TSH #10

132 6 2
                                    

UWEK!!

Faris memuntahkan segala isi perut sambil satu tangan bertahan pada batang pokok mangga. Dia terpaksa melutut di atas tanah belakang rumahnya itu. Tubuh membongkok ke depan, bola mata merah dibasahi cecair jernih. Urat leher bagai nak terkeluar ketika memuntahkan apa yang barusan dimakan. Rasanya itu bagai segala usus dicengkam dan ditarik keluar melalui kerongkong. Sakit dan pedih.

Setelah habis isi perut dikeluarkan, barulah dia mencuba berdiri. Dada turun naik, peluh membasahi muka. Kepala juga berdenyut-denyut. Ah. Dia dah lama tak makan pagi. Dek pelawaan abah, terpaksa juga dia jamah mi goreng. Terlalu awal untuk perutnya menerima makanan. Tambahan pula dia belum alas perutnya dengan ubat.

   "Allah..." Agak kendur lutut membawa tubuh masuk ke dalam rumah selepas berkumur dan mencuci muka di singki dapur.

Dia merebahkan tubuh di atas sofa tiga serangkai ruang tamu. Posisinya meringkuk sambil mencengkam baju di bahagian perut. Mungkin kerana dia tidak membawa bekal ubatnya. Mungkin kerana dia terlepas jadual rawatannya. Mungkin kerana dia memaksa diri untuk makan. Yang pasti, dia benar-benar dalam kesakitan. Di waktu beginilah dia sedar bahawa dia sedang bertarung dengan penyakitnya.

Pandangannya berpinar, degup jantungnya semakin sayup, entah bila air jernih tumpah dari tubir mata melintasi batang hidung. Hangat terasa bersama rasa sakit di bahagian perut. Bukan. Tulang belakangnya juga sakit. Kepalanya juga sakit. Tekaknya juga pedih. Tapi aneh sekali perasaannya. Dalam keadaan menyakitkan ini, dia mahu Anisa di sisinya memberi sekelumit semangat dan dalam masa yang sama... dia berharap Anisa jauh darinya. Dia tidak mahu Anisa melihat sisinya yang lemah dan tak berdaya ini. Dia... perlu bertahan demi Anisa.

***

Anisa menghayun kaki berselipar ungu sambil menyanyi kecil. Senang hati nak meronda kampung pagi ini. Siap dirangka apa yang nak dibuat sepanjang hari. Yang paling penting, wajib naik basikal.

Setibanya dia di luar rumah Faris, batang tengkuk dipanjangkan mencari kelibat lelaki itu. Anak mata juga melilau sekeliling. Usai sarapan tadi, Faris terus lesap tanpa pamit. Sekarang dah dekat pukul sepuluh pagi.

   "Senyap aje mamat ni. Tidur ke?" gumam Anisa melihatkan pintu kayu terkatup rapat.

Sedetik, dia menanggalkan selipar lalu menjejak lantai simen. Pintu kayu yang dia tahu tidak berkunci, dia buka tanpa salam. Sebaik saja kaki menapak masuk, anak mata jatuh pada sekujur tubuh yang meringkuk di atas sofa. Cukup mengundang keluhannya. Segera dia mendekati. Perlahan-lahan melutut.

   "Lah... Tidur rupanya. Patutlah senyap. Far-" Niatnya nak menepuk lengan Faris terbantut tatkala melihat muka Faris dibasahi peluh. Bahkan baju lelaki itu juga basah. Semacam disimbah air.

Spontan Anisa angkat muka, menoleh kiri kanan. Tiada kipas. Jadi dia kembali pada Faris. Dahi berlapis nipis apabila menyedari betapa pucatnya bibir Faris. Anak matanya melirik turun ke tangan Faris di bahagian perut. Aneh.

   "Faris?" Kali ini dia cuba mengejutkan Faris. Tidak terlalu kuat suaranya.

Beberapa saat, tiada respon. Debaran halus menjalari jantung. Jadi dia menepuk pula lengan Faris seiring suara. "Faris, bangun."

Dan mujurlah, Faris akhirnya celik. Celik tapi tidak berkutik. Terkebil-kebil seakan separuh sedar. Tetap saja Anisa menghela nafas lega.

   "Ish kau ni. Aku ingatkan kau dah mati," ucap Anisa sambil merebahkan punggung di atas lantai.

Faris yang sedar sepenuhnya, mengoyak senyum. Berkerut muka saat tubuhnya dipaksa angkat. Mengubah posisi agar duduk menyandar. Laju Anisa mengambil tempat di sebelahnya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 23, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Tanya Sama Hati (slow update)Where stories live. Discover now