MIKAYLA - 3

141 28 4
                                    

"YAYA..." Sayup-sayup aku mendengar suara menyeru namaku. Mata cuba kucelikkan namun terasa berat. Aku mahu tidur.

"Yaya... bangun..." Sekali lagi aku diseru. Pipi terasa ditepuk-tepuk lembut. Berkerut-kerut dahiku cuba untuk membuka mata.

"Yaya... okay tak?" Suara garau yang sangat asing menyentuh telinga buat kesekian kali. Bernada bimbang.

Sebaik saja mata dapat kubuka, pancaran cahaya yang menyentuh retina terasa menyakitkan. Terus mataku tertutup semula. Belum dapat membiasakan diri dengan cahaya yang tiba-tiba menerjah.

Tarik nafas sekali, aku membuka mata perlahan-lahan. Berkali-kali aku kerdipkan, supaya terbiasa dengan cahaya yang hadir. Toleh kepala ke sisi, satu wajah yang langsung tidak pernah aku bersua menyapa mata. Redup matanya memandang aku. Beriak risau.

Siapa lelaki ini?

Tidak selesa dengan keadaan aku yang berbaring di depan lelaki yang tidak kukenali, aku segera bangkit dari baring. Pergerakan yang laju membuatkan kepala terus berasa pusing. Langsung bibir mendesis.

"Slow-slow," tegur lelaki itu. Tak lama, secawan air muncul di depan muka. "Minum air dulu."

Tidak membantah, aku mencapai cawan dan mendekatkan ke bibir. Air kosong aku sisip dengan tangan yang sedikit terketar-ketar.

"Saya dekat mana?" soalku sebaik saja aku mula sedar dengan keadaan sekeliling. Beberapa pasang mata asing jatuh pada wajah aku dengan raut yang bimbang. Barangkali, risau akan keadaanku yang tidak sedarkan diri.

"Dekat dewan berhampiran rumah awak."

"Berapa lama dah saya pengsan?"

"Hampir separuh hari." Membuntang mata aku. Lamanya!

Kemudian, laju aku kalihkan pandangan. Mencari ma dan Ika.

"Ma dengan adik awak..." Seolah-olah memahami, dia terus berbicara namun kata-katanya hanya terhenti disitu. Seperti teragak-agak hendak meneruskan kata.

Aku menjongketkan kening. Menanti jawapan.

"... tengah jumpa polis."

Dahi terus berkerut.

"Kenapa?"

Halkum lelaki ini bergerak-gerak menelan liur.

"Ada orang lemas."

Rahang aku jatuh. Sedikit terkejut. Siapa?

Sesaat, mataku membulat.

"Uncle Lim tak dapat diselamatkan ke?!" Tinggi nada suaraku menyoal. Tolonglah cakap uncle baik-baik saja. Walaupun dia bukan ahli keluargaku, tetapi, aku sudah anggap uncle sebagai bapa saudaraku sendiri.

Lelaki itu menggeleng. Riak wajahnya sedikit mendung.

"Bukan Uncle Lim..."

Dia pandang aku lama. Sayu.

"... Akmal, abang awak."

Aku terhenyak. Minda tiba-tiba terasa kosong. Langsung tidak dapat mencerna apa yang baru lelaki ini katakan tadi.

Kenapa dengan abang?

"A-awak cakap apa? Siapa?"

Lelaki itu melepaskan nafas lemah. Anak matanya menikam lemah anak mataku. Dapat aku tangkap getaran di dalam mata itu.

"Akmal, abang awak... lemas semasa cuba menyelamatkan mangsa banjir."

Aku terus merasakan duniaku runtuh ketika itu.

Tolonglah katakan ini semua hanyalah mimpi. Katakan ini bukanlah realiti.

Aku rela kalau lelaki ini mengatakan itu hanyalah gurauan walaupun gurauan itu tersangat kasar dan langsung tidak kelakar. Aku rela asalkan abang benar-benar selamat.

FORELSKETTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang