata nak bagi tahu abah. Benci betul!"

Terburai gelak Amalina sebaik mendengar Ilma petik nama abah dia. Baju-baju yang sudah berlipat Amalina angkat dan letakkan ke dalam satu bakul kosong di atas lantai. Nanti kejap lagi dia akan susun dalam almari. Sekarang, dia nak bergosip dulu dengan puteri sulungnya! "Kenapa adik tak nak abah tahu?"

Ilma julingkan mata ke atas sebaik soalan itu meluncur keluar daripada mulut Amalina. "Malas. Abah tu kejap lagi mulalah berleter. Jangan bercinta, jangan itu, jangan ini. Adik kecil lagi, adik kena belajar dulu la, itu la, ini la. Penatlah nak dengar."

Mengekek-ngekek Amalina ketawa tengok reaksi anaknya.

Merah dan panas muka dia akibat ketawa yang bersungguh, hingga mencetuskan rasa pelik dalam hati Ilma. "Mummy ketawa pula... adik cakap betul ni. Penat tahu tak, nak dengar kalau abah dah mula tazkirah dia tu!"

Amalina urut pipinya usai gelak. "Adik."

"Ya, mummy?"

"Nak tahu satu rahsia tak?"

"Apa dia?"

"Hah! Rahsia apa, mummy?" Tak sempat Amalina nak buka mulut, tiga suara bergabung serentak dari muka pintu, buatkan masing-masing menoleh.

Sekelip mata, tilam di sekeliling Amalina sudah mendap akibat dihempap oleh tiga remaja lelaki yang boleh tahan tegap juga badannya. Umar, Uthman dan Ali; si kembar tiga bersaudara.

"Eee! Awak ni sibuklah! Orang nak borak dengan mummy pun nak menyibuk!" Ilma menolak ganas tubuh abang-abangnya, dengan harapan mereka akan bergerak. Tapi sayang, siapalah dia jika hendak dibandingkan dengan kekuatan si kembar tiga.

Sudahnya, Ilma yang kena tolak semula.

"Awak diam, adik. Kita nak dengar rahsia ni." Itu kata Umar selaku kembar sulung.

"Rahsia apa, mummy? Macam menarik," kata Uthman pula sambil tersengih lebar. Tangan sudah ditongkat atas paha yang bersila.

"Ada mengaibkan sesiapa tak rahsia ni?" Ali dah tarik kerusi di meja solek Amalina dan letak betul-betul di hadapan ibu dan adik-beradiknya yang lain. Tak seronoklah duduk berhimpit atas katil.

Amalina pandang pintu, kemudian dia jatuhkan semula pandangan ke arah anak-anaknya. "Adik Asma' mana?"

"Tidur dekat luar."

"Atok?"

"Atok pergi jalan ke kebun Cik Na."

"Abah?"

"Rasanya tadi nampak macam abah tukar baju. Pergi kebun, kut. Siap bawa parang dengan sabit bagai." Uthman tolong jadi wakil, menjawab setiap pertanyaan si ibu.

Okey! Rumah clear. Dia boleh bercerita dengan senang hati tentang rahsia yang satu itu. Dia mengesot sedikit sebelum turun dari katil.

"Mummy nak ke mana pula tu? Kata nak bagi tahu rahsia!" Ilma merengek manja apabila si ibu berlalu pergi tanpa sebarang kata.

"Eh, sabarlah! Mummy nak tunjuk something ni." Amalina pergi ke rak buku yang memang ada di dalam kamar tidurnya. Dia undur selangkah untuk menganalisis kedudukan barang yang mahu ditunjukkan kepada anak-anaknya.

Senyum bertamu di bibirnya apabila dia ketemu apa yang dicari. Jumpa! Amalina tarik sebuah buku, kemudian dia keluarkan satu sampul surat yang asalnya berwarna putih tapi kini sudah bertukar kekuningan akibat dimamah masa.

"Apa tu, mummy?"

"Surat." Amalina kembali ke katil lalu mengambil tempat di celah anak-anaknya. "Surat cinta."

"Surat cinta?!" Serentak empat suara bergabung menjadi satu.

Amalina tersenyum lagi. "Ya, surat cinta."

"Siapa bagi dekat mummy?" Umar penuh teruja bertanya.

"Awak rasa?"

"Tak mungkin abah." Ilma pantas menafikan telahan dalam kepala.

"Yalah tu. Macam tak betul je kalau abah yang bagi." Ali nyatakan sokongan terhadap pernyataan Ilma.

"Eee, tak kenalah kalau abah bagi surat cinta." Umar dah tergeleng kepala membayangkan abahnya mengarang ayat-ayat puitis untuk si ibu.

"Mummy punya ex?" Uthman serkap jarang.

Amalina tekup bibir untuk kawal gelaknya daripada meletus kuat. Kelakarlah anak-anak dia ni. Belum apa-apa dah pandang rendah pada abah mereka. Aduhai...

"Surat ni..." Amalina buka sampul putih itu kemudian dia keluarkan sehelai kertas kajang yang juga sudah bertukar kekuningan. Dakwat pen pun sudah sedikit kembang, seiring dengan usia surat yang entah, berusia belasan tahun mungkin? "Abah yang tulis."

"Abah tulis?!" Bergema bilik dengan suara mereka berempat.

"Ya, abah tulis. Tapi dah lama, sebelum mummy dengan abah nikah."

"Nak baca!"

Amalina dengan senang hati beri surat itu kepada si putera sulung, Umar. Tak sampai sesaat, lagi tiga beradik itu dah kerumun si abang, tak mahu ketinggalan. Untuk beberapa minit, empat beradik itu senyap tanpa sebarang suara hingga membuatkan Amalina ternanti-nanti. Okey ke tu? Ke... nak muntah baca surat cinta yang abah mereka tulis?

"Mummy..."

Umar, Uthman, Ali dan Ilma pandang Amalina sambil menekup mulut. Mata mereka, tak tahulah nak cakap macam mana. Berkaca?

"Ya?"

"Serius la abah yang tulis?"

Amalina angguk. "Serius, abah yang tulis. Tak nampak dekat bawah tu nama siapa?"

Ilma tekup muka dengan kedua-dua tangan dia lalu dia tarik-tarik tangan Amalina. "Sweetnya abah!"

"Cis! Abah ini, pandai sungguh berselindung di sebalik kebun pisang dia." Umar ketap bibir.

"Kita sangka hati abah sekeras jati, rupanya selembut umbut pisang." Itu kata Uthman pula.

"Patutlah mummy tak suka jantung pisang, rupa-rupanya abah dah bagi jantung dia dekat mummy dulu."

Okey, itu kelakar. Amalina sampai terbatuk sebab ketawa mendengar komen selamba anak-anaknya. Itulah! Jangan pandang rendah pada abah, okey? "Awak nampak je abah tu macam tu, tapi abah sweet tau?" Amalina tanpa selindung memuji sang suami yang tiada di depan mata. Moga tidak tersedaklah dia di kebun sana.

"Kejap, kan rumah atok ni dekat dengan rumah Tok Ayah. Kiranya, mummy dengan abah memang dah kenal lama ke sebelum kahwin?"

Soalan cepumas Umar berjaya mencoretkan senyuman misteri di wajah Amalina. "Tak, kita orang kenal kejap aje lepas tu terus kahwin."

Love,Yours | SUDAH TERBIT |Where stories live. Discover now