MIKAYLA - 2

118 24 3
                                    

KEADAAN di dalam dewan ini mula riuh rendah dengan suara manusia yang pelbagai ragam. Ada yang sedang tidur di sudut dinding, ada yang berbual sesama sendiri dan ada yang termenung merenung jauh ke luar jendela. Dan aku hanya memerhati mereka sehinggalah aku tersedar sesuatu.

Kenapa aku tak nampak Uncle Lim?!

Mataku meliar sekali lagi ke sekeliling dewan mencari kelibat Uncle Lim namun bukan setakat batang hidung, bayang-bayang dia pun aku tak nampak. Tak mungkin lelaki itu tak keluar dari rumah sementelah paras air semakin tinggi. Dan kawasan kejiranan kami, bukanlah rumah yang bertingkat dua atau tiga. Hanya setingkat.

"Ma..." Ma yang juga sedang melihat kelibat orang ramai mengalihkan pandangan kepadaku. Keningnya cunggit sedikit.

"Uncle Lim mana?" Sebaik saja soalan itu terbit dari bibir, ma terus meliarkan mata mencari. Terus berubah wajah ma saat pencariannya tidak menemui hasil.

"Terperangkap dalam rumah ke? Ya Allah, Lim..." Ma mula gelisah.

Uncle Lim, jiran kami yang paling banyak membantu di saat kami sedang susah. Saat arwah babah perlu ke hospital dan kami tiada kenderaan ketika itu, Uncle Lim yang menawarkan diri untuk menolong. Saat ma tak cukup wang untuk membayar bil hospital, Uncle Lim yang memberi pinjam tanpa mengharapkan bayaran semula.

Uncle Lim sudah tua. Sudah mencecah 75 tahun umurnya. Jalan pun sudah tidak kuat. Adakah sebab itu uncle tidak keluar daripada rumah?

Hati mula risau. Laju aku bangkit dari duduk dan menyarung selipar.

"Nak pergi mana, yaya?"

"Yaya nak pergi cari uncle. Ma duduk sini dengan ika sekejap."

Belum sempat ma menghalang, aku bergegas keluar dari dewan. Tidak mahu membuang masa lagi. Dari cakap-cakap orang yang sempat aku menelinga, paras air sudah melepasi pinggang. Masih sempat untuk aku membawa keluar uncle sebelum rumah kami tenggelam sepenuhnya andai benar uncle masih terperangkap di situ.

Aku perlu selamatkan uncle!

Tegahan beberapa orang yang meminta aku untuk berpatah balik saat aku mencelupkan kaki ke dalam air aku buat tidak peduli. Aku tahu, nyawa itu penting, dan seharusnya aku menunggu bantuan tiba. Tetapi, aku tidak boleh bersabar lagi.

Entah apa yang akan jadi kepada uncle andai bantuan sampai lewat. Aku tak mahu hidup dalam keadaan menyesal.

Berhati-hati aku berjalan meranduk air. Semakin menghampiri kawasan rumah, semakin aku ditenggelami air. Sudah melepasi pinggang namun tidak sampai ke dada lagi. Aku masih boleh bertahan.

Rumah Uncle Lim yang terbuka luas pagarnya aku masuk. Mata melingas ke merata tempat mencari kelibat uncle. Hati tak putus-putus berdoa semoga uncle dalam keadaan baik-baik saja.

"Uncle..." Aku menyeru dengan harapan Uncle Lim mendengar suaraku dan menyahut. Namun, tiada apa yang membalas.

"Uncle dekat mana?" Setiap bilik yang ada, aku cari. Bawah-bawah ruang yang boleh menempatkan tubuh manusia pun aku perhati. Namun tiada apa-apa tubuh yang singgah di mata.

Berulang kali aku keluar masuk bilik sambil bibir tak putus menyeru uncle. Masih juga kelibatnya tidak terlihat di mata kasar.

Mungkin uncle sudah keluar lagi awal, dan berteduh di tempat lain, telahku sendiri.

Tidak mahu membuang masa dengan air yang semakin tinggi, aku berlalu keluar daripada rumah.

"Auch!" Bibir menjerit kesakitan apabila kaki di bahagian belakang betis tergores sesuatu yang tajam. Berair terus mata aku apabila rasa pedih menyengat tubuh. Tangan meraba hendak menyentuh tempat luka, namun aliran air yang sedikit deras membantutkan hasrat.

Aku meneruskan langkah dengan kaki yang sedikit capik. Bibir aku kertap menahan rasa pedih setiap kali kaki menjejak tanah.

Kafarah dosa, Yaya. Tiba-tiba hati terasa insaf.

Entah mengapa, semakin lama aku berjalan, nafasku tiba-tiba rasa tidak teratur. Jauh lagi untuk aku sampai ke darat melihatkan sekeliling aku seperti tasik yang luas dan tiada sempadan. Tidak ternampak darat lagipun di mata kasar.

Aku mengeluh kuat. Langkah dihentikan buat seketika untuk mengatur nafas. Apabila pernafasanku sedikit stabil, aku kembali berjalan sebelum terhenti sekali lagi walaupun hanya beberapa langkah.

Penat. Pandanganku terasa berbalam-balam. Nampak tak nampak saja mataku kala ini. Berulang kali aku pejam celikkan mata untuk melihat dengan lebih jelas, namun setiap kali tercelik, hanya kabur yang kunampak. Peluh sejuk mula keluar dari lorong-lorong roma. Nafas aku tarik sedalam dan sepanjang yang mungkin, menjemput oksigen untuk memenuhi ruangan peparu dan mempercepatkan proses pembuatan tenaga. Aku perlukan tenaga kala ini sebelum aku rebah.

Tetapi aku tahu, melalui pernafasanku yang semakin tidak teratur pun, aku bakal rebah sebentar lagi. Di tengah-tengah air yang parasnya lebih daripada pinggang, tanpa sebarang pertolongan. Mungkin akan dihanyutkan ke mana-mana jasadku kala itu.

Wajah ma, abang dan Ika terbayang di mata.

Tuhan, andai begini ajal menjemputku, semoga Kau reda dengan setiap helaan nafasku, setiap perbuatanku dan kehidupanku. Kau lindungilah ma dan adik-beradikku yang lain.

Kaki mula terasa lembik sebelum aku rasa tubuhku tumbang ke belakang. Sempat sepasang mata ini menjamah langit yang mula membiru, dan awan yang bergerak pilu sebelum dilitupi dengan kegelapan yang...

hitam.

Dengan nama Allah, aku hidup dan aku mati.

.

.

.

25072023

FORELSKETWhere stories live. Discover now