Bab 8 : Antah Berkumpul Sama Antah

73 21 4
                                    

Dewan Makan, Kem Satria Istana
- Hari Sepungguk, pukul 7 malam

"Saudara-saudara, bolehkah jikalau saya duduk menyertai?" Dia memberanikan diri untuk menyapa dua pemuda yang menduduki meja panjang itu. Sapaannya membuatkan mereka berdua menoleh serentak.

"Boleh-boleh. Jemputlah duduk." Salah seorang dari mereka mengengsot ke sisi, memberi ruang kosong untuknya duduk. Dia tersenyum berterima kasih sambil meletakkan pinggan dan gelasnya di atas meja.

"Saya Athari. Saudara?"

"Lanang." Pemuda yang memberi ruang untuknya duduk itu segera menyambut huluran salam Athari. Ramah senyuman berlesung pipit dalam yang menyertai perkenalan dirinya itu.

Pemuda yang berada di sebelah Lanang sedang minum ketika Athari menghulurkan tangan kepadanya. Cepat-cepat dia menurunkan gelas lalu menyeka mulut dengan hujung lengan baju. Athari merasa bersalah. Namun, pemuda itu segera menjabat tangannya sebelum dia sempat menarik.

"Saya Bakti. Salam kenal," katanya dengan sengihan. "Jemputlah duduk. Jangan segan-segan!"

Athari mengangguk sambil melabuhkan punggung. Dia baru perasan Lanang dan Bakti hanya mempunyai sebuah kendi air sederhana besar dan pinggan-pinggan kosong. Gelas masing-masing juga sudah tidak berisi. "Kalian berdua sudah makan?"

"Oh, tentang itu...." Bakti tergelak kecil. Mulutnya menjuih menunjuk seseorang di belakang Athari dan Lanang. Athari menoleh, mendapati seorang pemuda sedang mengimbangi dua dulang besar di kedua-dua belah tangannya. Lincah dia mengelak orang-orang di laluan sambil bergerak menuju ke arah mereka.

"Makanan sudah sampai!" Pemuda itu berhenti di sisi meja mereka. Lanang dan Bakti segera berdiri untuk menyambut dulang bawaannya. Risau melihat dulang sebesar itu nyaris terbalik.

"Banyaknya kau bawa, Guntur! Bagaimana hendak menghabiskan semuanya?" seru Lanang terkejut. Dulang-dulang itu berisi semangkuk besar nasi, piring-piring pelbagai aneka masakan dan lengkap pula dengan buah-buahan untuk pencuci mulut.

"Baru namanya jamuan!" Pemuda bernama Guntur itu menayang sengih. Dia nampak tercungap-cungap mengumpul nafas. Ketika itu, barulah dia perasan kehadiran Athari di sebelah Lanang. "Oh, ada orang baru! Siapa saudara ini?"

"Ah, saya? Nama saya Athari. Salam perkenalan," Athari segera berdiri untuk bertembung mata dengan Guntur. Jabat tangan pemuda itu terasa kekar dan erat.

"Athari, tahniah kerana memenangi sayembara pemilihan Satria Istana!"

Terburai tawa Athari. "Tahniah juga kepadamu, Guntur."

"Jadi, duduk dan bantu kami menghabiskan makanan-makanan ini! Kenapa begitu sedikit sekali engkau makan?" Guntur pantas memindahkan pinggan-pinggan dari dalam talam ke atas meja.

Sekejap sahaja, meja panjang yang tadinya kosong kini penuh dengan hidangan. Athari pasrah sahaja kenalan-kenalan baharunya itu menambah pinggannya sampai jadi dua kali ganda dari jumlah asal.

"Dari mana kau cekau ini semua, Guntur? Kau merompak dapur istanakah? " tanya Bakti dengan mulutnya sedang lahap mengunyah.

"Sampai hati kau panggil aku perompak..." Guntur buat muka cemberut. Buruk benar mukanya, sampai ketiga-tiganya hampir tersembur makanan.

Guntur menanti mereka habis ketawa, barulah dia menerangkan, "Tak adalah. Aku tolong dayang-dayang angkat dulang-dulang makanan dan agih-agihkan ke meja-meja yang lain tadi. Sebab tu aku dapat upah lebih."

"Mengapa pula engkau perlu tolong dayang-dayang? Ke mana pula para awang? Takkanlah istana kekurangan tenaga kerja pula?" tanya Athari.

"Mereka semua sibuk. Terlalu banyak 'tuan muda' yang harus dilayani kerenahnya." Lanang mengerling bahagian dewan makan yang berseberang dengan mereka itu.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now