Bab 24 : Kayu Besar di Tengah Padang

36 3 3
                                    

Ruang kerja Putera Zulkarnain tenang dan hening, sama seperti hari-hari yang lalu. Hanya dihiasi dengan bunyi kertas-kertas diselak, biji sempoa berdetak-detak dan langkah-langkah senyap tiga Srikandi yang dihantar untuk membantu putera itu.

Putera Zulkarnain sedang menekuni laporan kutipan cukai wilayah utara Inderagana yang bertarikh tiga tahun lalu. Dahinya berkerut dalam, membandingkan dua dokumen di tangannya. Kiraan kutipan cukai tampak sempurna tiada cacat cela, namun ia tidak selari dengan laporan masalah berbangkit yang melanda daerah itu.

Ada kesilapan atau ada penyelewengan?

Putera itu mencapai kertas baru. Namun, ada sesuatu yang membantutkan pergerakan tangannya. Ada getaran lain yang dihantar oleh lantai yang dipijak. Bukan langkah srikandi-srikandi di dalam ruangan itu, ataupun pengawal-pengawal di luar. Derap langkah mereka ramai dan sedang menuju ke sini. Putera Zulkarnain menoleh pada Dang Anum yang duduk tidak jauh darinya.

"Dang Anum," panggilan Putera Zulkarnain menyentakkan wanita itu. Apabila Dang Anum menoleh, barulah putera itu menyambung, "Adakah sesiapa cuba bertemu dengan beta lagi hari ini?"

"Untuk hari ini tiada, Tengku. Semua yang memohon pertemuan dengan Tengku, sudah ditolak awal-awal."

"Jadi, rombongan siapa yang sedang datang ke mari?" Putera Zulkarnain bingkas berdiri, lalu memanjangkan langkah ke jendela.

Dang Anum kehairanan dengan kelakuan Putera Zulkarnain. Belum sempat bertanya, tiba-tiba sahaja pintu terkuak luas.

"Adinda!" Puteri Zulaikha menyeru riang sambil melangkah masuk. Di belakangnya, beberapa orang srikandi dan dayang-dayang mengekori, masing-masing membawa raga. Srikandi-srikandi yang ada di ruangan itu segera mengangkat sembah untuk menyambut kedatangannya.

"Ayunda?" Putera Zulkarnain terkejut. “Ada hajat apa ke mari?”

Ini pertama kali Puteri Zulaikha melawat ke ruang kerjanya. Datangnya pula tidak berisytihar. Biasanya, hanya orang suruhan yang berulang-alik menyampaikan pesan antara mereka. Jarang mereka dapat bertemu siang hari kerana masing-masing sibuk.

"Hanya ingin mengunjungi adinda," jawab Puteri Zulaikha sambil matanya itu melilau ke serata arah.

Puteri itu ketawa kecil sambil menjongket kening pada Dang Anum, mempersoalkan mengapa ruangan itu ketandusan hiasan-hiasan penyerinya. Masakan ruang kerja putera raja sepolos dan sesederhana ini? Hanya barang-barang penting dan berguna sahaja tinggal.

Dang Anum dan tiga orang srikandi itu hanya tersenyum sumbing sambil menggeleng. Bukan salah mereka. Mereka berempat serentak menoleh ke satu arah. Membawa pandangan Puteri Zulaikha hinggap pada Putera Zulkarnain.

"Adinda, kenapa duduk di jendela?" Puteri Zulaikha bercekak pinggang pada pemilik ruangan itu. Putera Zulkarnain yang masih terpaku, sedang duduk sangkil di ambang jendela.

"Tengku Putera nak melompat keluar, Tengku Puteri!" Dang Anum menyahut cepat.

"Lompat keluar? Adinda, ini di tingkat tiga!" seru Puteri Zulaikha. Dia segera memanjangkan langkah untuk mendapatkan saudaranya itu.

"Tengku Putera suka melompat keluar kalau ada bangsawan mencarinya, Tengku Puteri!" sampuk Dang Anum, membuatkan mata Puteri Zulaikha makin bulat.

"Dang Anum!" Putera Zulkarnain separuh menjerit. Srikandi ini, mulut tempayan! Pijar wajahnya apabila para srikandi dan dayang yang ada di ruangan itu mulai mengekek antara satu sama lain.

"Jadi, inilah sebabnya bangsawan-bangsawan tidak dapat bertemu langsung dengan adinda? Adinda lari sampai terjun jendela?" Puteri Zulaikha ketawa sambil menggeleng. Dia menarik lembut pergelangan tangan saudara lelakinya itu. Seperti layang-layang ditarik talinya, Putera Zulkarnain akur turun dari jendela lalu terus masuk ke dalam dakapannya.

𝐊𝐑𝐎𝐍𝐈𝐊𝐀 𝐈𝐍𝐃𝐄𝐑𝐀𝐆𝐀𝐍𝐀Where stories live. Discover now