Bacaan Percuma- Bab 4 (I)

1.3K 152 4
                                    

LEBAR senyuman dia saat terpandang angka-angka yang tertera di skrin ATM. Alhamdulillah, gaji dah masuk.

Fitri selesaikan apa yang patut di mesin mengeluarkan duit itu. Kad ATM dimasukkan ke dalam poket. Sejurus melangkah keluar dari premis tersebut, telefon bimbit di dalam saku dia keluarkan.

Tak lama kemudian, peranti itu sudah terlekap di telinga. Tak lama pun dia tunggu untuk taliannya bersambung. "Helo, Ijah."

"Helo. Kenapa call, abang?"

"Hari ni gaji aku masuk. Aku dah bank in dekat kau duit belanja. Nanti check dah masuk ke belum," kata Fitri tanpa berselindung.

"Eh? Kan hari tu kau baru bagi duit untuk aku bayar buku? Tak payah la bagi lagi."

Fitri pandang kiri dan kanan sebelum lintas jalan. Telefon dilekapkan ke telinga belah kanan pula. "Hari tu duit lain. Ni duit belanja. Pakai ajelah. Bukan banyak mana pun aku bagi kau."

"Okey. Terima kasih. Aku doa kau murah rezeki selalu, abang."

Tersengih Fitri mendengar doa yang keluar daripada mulut adiknya. "Amin. Okeylah Jah, aku nak masuk kedai kejap, nak belikan mak barang. Nanti sembang lagi."

Dia tamatkan panggilan apabila sampai betul-betul depan kedai yang menjual alatan menjahit. Hari tu dia ada dengar ibunya mengomel sendiri, banyak barang-barang jahitnya sudah habis.

Alang-alang Fitri ke bandar hari itu, langkah kanan pula gaji masuk. Memang rezeki Mak Lang Da untuk dapat barang-barang jahit baharu.

"EH! Apa banyak sangat barang kau beli ni, abang?" Terkejut Mak Lang Da sebaik dia lihat jumlah barang-barang yang anak sulungnya bawa keluar dari bonet keretanya.

"Mana ada banyak. Sikit je." Fitri pura-pura tak tahu apa-apa.

"Sikit apa sampai dua beg besar. Kan mak suruh beli benang putih dengan hitam je. Yang itu dah nak habis, barang lain semua ada lagi."

Fitri duduk bersila di atas lantai depan barang-barang yang dia belikan untuk Mak Lang Da. Dia keluarkan tiga buku benang putih dan tiga buku lagi benang hitam. "Cukup tak tiga, mak? Tadi abang tengok, ada saiz yang macam ni dengan kecil sikit. Tapi harga lebih kurang, abang ambil la yang ni."

Mak Lang Da kehilangan kata tengok si anak yang dah teruja keluarkan apa yang dibeli untuk ditunjuk kepadanya. Tak sampai hati pula dia nak menegur lebih-lebih melihat keterujaan yang terpamer di wajah bersih itu. "Boleh. Mana-mana pun boleh."

"Ni span bahu. Betul kan mak guna span yang nipis macam ni?" Fitri tunjuk sebungkus span bahu untuk dapatkan kepastian.

"Betul."

"Abang ada beli zip sekali. Tapi sebab abang tak tahu mak nak pakai warna apa, abang beli yang hitam putih aje. Kalau tak cukup nanti abang beli lain. Ni cangkuk baju. Sekotak cukup, kan?"

"Cukup." Mak Lang Da sambut huluran Fitri.

"Lepas tu, abang beli butang. Jarum mesin ada satu paket je, tadi orang kat kedai tu kata stok dah habis. Ha! Abang ada beli gunting baru untuk mak. Tengok hari tu mak gunting kain macam tumpul je."

Mak Lang Da tengok semua hasil belian Fitri yang dah penuh berterabur di atas lantai. "Berapa kau beli semua barang ni, abang? Nanti bagi tahu harga, mak ganti duit kau."

Tersengih Fitri apabila diajukan soalan seperti itu. Alahai ibu... tanya soalan macamlah Fitri ni tak kerja lagi. Dah dua tahun kerja pun Mak Lang Da tetap layan dia macamlah dia tengah belajar.

"Ada. Setakat dua tiga ratus beli barang mak ni, apalah sangat. Bukan abang beli hari-hari pun."

"Memanglah bukan hari-hari, tapi duit kau tu simpanlah sikit. Kut esok lusa nak kahwin..."

Fitri ketawa kecil. Kahwin? Lambat lagi. "Mak tengok-tengoklah barang ni semua. Abang nak mandi. Berlengas badan."

"Yalah. Pergilah mandi. Terima kasihlah belanja mak barang-barang ni semua."

Tangan ditongkat untuk bangun. Fitri buat simbol 'OK' dengan jari sebelum dia hilang di sebalik pintu. Mak Lang Da pandang belakang Fitri. Lambat-lambat dia tersenyum. "Semoga murah rezeki kau, abang."

"CIK Amal."

Amalina toleh ke kiri ketika dia dengar namanya diseru seseorang. Senyumnya dihulurkan terlebih dahulu sebagai tanda sapaan apabila matanya menangkap kelibat seorang eksekutif syarikat datang mendekatinya.

"Hai, Encik Mahdi," sapa Amalina semula.

"Nak pergi mana tu?"

Amalina angkat fail di tangan. "Mana lagi?"

"Bank?"

Dia angguk lantas tersenyum. "Haah, bank."

"Nanti balik ofis semula, kan?"

Amalina angguk. "Balik. I keluar kejap je. Maybe lepas lunch dah masuk ofis semula. Kenapa Encik Mahdi?"

"Tak ada apa pun. Nak suruh you semak quotation sikit. Tapi pergilah bank dulu, nanti balik I ketuk bilik you."

"Nak semak je, kan? Kalau macam tu you bagi ajelah file tu dekat assistant I. Tak pun nanti hantar soft copy dekat emel. Boleh I tengok-tengok sementara tunggu giliran dekat bank kejap lagi."

"Okey. Nanti I emel."

"Okey Encik Mahdi, see you." Amalina sambung perjalanannya menuju ke lif untuk turun ke tempat meletak kereta. Sambil menunggu lif, Amalina buka telefon pintarnya. Dia tekan ikon nota.

Amalina pilih fail yang bertajuk 'Record by Month'. Tak sampai sesaat, paparan skrin sudah penuh dengan segala macam aksara dan nombor. Itu adalah fail khas yang dia buat untuk senaraikan segala perbelanjaannya pada bulan itu.

Duit keluar, duit masuk, duit habis beli barang, duit habis berjimba hatta satu sen pun Amalina tak pernah lupa untuk rekod.

"Rumah dah bayar, kereta dah, elektrik dah, air dah, maintenance pun dah, wifi dah... bil telefon pun dah. Duit ma dengan ayah pun dah transfer. Okey, semua dah bayar. Great." Amalina puas hati apabila semua bil yang perlu dibayar sudah dia langsaikan.

Dia tutup nota kemudian buka pula aplikasi bank. Amalina periksa baki duit yang ada. Dia tengok sekilas kemudian tutup semula.

Satu keluhan terlepas. Bukan kerana terbeban, tapi kerana melihat angka yang langsung tidak berganjak selepas segala komitmen dilunaskan. Bukankah Amalina sepatutnya gembira kerana hidup bebas hutang? Tapi kenapa dia tak rasa apa-apa?

Kebetulan pintu lif terbuka, tanpa berlengah dia masuk ke dalam. Dia pandang satu susuk kecil yang sedang dipangku oleh seorang wanita di dalam lif tersebut.

Comel sahaja kepala itu melentok manja di atas bahu si ibu. Laju bibirnya melebar menghulur senyum kepada si kecil.

Agaknya segan, terus dia sembunyikan muka di sebalik tudung ibunya, buatkan Amalina rasa nak menangis di situ dengan kecomelan yang dipamerkan si kecil.

Eee, geram!

Ting! Pintu lif sudah terbuka. Amalina pandang dinding. Okey, dia dah sampai ke tingkat yang sepatutnya. Laju sahaja kakinya melangkah ke bahagian tempat letak kereta. Sampai sahaja, dia boloskan diri ke dalam perut kereta tapi kenderaan itu tidak segera dipandu.

Amalina termenung dahulu sendirian di situ teringatkan wajah comel bayi di dalam lif dengan angka-angka baki wang di dalam akaun banknya.

"You are doing great. Just great."

Love,Yours | SUDAH TERBIT |Where stories live. Discover now