1. Satu

912 18 2
                                    

Kicau burung di hening pagi itu cukup menenangkan. Mira Marissa baru selesai memandikan mama untuk mama menunaikan solat fardhu Subuh. Walaupun mama lumpuh separuh badan, namun kewajipan yang satu itu tidak pernah diabaikan. Bubur nasi sudah selesai ditanak. Kangkung goreng masih berasap dalam kuali, untuk dibuat makan bersama bubur.

Setengah jam lagi dia akan mengejutkan adik - adiknya yang seramai tiga orang itu untuk bersiap ke sekolah.

Itulah rutin harian Mira Marissa. Sebelum dia sendiri akan menghadiri kuliah pada jam lapan pagi.

"Kak Long. Takkan bubur dengan kangkung lagi? Muaklah hari - hari makan camni." Adik keduanya, Malika Maisarah menjenguk ke dalam periuk, sebelum meneruskan langkah ke bilik mandi yang cuma beberapa tapak saja dari dapur.

"Ini je yang ada buat masa sekarang." Mira menjawab hambar. Dia sudah lali dengan pertanyaan adik - adiknya. Tidak juga dia menyalahkan mereka.

Dulu hidup mereka tidaklah sesusah sekarang. Sewaktu papa masih ada bersama mereka, sewaktu mama masih kuat mencari rezeki. Sudah nasib, papa menghilang entah ke mana, mama pula ditimpa bala, lumpuh separuh badannya.

"Angah nak kerja part time, Kak Long tak kasi." Sungut Malika sebelum menghilang di balik pintu bilik mandi.

"Kau tak tahu betapa penatnya bekerja sambil belajar Angah oi. Dahlah tahun ni kau SPM. Buat masa ni bertahan jelah. Ada rezeki lebih nanti kita makan sedap sikit."

"Takpe, adik dengan Malik ok je makan bubur hari - hari." Adik bongsunya Marlia Masyita yang baru darjah lima mencelah sambil mengambil sehelai daun kangkung yang sudah digoreng lalu diratah.

"Hmmm sedap. Kak Long masak paling sedap di dunia." Mira senyum hambar. Adik bongsunya paling pandai membodek walaupun dia tahu masing - masing sudah muak makan lauk sama.

SELESAI semuanya bersiap untuk ke sekolah, Mira cuma bekalkan dua ringgit seorang kepada Malika dan Malik yang bersekolah di sekolah yang sama. Manakala Marlia pula hanya bawa bekal bubur diperisakan dengan kuah goreng kangkung dan duit lima puluh sen sahaja.

"Mama, Kami pergi dulu ye ma. Kak Long dah masakkan bubur kat dapur tu. Nanti mama panaskan kalau mama lapar ye." Mira bersalaman dengan mamanya yang duduk di kerusi roda. Di tangan mama, ada baju kurung yang mama sedang kait lehernya.

"Beras ada lagi Kak Long?" Tanya mama. Mira diam lama sebelum menggeleng kepala.

"Takpe. Dapat upah jahit leher baju Mak Ngah Imah ni nanti kita beli beras dengan lauk sedap sikit ye." Mama senyum memberi harapan.

"Baik ma. Dah, Kakak pergi dulu. Bye ma. Tengahari sikit kakak balik, kelas separuh hari je. Nanti kakak tolong mama jahit ye." Mira mencium pipi mamanya.

Dia rasa sebak. Duit pinjamannya sudah hampir licin. Tetapi dia perlu guna banyak duit untuk projek akhir tahunnya. Kusut rasa hati dan fikirannya. Namun Mira kena kuat demi mama, Malika, Malik dan Marlia.

Dan dia perlu kuat untuk mencapai cita - citanya.

Peganglah CintakuWhere stories live. Discover now