TSH #2009

33 2 0
                                    

"NISA, jom balik. Nanti kalau abah tahu kau kat sini, kau jugak yang kena marah."

Puas sudah Faris memujuk Anisa. Bahkan sebelum mereka berada di kawasan jalan bandar ini lagi dia dah melarang sungguh-sungguh. Bandar yang berjarak dua puluh minit dari kampung mereka ini sedang sibuk kerana musim cuti. Dan tika ini, Faris berjalan di sebelah kanan Anisa yang sedang mengayuh basikal di laluan kecemasan. Jalan sibuk, banyak juga mata memberi pandangan tajam kerana tingkah bahaya mereka.

   "Kejaplah. Sampai dekat traffic light satu lagi, kita pusing balik. Seronoklah boleh bawa basikal macam ni," balas Anisa yang tampak gembira  mengayuh perlahan basikal pemberian Faris kepadanya tahun lepas. Walau hampir setahun berbasikal, dia tetap teruja tapi belum mahir benar.

Faris yang berseluar track hitam dan baju kokorikulum sekolah warna biru jadi risau. Garu kepala memandang sekeliling. Sebelah tangan memegang sipi belakang Anisa dek melihatkan gadis itu sedikit terhuyung-hayang. Dia cuma takut Anisa tercedera. Hari pula makin lewat.

   "Nisa. Kita balik dulu, esok aku bawak kau main basikal dekat kampung sebelah. Kat sana ada masjid baru siap. Dataran dalam masjid tu luas," pujuk Faris lagi namun Anisa tetap menggeleng-geleng kepala bersama senyuman lebar.

   "Ga mahu! Bila lagi kita boleh jalan-jalan kat bandar macam ni. Atau kau penat jalan kaki? Naik belakang cepat."

   "Nisa, bahaya kat sini. Nak pulak kau guna laluan kecemasan ni. Nanti kalau ambulans nak lalu, macam mana?"

   "Ambulans lalu, kita elak tepilah."

   "Tengah jalan sibuk macam ni?"

   "Ish... Kau ni. Bisinglah. Dah macam abah."

   "Kau kalau tahu abah, teruk lagi kena. Jom balik, Nisa... Mesti abah pelik kita balik sekolah lagi. Dah pukul berapa ni."

   "Alah... Hari ni kan kelas tambahan aje. Abah tak tahu pukul berapa kita balik. Jangan ris-"

Pon!!!

Tersentak Anisa dan Faris bila bunyi hon panjang menerpa gegendang telinga. Terhenti kayuhan Anisa dan mereka spontan menoleh ke arah belakang. Kurang sesaat, anak mata melekat pada sebuah lori kepala merah. Lori yang cukup dikenali.

Gulp! Anisa telan liur, kecut jantung.

   "Abah..."

***

   Zap! Rotan melayang tinggi sebelum hinggap di tapak tangan Faris.

Anak muda itu ketap gigi, berkerut muka menahan pedih.Tapi dia masih tegak berdiri di laman rumah Razali. Hari sudah senja, matahari oren terang kian melabuh tirai.

Razali bercekak sebelah pinggang memegang rotan dengan muka marah sementara Anisa menangis tanpa suara di belakang tubuh isterinya di anjung rumah. Dia sudah mendapat kebenaran daripada Hanafi dan Asiyah untuk menghukum Faris. Hanafi dan Asiyah ibu bapa yang berhati lembut, jenis tak pernah jentik atau marah anak. Sebab itu mereka berikan 'kerja' itu padanya dan beredar kerana tak sanggup melihat.

   "Abah tanya kamu sekali lagi, Aris. Betul kamu sendiri yang nak pergi bandar tadi?" soal Razali untuk kedua kalinya.

Untuk soalan itu, Faris angguk kepala meski mata tidak membalas panahan si abah.

   "Hulur tangan kamu," arah Razali dan Faris menurut tanpa berlengah sesaat.

Zap! Tapak tangan yang sama dirotan lagi dengan lebih kuat.

Mungkin kerana terlalu pedih, Faris mengipas-ngipas tangan kirinya beberapa kali. Kulit muka merona merah.

   "Jadi kamu yang ajak Nisa ke bandar lepas sekolah? Kamu biar Nisa bawa basikal tengah jalan sibuk?"

Tanya Sama Hati (slow update)Where stories live. Discover now