MIKAYLA - 1

270 32 11
                                    

BUNYI guruh dan kilat yang sabung-menyabung sedikit sebanyak mengganggu tidurku. Namun, aku tidak peduli. Biarkan saja guruh dan kilat yang tak henti-henti memaki dan memarahi alam. Tidurku lebih penting kala ini. Tubuhku perlu rehat yang secukupnya untuk menempuh hari esok.

Tetapi, saat hujung jari aku yang berada di sisi tubuh terasa dingin dan basah, mahu tak mahu, aku cuba celikkan mata. Ruang yang gelap gempita menyukarkan aku untuk melihat keliling. Mata dikecilkan namun masih, tiada apa-apa menyapa mata. Hanya hitam semata.

Aku terkencing dalam seluar ke?

Ah, tak mungkin!

Bersungguh aku menidakkan. Buat malu kaum je kalau besar-besar begini pun masih kencing dalam seluar. Memalukan!

Jemari menjalar ke belakang punggung, mencari jika ada kesan basahan di situ. Tetapi, hanya lembap semata. Keningku semerta bertaut.

Lembap?

Tak mungkin. Jariku basah peluh barangkali.

Lambat-lambat, aku bangkit dari perbaringan. Mata digosok beberapa kali supaya lebih cerah sebelum menggeliat membetulkan urat yang mungkin tersimpul ketika tidur. Kemudian, tangan mengagau keliling tilam mencari telefon, namun yang menyentuh jari adalah air. Langsung dahiku berkerut seribu.

Aku betul-betul terkencing ke?!

Sudah...

Malas-malas aku mengengsot ke tepi tilam yang tidak berkatil. Sebaik saja punggungku menyapa lantai, seluar yang lembap kononnya terus terasa basah dan sejuk. Membulat terus mataku. Hilang rasa mengantuk yang masih bergayut di hujung mata tadi.

Laju aku bangkit berdiri dan berlari ke arah suis lampu. Bunyi kocakan air semasa aku berlari jelas kedengaran.

Jangan cakap yang...

Sebaik saja cahaya lampu bertebaran ke sekeliling bilik, mataku yang sedia meluas semakin bertambah perimeternya. Bilik yang malam tadi masih kelihatan seperti bilik, kini sudah bertukar menjadi tasik!

Konfem, banjir!

Tilam tempatku menghadap mimpi indah saban malam dikelilingi air yang separas buku lali. Timbul tak timbul saja tilam itu. Seperti sampan lembut di permukaan tasik. Jelas di mataku juga, air yang memasuki bilik melalui ruang bawah pintu. Nampak gaya, macam bakal bertambah kedalaman air di dalam bilik ini.

Ma dengan Ika macam mana?

Baru teringat perihal ma dan adik bongsuku yang tidur di bilik lain. Abang pula tidak pulang malam ini. Bermalam di rumah kawan katanya.

Tidak melengahkan masa, aku bergegas ke bilik ma. Sempat tangan mencapai handphone di atas meja jepun yang aku tempatkan di kepala katil. Nasib baik meja itu belum tenggelam. Kalau tidak, rosak satu-satunya telefon bimbit yang diberi arwah babah.

Sebaik saja pintu bilik kubuka, laju aliran air memasuki ruangan bilik aku. Bermaksud, tekanan dan paras air di luar sudah tinggi. Tertelan sekejap liur. Rasa gelisah mula menyelubungi tangkai hati. Harap-harap, tak teruk lah banjir kali ini.

Sampai di bilik ma, aku simpulkan ma masih tidur melihatkan bilik yang gelap menerusi ruangan atas pintu. Perlahan-lahan aku tolak pintu dan menyelinap masuk. Tidak mahu ma bangun mengejut. Takut terkesan disebabkan ma yang mempunyai jantung yang lemah.

Hujung jari kaki ma aku sentuh sebelum aku gerak-gerakkan perlahan. Bibir menyeru ma, lembut.

"Ma... bangun...." Berbekalkan cahaya lampu ruang tamu, mataku ditebarkan ke sekeliling bilik ma. Melihat keadaan ruangan ini pula. Lebih kurang sama macam keadaan bilik aku. Air sudah melepasi buku lali. Nasib ma tidur di atas katil, bukan tilam saja macam aku.

FORELSKETWhere stories live. Discover now