BAB 7

3.8K 435 22
                                    

AIRIS menghitung hari menunggu hari kelahiran anaknya. Semakin menghampiri harinya, dia semakin takut. Dia tidak bersedia untuk berpisah dengan anaknya. Dia sudah terlalu sayang dan mana mungkin dia sanggup memberikan anaknya kepada orang lain seperti yang diminta ayahnya.

"Aku akan hantar kau jauh dari sini sehingga kau melahirkan anak tu. Aku tak nak ada orang luar tahu yang kau ni dah terlanjur sampai mengandung. Selepas kau lahirkan anak tu, aku akan serahkan dia kepada orang lain. Maknanya dia bukan anak kau lagi dan orang lain takkan tahu yang kau pernah mengandung sebelum ini."

"... Pilih anak haram tu atau maruah keluarga ni!"

Disebabkan desakan daripada Tengku Sulaiman, Airis memilih maruah keluarganya. Lama kelamaan dia sedar yang dia takkan mampu memilih di antara kedua-dua itu.

Sebelum ini Airis pernah membuat cubaan untuk melarikan diri dari rumah Umi Warda. Dia mahu pergi jauh dari situ dan membesarkan anaknya seorang diri di tempat yang tiada orang mengenali dirinya. Dia sanggup lakukan apa saja agar dia tidak terpisah dengan anaknya. Namun, cubaannya melarikan diri gagal gara-gara ditangkap oleh Saif iaitu bodyguard yang diupah oleh Tengku Sulaiman.

Saif diarahkan untuk mengawal ketat pergerakan Airis. Dia akan ikut ke mana-mana saja Airis pergi.

Bukan semudahnya Airis dapat keluar dari rumah Umi Warda. Masanya banyak dihabiskan di dalam rumah. Tengku Sulaiman sentiasa melarang dirinya daripada menonjolkan dirinya di luar sana. Tengku Sulaiman tidak mahu menimbulkan syak wasangka orang ramai apabila melihat keadaan Airis yang mengandung itu.

Airis hanya dibenarkan pergi ke pantai yang tidak jauh daripada rumah Umi Warda.

"Cik Airis nak pergi mana?" Saif menyoal tegas sekaligus menghalang Airis keluar dari rumah dengan menggunakan badan tegapnya.

"Pantai," jawab Airis malas.

"Cik Airis tak boleh pergi pantai."

"Kenapa pulak? Selama ni boleh je saya pergi pantai," bentak Airis.

"Tengku Sulaiman tak benarkan. Dia suruh Cik Airis berehat." Saif hanya menyampaikan pesanan Tengku Sulaiman. Dilihat keadaan Airis yang sarat mengandung. Dia perlu bertegas dengan Airis kerana itu adalah arahan Tengku Sulaiman. Dia tidak boleh terlepas pandang setiap gerak-geri Airis. Sudah 2 kali Airis mahu melarikan diri. Jadi tidak mustahil gadis itu akan membuat perkara yang sama selepas ini.

Airis mengepal penumbuk dalam diam. Dia geram melihat muka tidak berperasaan Saif. Disuruh berehat? Mereka tak tahu ke dia sudah tahap kebosanan yang melampau duduk di dalam rumah ini. Dia bagaikan duduk di dalam penjara.

"Saya nak keluar jugak." Airis berkeras.

"Tak boleh. Nanti Tengku Sulaiman marah saya."

"Kalau awak tak beritahu dia... Dia takkan tahu yang saya keluar. Awak tutup mulut, awak selamat Saif. Saya bukannya nak lari pun. Awak ingat saya boleh lari ke dengan keadaan macam ni? Saya tunggu nak beranak je. Jadi tolong ketepi. Saya nak keluar." Panjang lebar Airis berkata, berharap Saif akan memahami kehendaknya.

Saif diam sekejap. Dia suruh Airis berehat kerana dia risaukan keadaan Airis. Namun, gadis di hadapannya sangat degil.

"Okay." Saif mengalah. Dia mengalih badannya ke tepi bersama isyarat mata menyuruh Airis berjalan dulu di hadapannya. Dia pantas membukakan pintu kereta di bahagian tempat duduk belakang untuk Airis. Namun yang terjadi sebaliknya apabila Airis buka pintu kereta bahagian depan dan membolos dirinya masuk ke dalam kereta. Airis mahu duduk di depan bukan belakang.

"Tak boleh lama, Cik Airis. Saya bagi masa sepuluh minit je," pesan Saif.

"Iyelah."

Airis berjalan di gigi pantai, diekori Saif dari belakang. Jarak yang dicipta mereka agak jauh kerana Airis rimas apabila lelaki itu sentiasa berada dekat dengannya. Dia mahu bersendirian. Tenang hatinya mendengar bunyi hempasan ombak. Dia termenung memandang jauh ke hadapan.

KESEMPATAN KEDUAWhere stories live. Discover now