BAB 14

189 12 6
                                    

DEWAN Syed Hamzah dipenuhi dengan pelajar tingkatan lima. Hampir semua pelajar sedang berperang dengan rasa bosan dan mengantuk. Mereka disusun secara berbaris mengikut jantina. Lelaki di kanan, perempuan di kiri dewan.

Mereka baru sahaja selesai menjawab peperiksaan percubaan SPM minggu lepas. Hari ini pula sudah diadakan ceramah motivasi. Seroja yang berada di barisan hadapan bersama Anees dan Haura sudah berapa kali menguap.

Sungguh mendatar ceramah motivasi yang disampaikan pagi ini. Tiada langsung lawak jenaka yang boleh membuat para pelajar kembali bersemangat. Air diteguk buat kali ke berapa pun dia tidak tahu. Dengan keadaan dewan yang sejuk, lagi membuatkan matanya semakin kuyu.

"Nah, makan ni." Mentos di dalam plastik berwarna hitam diserahkan kepada Seroja. Bukannya dia tidak perasan yang rakan di sebelahnya ini sedang menahan kantuk.

"Terima kasih, Haura."

Seroja kembali menumpukan perhatian. Program mereka pada pagi ini hampir tamat beberapa minit lagi.

Walaupun percakapan beliau agak mendatar dan membosankan, ada kata-kata yang sangat menarik perhatian Seroja.

"Kalau nak berjaya, kita perlu ada matlamat dan sasaran dalam hidup. Tumpukan perhatian terhadap perkara yang kamu ingin capai. Jangan biarkan pemikiran dan persekitaran negatif menguasai diri. Libatkan diri dalam hal-hal yang boleh membantu untuk mencapai tujuan utama kamu, bukan memusnahkan. Hubungan percintaan yang tiada arah tujuan, kawan-kawan yang tidak memberi manfaat dan pemikiran yang tidak sihat, ini semua adalah salah satu punca yang akan menghalang kamu untuk mencapai kejayaan. Selain itu, jangan pernah membandingkan kejayaan kamu dengan orang lain."

Jeda.

Panel wanita itu berhenti seketika. Dia membasahkan tekak dengan air putih yang telah disediakan sebelum menyambung bicara.

"Semua orang adalah genius. Tetapi, kalau kamu menilai seekor rama-rama dari keupayaannya untuk berenang dan kamu menjalani seumur hidup dengan mempercayainya, ia adalah perkara bodoh. Kerana apa? Kerana rama-rama keupayaannya bukan untuk berenang, tetapi terbang. Begitu juga manusia. Kalau kamu membandingkan kejayaan kamu dengan orang lain, sama sahaja seperti membandingkan tahap keupayaan masing-masing. Ia adalah perkara yang sia-sia kerana tahap keupayaan setiap manusia adalah berbeza. Tidak patut menjalani seumur hidup kita berada dalam kebodohan. Oleh itu, jangan sesekali iri hati dengan kejayaan orang lain. Kita tidak tahu apa yang dia perlu hadap untuk sampai ke tahap itu. Mungkin, ada yang perlu bekerja untuk membiayai yuran sekolah sendiri, ada juga yang perlu menjaga adik-adik yang masih kecil dan mungkin ada yang kehilangan orang yang tersayang ketika mahu mencapai kejayaan. Kesimpulannya di sini, bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Mungkin, sekarang ini bukan kehidupan yang kita mahu tetapi yang kita perlu. Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

"Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Selesai sahaja percakapannya sebentar tadi, maka berakhirlah ceramah pada pagi ini.


MEJA yang kembali kosong di sebelahnya, dipandang. Sudah sebulan Seroja tidak bersua muka dan bertentang mata dengan jejaka yang pernah mengisi ruang itu. Kali terakhir dia bertemu Arif ialah sewaktu mereka berborak di ruang tamu.

"Aku bukan Ahmad Arif. Kalau aku tiada di sisi, tolong sentiasa berhati-hati."

Seroja kembali teringat kata-kata terakhir daripada Arif. Pernah dia bertanya kepada Syabil tentang identiti dan keberadaan Arif, tapi abangnya selalu mengelak. Ada saja alasan yang diberikan.

Nak terkencinglah.

Nak tidur awal esok kerja.

Nak makan dengan aman, jangan diganggu.

Akhirnya, Seroja malas mahu bertanya lagi tentang lelaki yang pernah singgah sebentar dalam hidupnya itu.

Kepala digelengkan. Dia tidak mahu otaknya dipenuhi dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Seroja membuka buku teks Pendidikan Islam untuk membuat ulang kaji sebelum kelas bermula.

