BAB 3

291 20 12
                                    

HARI ini genap sebulan Faidh menjadi majikan Aireen secara rasmi. Setiap arahan yang dikeluarkan selalu tegas dan serius. Peliknya, hanya dengan dia saja Faidh bersikap begitu.

“Muka ketat.” Terpacul komen dari ulas bibir Aireen, tanpa dia sedar.

Diana yang sedang khusyuk menyiapkan kerja terus memandang Aireen pelik. Siapa yang sedang si Aireen kutuk ni?

“Hoi!”

Aireen tersentak dan terus memandang Diana.

“Apa?” Dia sedikit terpinga-pinga.

“Siapa muka ketat?”

“Siapa?” Aireen kembalikan soalan. Pelik.

“Kau yang cakap tadi, muka ketat. Siapa yang muka ketat?”

“Aku cakap muka ketat?” Aireen tunjuk diri sendiri. Bukan dia sedang bercakap dalam hati ke tadi?

“Ya, kau cakap muka ketat. Tiba-tiba aje,” ujar Diana sambil tangan terus menekan keyboard komputer.

Aireen terlopong. Dia terlepas cakap rupanya. “Errr... tak ada siapa.”

Diana jongket kening. “Ya ke? Kau demam, eh?”

“Mana ada. Memandai aje kau ni.” Aireen kembali menyambung kerja yang tergendala.

“Yelah tu. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba keluar muka ketat. Apalah kau ni, Reen.” Diana menggeleng kepala berkali-kali.

“Dah pukul berapa sekarang?” tanya Aireen, tunak memandang skrin komputer.

“Dah 5.10 petang.”

Aireen tersedar. Terus dia bergegas mengemas meja dan menutup komputer.

“Hei, kenapa kalut sangat ni?” Diana menegur hairan.

“Aku dah lambat.”

“Lambat? Office hour baru aje habis 10 minit, kau kata lambat? Nak ke mana?”

Aireen terus menyumbat telefon pintarnya ke dalam beg tangan dan menolak kerusi ke bawah meja. “Jumpa esok.”

Diana hanya menggeleng kepala. Entah apa yang dikejarkan Aireen pun tidak tahulah. Sejak kebelakangan ini, Aireen sering pulang tepat pukul 5.00 petang. Berbeza dengan dulu. Kalau jam belum mencecah pukul 6.00 petang, gadis itu takkan hilang dari pejabat. Alasannya, hendak siapkan kerja.

Aireen berlari anak menuju ke pintu lif yang hampir tertutup. Tanpa disangka, dia terlanggar tubuh sasa seorang lelaki. Hampir saja dia tersembam menyembah lantai konkrit. Mujur dia sempat berpaut pada dinding. Kalau tidak, pasti dia akan malu besar.

Kepala dipanggung. “Saya minta maaf, tuan. Saya tak sengaja.”

“Tak habis-habis langgar orang.” Faidh tayang muka serius dan dingin.

Aireen tercengang. Dia sudah kembali berdiri tegak. Mata memandang sekilas ke arah lif.

“Sorry, Tuan Faidh. Saya pergi dulu.” Aireen terus masuk ke dalam lif.

Sementelah Faidh masih tercegat di depan pintu lif.

AIREEN mengetuk-ngetuk stereng kereta. Jalan sudah mulai sesak. Mujur saja rumahnya dengan syarikat tempat dia bekerja tidak berapa jauh. Kalau tidak, pasti dia akan bertambah tertekan.
Ini semua salahnya juga sebab terlalu banyak berfikir tadi. Waktu berjalan pun dia tak sedar.

Setelah setengah jam, akhirnya dia tiba di rumah sewanya. Sebaik saja memarkir kereta di depan rumah, dia bergegas keluar dan melangkah ke rumah jiran sebelah.

Tak Mahu Kehilangan (TERBIT)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang