Bab 21: Diberi Kuku Hendak Mencengkam

74 14 7
                                    

Sejak panggilan tengahari tadi, berek itu hingar bingar kerana pemenang-pemenang sayembara yang berbaki sudah berkemas untuk keluar. Apabila hujan berhenti, kegamatan itu beransur menjadi kesunyian. Ibaratnya, denting jatuh sebatang jarum juga boleh kedengaran.

Athari dan Lanang sengaja membiarkan pintu bilik mereka terbuka luas supaya suasana di luar dapat mereka dengar. Antara mereka berempat, tiada tanda-tanda antara mereka akan ikut meninggalkan berek itu. Guntur dan Bakti pula belum kembali ke bilik itu sejak tadi.

“Mana Guntur dan Bakti?” tanya Athari setelah lama mendiamkan diri.

"Menemui kenalan baru mereka yang ingin pulang," balas Lanang, masih membaca buku panduannya dalam keadaan berbaring. “Peramah benar mereka berdua itu. Sebentar sahaja sudah dapat mencari kawan.”

“Begitu…”

Khali.

“Kata mereka, yang ada di dalam bingkisan yang disediakan oleh Tengku Putera itu lumayan.” Lanang bersuara perlahan. Athari bangun dari pembaringannya lalu memandang ke luar tingkap. Sedang remang-remang senja. Sebentar lagi hari pasti akan gelap.

“Adakah kau ingin berubah fikiran?”

“Aku ragu-ragu…” Berat hela nafas Lanang. Dia bangun dan duduk menghadap Athari yang duduk di katil yang bertentangan.

Dia berfikir-fikir sejenak sebelum menyambung, “Aku datang dari Kampung Bhumija Hijau, Athari. Cuma Satria Sulung yang bertugas mengawal kampung. Engkau pun tahu, kita perlu melalui pembesar daerah sebelum dapat diserap masuk ke pasukan utama Inderagana.”

Athari sudah dapat meneka apa yang pemuda itu ingin katakan tetapi dia hanya diam mendengar.

“Bila aku mendengar istana ingin membentuk pasukan untuk Tengku Putera yang baru kembali itu, aku fikir inilah peluang aku untuk sertai Teras Satria dan capai pangkat yang lebih tinggi. Tapi… rupanya kita pemenang yang tidak diraikan sama sekali,” luah Lanang.

Mereka berdua diam seketika, mengenang kembali kejadian yang telah berlaku selama mereka memasuki istana.

Gara-gara penolakan halus Putera Zulkarnain, berbelas orang Satria telah tawar hati dan memilih kembali ke pasukan asal. Kemudian, hampir seminggu ini mereka diabaikan di berek ini, terasing dari pasukan Satria Istana yang lain. Puncaknya pertemuan ringkas tadi. Pemimpin tertinggi Satria Istana sendiri seperti acuh tidak acuh melayan mereka. Entah berapa ramai kecewa dan undur diri kali ini.

Athari akhirnya bangkit menuju pintu. Dia menoleh kiri dan kanan, memeriksa lorong setingkat itu sebelum menutup pintu.

“Apa yang engkau tahu tentang Tengku Putera Zulkarnain?” Athari bertanya. Dia menyandar pada daun pintu itu sambil memeluk tubuh.

“Tengku Putera?” Lanang menjongketkan kening. Soalan itu datangnya agak tiba-tiba. Tindakan Athari juga menjemput resah. “Mengapa engkau tiba-tiba bertanya tentang Tengku?”

“Aku ingin tahu. Sebelum engkau menyertai sayembara tempoh hari, engkau tahu atau tidak, jika kita menang, kita dijanjikan menjadi pengawal peribadi Tengku Putera?”

Mengecil mata Lanang menilik riak wajah tenang Athari. Nadanya menjadi lebih rendah ketika menjawab,  “Berdustalah jika aku tidak tahu tentang itu. Jika tidak, aku tidak akan berada di sini.”

“Begitu juga aku. Tapi, soalanku… apa yang engkau tahu tentang Tengku Putera?” ulang Athari, separuh mendesak.

“Apa yang aku tahu…” Lanang mulai berhati-hati menyusun kata-katanya, “Tengku Putera Zulkarnain ialah anak gahara Tuanku Raja Zulaqram. Bonda Tengku Putera pula gemulah Ratu Cenderakasih Aulia. Ini menjadikan Tengku Putera saudara sekadim kepada Tengku Puteri Zulaikha. Semua orang tahu itu. Atau, adakah engkau tahu apa yang aku tidak tahu?”

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now