Sedar tak sedar, berbaki beberapa bulan sahaja lagi mereka bakal menghadapi peperiksaan besar. Mereka sudah tiada masa untuk main-main. Ada yang cuak, ada yang tak sabar dan ada juga yang sudah reda dengan keputusannya walaupun belum menjawab peperiksaan itu.

Sebelum tawakal dan reda, perlulah berusaha terlebih dahulu. Ini tidak, belum bersungguh-sungguh dalam pelajaran sudah rela hati dengan keputusan yang belum pasti.

Ada satu pepatah Arab yang selalu menjadi kata-kata semangat buat dirinya. Man jadda wa jada. Siapa yang bersungguh-sungguh pasti akan berhasil. Seroja yakin, tuhan akan membantu orang yang berusaha.

Pelajar lelaki yang sedang bermain bola kertas di belakang, mengganggu Seroja untuk menghafal dan mengingati setiap perkataan yang dibacanya. Dia mengambil pensel mekanikal, buku teks dan sehelai kertas kosong di atas mejanya dan berlalu ke perpustakaan.

Baru sebentar tadi ketua kelasnya mengkhabarkan bahawa guru mereka tidak masuk ke kelas kerana ada mesyuarat. Disebabkan itulah, kelasnya bertukar menjadi pasar malam. Riuh rendah dengan suara manusia.

Dar al-Hikmah atau lebih dikenali sebagai perpustakaan, Seroja masuk. Perpustakaan ini terbahagi kepada dua ruang. Ruang untuk pelajar menghabiskan masa, membaca atau membuat kerja terletak di sebelah kanan. Ruang di sebelah kiri pula, khas untuk para guru mengadakan kelas mereka.

Seroja melangkah ke ruang kanan. Meja hujung yang paling dekat dengan tingkap, dia hampiri. Buku teks dibuka kembali. Doa sebelum belajar dibacanya terlebih dahulu.

"Bismillahirahmanirrahim... Allahummaftah alaina hikmataka wansyur alaina min khazaa ini rahmatika yaa arhamarraahimiin."

Selesai doa dibaca, pensel dipegang dan menulis semula apa yang dia hafal di kelas sebentar tadi. Itu adalah salah satu cara yang selalu dia lakukan untuk menguatkan ingatan. Dia akan membaca berulang-ulang kali ayat yang perlu diingati, kemudian menutup buku dan tulis semula di atas kertas kosong.

Teknik ini sangat berkesan untuk subjek yang mempunyai banyak fakta seperti Sejarah dan Sains.

Bertemankan angin yang berderu-deru memasuki dari celah tingkap, Seroja belajar dengan tenang tanpa gangguan sesiapa. Kertas yang hanya ditindan dengan buku teks, ditiup angin secara tiba-tiba.

Seroja mencari semula kertas yang terbang tadi. Satu per satu meja dia tunduk. Ketika sedang mendekati rak buku, ada sepasang kaki yang berhenti di hadapannya. Kepala diangkat semula.

"Nah. Kertas kau kan?" tanya manusia di hadapannya itu.

Kertas ditangannya diambil. "Terima kasih."

Belum sempat Seroja kembali ke mejanya semula, lelaki itu bersuara.

"Kau Seroja, kawan Arif kan?"

"Ya. Kenapa?" soal Seroja kembali. Tanda nama lelaki tersebut, dilihat.

Oh, Naufal rupanya. Baru dia ingat, ini ialah lelaki yang selalu bersama Arif sewaktu kem dulu.

"Kau tahu, dia pergi mana? Aku dah lama tak nampak dia dekat sekolah." Naufal mula berbicara. Selepas sahaja mereka berdua pergi ke bangsal buruk itu, dia sudah tidak nampak Arif di sekolah. Selalunya, Arif ada saja di garaj pada waktu petang.

"Dah sebulan dia keluar sekolah. Cikgu kata dia ada masalah peribadi."

"Ooo. Bukan nak jumpa aku buat kali terakhir, blah macam tu je." Naufal berbisik seorang diri.

"Huh?" soal Seroja. Dia tidak dengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh Naufal.

"Eh, tak ada apa-apa. Aku pergi dulu."

Sejurus sahaja lelaki itu beredar pergi, pelajar yang memenuhi ruang di bahagian kiri turut menolak masuk kerusi mereka ke tempat asal. Menandakan sesi pembelajaran sudah tamat.

Cepat-cepat Seroja mengambil barangnya untuk pulang ke kelas juga.


Jangan lupa vote ><

SELAGI JASADKU BERNYAWA [ON-GOING]Where stories live. Discover now