Bacaan Percuma- Bab 5 (I)

1.3K 171 12
                                    

"ASSALAMUALAIKUM." Ramah Amalina memberi salam sebaik pintu keretanya terbuka. Kaki dibawa menapak ke tanah terlebih dahulu. Segala barangnya dia capai dan sangkut ke bahu, baru dia keluar daripada kenderaan empat tayar itu.

"Waalaikumussalam! Amal tak cakap pun nak balik?" Jelas riak terkejut terlakar di wajah sang ibu sebaik melihat kereta anak perempuannya tiba-tiba muncul di halaman rumah.

Amalina hanya tersengih. "Rindulah dekat ma. Itu yang balik tiba-tiba ni," balasnya sambil menunduk untuk mengucup tangan berjasa ibunya.

"Lah! Ma tak masak apa-apa pun hari ni. Amal dah makan ke belum?"

Amalina ketawa dengan kekalutan yang Suhailah pamerkan. "Tak apa ma. Nanti malam kita makan dekat luar. Tadi Amal nampak kedai tepi simpang tu dah buka." Habis bercakap, Amalina hulurkan tangannya untuk bersalam dengan seorang lagi wanita pertengahan abad yang duduk sama-sama dengan ibunya di meja luar rumah.

Tak kenal siapa, tapi Amalina rasa itu kawan ibunya yang datang untuk bersembang petang-petang hari.

"Ni balik dari kolumpo ke?"

Senyumnya terukir manis. "Ya, acik. Dari KL."

"Tak jem ke? Laju sampai, belum pukul lima dah sampai sini."

Baru Amalina nak buka mulut untuk menjawab, Suhailah dah tolong jawabkan dulu. "Dia ni Na, kalau bawa kereta tak payah cakap banyaklah, kalah jantan! Bagi pelesit duduk dalam kereta dia pun, pelesit minta keluar. Punyalah laju!"

Amalina buat-buat tak dengar apabila Suhailah terang-terangan mengata dirinya. "Amal masuk dulu ya ma, acik."

Sejurus berpamitan, lekas-lekas dia menapak ke pintu masuk rumah. Daun pintu dia tolak tapi kakinya jadi terpaku di situ apabila telinga dia menangkap butir perbualan Suhailah dengan kawannya.

"Cantiknya anak Kak Ilah. Jarang nampak dia dekat sini, yang itu ke anak akak yang baru balik dari luar negara tu?"

"Ya, yang itulah. Dia baru balik, kerja dekat KL. Memang jarang sikit nak nampak."

"Dah kahwin ke?"

Amalina picingkan telinga untuk dengar apa yang bakal ibunya jawab. Mahu bisingkah? Atau kecewa dengan status dia yang masih bujang, walaupun umurnya sudah mahu menghampiri tiga siri ini?

"Belum sampai jodoh dia lagi."

"Dah ada kawan?"

"Hari tu dengar cerita macam dah ada, tapi tak ada pula dia cerita lebih-lebih. Agaknya memang berkawan aje. Saya pun tak bertanya."

"Eh Kak Ilah ni, tanyalah. Takkan cantik macam tu tak ada orang berkenan. Kalau tak ada lagi, saya pun boleh tolong carikan."

Amalina masih pegun di situ, mahu mendengar jawapan Suhailah. Setujukah? Atau menolak?

"Tak apalah Na, terima kasih. Akak malas nak masuk campur urusan anak-anak. Kalau dia nak kahwin, dia cakaplah nanti. Agaknya belum puas hidup bujang. Biarlah dulu."

Tersungging senyuman nipis di bibir saat mendengar jawapan ringkas Suhailah. Kalau persatuan ibu-ibu Asia yang lain dengar ni, mungkin Suhailah dah kena serang beramai-ramai.

Jelas lagi terang berkelakuan menentang arus!

Daun pintu yang tadi hanya suku terbuka kini sudah ditolak luas sebelum tubuh badannya hilang ke dalam rumah. Lega mendengar jawapan si ibu, sekarang Amalina nak mandi.

LAMA Amalina termenung memandang langit yang hitam pekat. Nampaknya malam itu bulan dan bintang bersembunyi elok di balik awan. Rambut yang berjurai ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dia selitkan ke belakang telinga.

Love,Yours | SUDAH TERBIT |Where stories live. Discover now